Logik wujudnya saman fitnah adalah mudah - setiap orang berhak untuk melindungi nama baiknya, maka sebarang salah laku yang menyebabkan reputasinya tercemar adalah kesalahan yang berhak diambil tindakan. Dalam menghakimi mana-mana saman fitnah, mahkamah terikat kepada prinsip-prinsip di bawah undang-undang Common Law dan juga seperti yang telah dikanunkan dalam Akta Fitnah 1957 serta tatacara seperti di bawah Aturan 78 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Secara ringkasnya, dalam mempertimbangkan saman fitnah, mahkamah akan melihat tiga perkara. Pertama, plaintif haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa ungkapan yang dikeluarkan oleh defendan adalah fitnah. Kedua, fitnah tersebut perlulah disiarkan kepada pihak ketiga. Perkara terakhir, plaintif harus menunjukkan bahawa beliau telah mengalami kerugian akibat daripada kenyataan fitnah tersebut.

Kebiasaannya kes-kes saman fitnah di negara ini akan menarik perhatian ramai apabila pihak yang menyaman atau disaman adalah mereka yang dianggap sebagai tokoh masyarakat atau dikenali ramai. Tokoh-tokoh ini jugalah yang akan mengaut jumlah pampasan yang tinggi jika mahkamah membenarkan tuntutan saman fitnah yang difailkan. Ini kerana, sebagai seorang tokoh masyarakat, sudah tentu nama baik yang dibawa adalah aset yang bernilai. Lebih-lebih lagi bagi ahli politik yang mempertarungkan hak dan suara rakyat yang mereka wakili berdasarkan reputasi mereka.

Begitulah yang diamati dalam kes saman fitnah di antara Datuk Haris Salleh lawan Datuk Yong Teck Lee. Dalam kes ini, plaintif telah memenangi jumlah pampasan, antara yang tertinggi untuk kes saman fitnah, sebanyak RM1 juta kerana kenyataan fitnah yang dilakukan melibatkan tuduhan yang serius.

Selain itu, ramai sedia maklum tentang kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap blogger terkenal, Papa Gomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang telah diarahkan mahkamah untuk membayar wang pampasan sebanyak RM800,000. Sebelum itu, ramai yang mengikuti kes saman fitnah melibatkan Tan Sri Dr. Rais Yatim terhadap seorang blogger. Antara yang menarik dalam kes tersebut, blogger itu turut dipenjarakan apabila dia gagal mematuhi perintah mahkamah.

Terkini, mahkamah telah menetapkan akhir September ini untuk keputusan kes saman fitnah di antara Anwar dan Khairy Jamaluddin. Sedangkan baru-baru ini heboh apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Peguam Negara untuk mengambil tindakan ke atas Lim Guan Eng terhadap kenyataan yang dikeluarkannya yang dikatakan mengandungi unsur fitnah.

Melihat perkembangan kes-kes saman fitnah di negara ini terutama melibatkan tokoh masyarakat, kita tidak boleh tidak, harus menyentuh juga perkembangan kebebasan bersuara yang kerap disalah gunakan. Walaupun kebebasan bersuara adalah kebebasan yang dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun hak ini bukanlah menyeluruh. Sebaliknya, kebebasan bersuara disekat dengan undang-undang seperti lara­ngan menghasut dan memfitnah. Sewajarnya kebebasan bersuara digunakan dengan berhemat.

Malangnya, perkembangan teknologi dan keterbukaan media sosial telah mengakibatkan kebanjiran kes-kes melibatkan saman fitnah. Hal ini terjadi apabila masyarakat tidak segan silu lagi untuk mengatakan perkara yang tidak benar atau dengan berniat jahat memfitnah seseorang tanpa memikirkan kesan daripada fitnah mereka.

Malang sekali apabila masyarakat kita dibesarkan de­ngan didikan Rukun Negara yang menyebut tentang ‘Ke­sopanan dan Kesusilaan’ namun semakin hari kian nipis nilai-nilai adab dan tertib. Amatlah tidak wajar apabila ramai tokoh masyarakat yang dijadikan contoh peradaban juga berkelakuan tidak segan dengan nilai kenegaraan kita. Ke manakah hilang nilai-nilai ketimuran yang cuba dididik ke dalam pesona anak Malaysia sehingga ramai yang menjadikan media sosial sebagai medan untuk menghentam sesama sendiri dan menularkan perkara yang meremehkan nama baik orang lain?

Pendidikan mengenai undang-undang berkenaan fitnah seharusnya diperluaskan lagi bukan sahaja untuk mengajar rakyat melindungi reputasi ahlinya tetapi juga dalam mendidik ahli negara ini agar kembali kepada nilai-nilai ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ yang cuba diterapkan dalam Rukun Negara. Ini termasuklah dengan meletakkan budi dalam kebebasan bersuara.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).