Perdana Menteri memberikan jawapan yang menarik. Beliau menyentuh tentang risiko wujud perpecahan rakyat berasaskan kaum akibat pelaksanaan pilihan raya PBT. Beliau mengulas:

“Kita iktiraf bahawa bandar itu, kebanyakan penduduknya orang Cina. Jadi kalau kita ada pilihan raya bagi bandar dan luar bandar, maka kita pecahkan negara kita pada dua pihak iaitu satu bandar dan satu lagi luar bandar. Kita nak supaya ada interplay antara bandar dan luar bandar. Masa belum tiba yang mana penduduk kita bercampuran dengan cara terbaik. Sekarang ini kita terasing antara satu sama lain. Bandar satu bangsa, dan luar bandar lain bangsa. Ini tidak sihat bagi negara kita.”

Tujuan pilihan raya

Di Malaysia, pilihan raya PBT tidak pernah diadakan sejak Kerajaan Persekutuan menggantungkan pelaksanaannya melalui Undang-undang Darurat pada 1965. Usaha untuk menghidupkan pilihan raya PBT banyak digerakkan oleh DAP sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lagi. Kerajaan Pulau Pinang sejak dahulu menegaskan untuk melaksanakan pilihan raya ini. Persoalannya, adakah wajar pilihan raya PBT dijalankan semula di Malaysia?

Tujuan pilihan raya adalah untuk memberikan hak kepada orang ramai menentukan pihak yang menguruskan urusan mereka. Dengan mengadakan pilihan raya PBT, hasrat ini kelihatan dapat dicapai dengan mudah dan jelas di peringkat kerajaan tempatan. Persoalannya, dalam sistem yang ada hari ini, adakah pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran PBT tidak datang daripada suara rakyat?

Menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), ahli PBT dilantik oleh pihak berkuasa negeri. Pihak berkuasa negeri adalah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Kerajaan negeri dipilih melalui pilihan raya Dewan Negeri. Daripada perspektif ini, kita boleh simpulkan pihak yang mengendali PBT, tetap mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya. Oleh itu, hasrat rakyat untuk menentukan pihak yang menguruskan PBT sebenarnya sudah boleh dicapai melalui pilihan raya yang memilih kerajaan negeri. Cuma bezanya, ia tidak berlaku secara langsung.

Memang ada yang mengaitkan ketiadaan pilihan raya PBT dengan salah guna kuasa. Pemilihan yang dilaksanakan melalui lantikan kerajaan itu didakwa mengurangkan tahap akauntabiliti. Dakwaan ini ada asasnya. Namun demikian, masalah ini boleh diatasi dengan melantik wakil-wakil parti politik yang memerintah kerajaan negeri menjadi anggota majlis PBT. Mereka boleh tampil secara jelas sebagai anggota majlis yang mewakili parti yang dipilih melalui pilihan raya.

Selain itu, tahap akauntabiliti juga boleh dipertingkatkan dengan mengeratkan hubungan antara Ahli Dewan Negeri yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat dengan PBT dengan majlis-majlis dialog yang turut melibatkan PBT. Pendekatan ini bukan satu masalah memandangkan PBT adalah badan yang perlu melaksanakan kehendak-kehendak kerajaan yang memerintah.

Wang rakyat

Dari sudut pembaziran, sesuatu pilihan raya tentunya memerlukan belanja besar. Belanja ini hakikatnya datang daripada wang rakyat. Perbelanjaan besar bukan sahaja perlu ditanggung oleh pengendali pilihan raya, bahkan juga parti-parti politik. Sebagaimana, pilihan raya lain di Malaysia, kerancakan kempen dan persaingan sengit sering kali mendorong parti-parti menyalahgunakan aset, kemudahan, media dan jentera kerajaan untuk tujuan meraih undi. Semua senario ini akan membawa kerugian kepada rakyat.

Tentu ada yang menyindir hujah ini dengan mengatakan: Kalau takut habis wang, tak perlulah ada pilihan raya langsung! Sindiran ini kelihatan betul, tapi sebenarnya ada kaedah tertentu untuk mengukur tahap keperluan pilihan raya. Antara kaedah yang digunakan adalah dengan melihat kepada level of representation atau tahap kadar perwakilan. Setakat ini tiada piawaian tetap yang ditentukan oleh badan-badan antarabangsa. Namun begitu berdasarkan amalan di negara-negara demokrasi yang telah mantap, kadar 60,000 orang pengundi untuk seorang wakil rakyat sudah dianggap memadai.

Nisbah perwakilan

Di Malaysia, kadar untuk wakil parlimen sahaja, secara puratanya adalah di sekitar 55,000 orang. Bagi perwakilan di peringkat Dewan Negeri pula kadarnya ialah sekitar 25,000 hingga 40,000 pengundi untuk setiap wakil rakyat. Jika dicampur jumlah semua wakil rakyat peringkat Parlimen dan Dewan Negeri, dan dinisbahkan dengan jumlah pengundi, maka jumlah purata nisbah ialah sekitar hanya 22,000 untuk setiap pengundi. Realitinya, kebanyakan rakyat di Malaysia sudah diwakili oleh dua orang wakil rakyat. Penambahan seorang lagi wakil rakyat melalui pilihan raya PBT kelihatan tidak perlu jika diambil kira jumlah wakil rakyat sedia ada dan juga tahap kadar perwakilan yang sebenarnya sudah tinggi di Malaysia.

Bandar milik semua

Ramai juga yang tidak menyedari satu realiti bahawa bandar raya dan bandar bukan milik penduduk yang tinggal di bandar sahaja, bahkan ia juga milik penduduk luar bandar atau pinggir bandar yang setiap hari datang bekerja di bandar raya atau bandar. Dengan lain perkataan, bandar mempunyai dua kategori iaitu ‘penduduk siang’ dan ‘penduduk malam’. Penduduk siang ialah mereka yang datang ke bandar setiap hari untuk bekerja, dan jumlah mereka boleh mencecah tiga kali ganda ramainya berbanding penduduk yang benar-benar menetap di bandar atau ‘penduduk malam’.

‘Penduduk siang’ meluangkan masa yang lama dan membelanjakan wang yang banyak di bandar. Oleh itu, mereka menerima kesan langsung atas apa sahaja polisi yang dilaksanakan di bandar. Penduduk yang benar-benar menetap di bandar, atau ‘penduduk malam’ perlu menyedari bandar adalah milik semua. Oleh itu, bukan mereka tidak mempunyai hak eksklusif untuk menentukan siapakah yang layak menguruskan bandar.

Isu ini juga berkait rapat dengan apa yang disentuh oleh Perdana Menteri iaitu dari perspektif penempatan mengikut kaum. Memang benar sebahagian besar ‘penduduk malam’ di bandar raya dan bandar adalah kaum Cina. Jika dilaksanakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur misalnya, calon berbangsa Melayu dan India lebih sukar mendapat sokongan berbanding calon berbangsa Cina. Sedangkan dari sudut realiti, ramai orang Melayu dan India juga menjadi ‘penduduk’ setia Kuala Lumpur khususnya pada waktu bekerja. Mereka datang dari luar bandar raya Kuala Lumpur dan menghabiskan sebahagian masa dan wang mereka di kota raya ini. Oleh itu, adalah lebih wajar jika kepimpinan PBT ditentukan oleh kerajaan bagi memastikan keseimbangan dalam ketetapan dasar dan keadilan untuk semua.

Dari sudut pentadbiran kerajaan pula, sebahagian bandar raya dan bandar besar dalam negara kita adalah ibu negara dan ibu negeri. Ia adalah simbol kebanggaan dan ikon kepada negara dan setiap negeri. Oleh itu, sewajarnya, pihak kerajaanlah menentukan siapa yang sesuai untuk memberikan wajah kepada bandaraya dan bandar berkenaan. Tentunya jika wujud percanggahan dan perbezaan politik antara pemimpin kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan dengan pemimpin PBT, pembangunan dan pengurusan mungkin akan terjejas.

DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF ialah Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).