Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHM AD TERMIZI dan ZUL QUR NAIN OTHMAN di Putrajaya, Yaacob memberitahu beliau belum pernah melihat Peraturan 3C, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 diguna pakai untuk mendisiplin pegawai yang cuai atau tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya.

“Mereka perlu dilarang daripada layak untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat kepada gred yang lebih tinggi untuk suatu jangka masa tertentu, contohnya tiga tahun. Kaedah ini saya percaya akan membangkitkan kesedaran,” ujarnya.
 

MINGGUAN: Semalam 1 April, genap enam tahun penubuhan EAIC. Dalam tempoh itu, bagaimana Datuk melihat perkembangan usaha banteras rasuah?

YAACOB: Pada tiga tahun kebelakangan ini kita melihat banyak pencapaian yang positif dan memberangsangkan oleh EAIC dalam usaha mengukuhkan dan memantapkan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan ketika melaksanakan penguatkuasaan undang-undang. Hampir kesemua 21 agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC menerima kunjungan Pesuruhjaya EAIC yang mana kepimpinan tertinggi atau ketua-ketua agensi mengadakan dialog dan perbincangan berkaitan isu-isu semasa yang menyentuh integriti warga kerja dan cara kerja agensi penguatkuasaan.

Perkara ini selaras dengan salah satu tugas statutori EAIC yang diperuntukkan di bawah Akta 700 yang menghendaki EAIC menjalankan pengauditan dan pemantauan mengenai aspek sesuatu operasi dan tatacara agensi penguatkuasaan dan membuat penambahbaikan ke atasnya termasuk membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan dan mengesyor langkah-langkah pentadbiran bagi menggalakkan integriti dan menghapus salah laku pegawai penguat kuasa.

Menyedari perlunya pengukuhan dan pemantapan integriti dalam kalangan seluruh warga kerja, hampir keseluruhan agensi penguatkuasaan melancarkan dan mempunyai perancangan serta pelan strategik masing-masing merangkumi program pengukuhan dan pemantapan integriti.

Apakah langkah seterusnya bagi pihak EAIC dalam masa terdekat?

YAACOB: Pihak EAIC secara berterusan menekankan betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab yang dituntut dimainkan secara efektif oleh ketua-ketua jabatan atau pegawai kanan di agensi penguatkuasaan.

Jika setiap ketua jabatan menghayati kehendak Peraturan 3C Bahagian IB Tugas Kawalan dan Pengawasan Tatatertib, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002), perlakuan aktiviti bersifat rasuah dan salah laku oleh pegawai penguat kuasa akan dapat dikawal dengan efektif ke arah pembasmiannya atau sekurang-kurangnya dikurangkan.

Peraturan 3C mewajibkan, menjadi tugas tiap-tiap pegawai untuk menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya dan mengambil tindakan sesuai dengan seberapa segera bagi apa-apa pelanggaran mana-mana peruntukan peraturan-peraturan tersebut.

Pegawai yang gagal menjalankan tugasnya adalah disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugasnya dan tidak bertanggungjawab dan dengan itu dia boleh dikenakan tindakan tatatertib. Bagaimanapun, saya belum pernah melihat peruntukan ini diguna pakai dalam mendisiplinkan pegawai tersebut.

Sebaliknya terdapat pegawai yang sepatutnya telah disifatkan sebagai cuai dan tidak bertanggungjawab tetapi mendapat kenaikan pangkat atau jawatan yang lebih kanan. Saya ingin menyarankan supaya pihak berkuasa kenaikan pangkat mengambil langkah yang lebih tegas bagi mana-mana pegawai atasan atau ketua jabatan yang didapati jabatan atau pegawai-pegawai di bawahnya menghadapi masalah ketirisan disiplin dan rasuah yang serius.

Mereka perlu dilarang daripada layak untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat kepada gred yang lebih tinggi untuk suatu jangka masa tertentu, contohnya tiga tahun. Kaedah ini saya percaya akan membangkitkan kesedaran pegawai dan ketua jabatan terhadap peranannya seperti yang dituntut oleh Peraturan 3C tersebut.

Pihak yang memberi rasuah dilihat terlepas daripada tindakan dan ada melihat ini sebagai tidak adil kepada pihak penguat kuasa?

YAACOB: Saya ingin bercakap dalam perkara ini mengikut pengalaman saya. Adalah menjadi kebiasaan pihak pendakwa raya membawa pertuduhan ke atas satu pihak sahaja, iaitu sama ada ke atas penerima rasuah atau ke atas pemberi rasuah. Pendakwaan yang dibuat itu bergantung kepada keterangan dan fakta terdapat mengikut kes terlibat.

Jika rasuah itu diadukan oleh pemberi bahawa pegawai awam meminta rasuah dan rasuah dibayar oleh pengadu, maka kebiasaannya pegawai awam terlibat akan dituduh dan pengadu akan menjadi saksi bagi memberi keterangan ke atas permintaan rasuah dan pembayaran rasuah kepada pegawai awam itu. Pihak pendakwa memerlukan keterangan daripada saksi dalam mendapatkan sabitan kesalahan, dan satu-satunya saksi yang dapat memberi keterangan transaksi rasuah adalah pengadu sendiri.

Sebaliknya terdapat juga pemberi rasuah dituduh bagi kesalahan memberi rasuah. Ini berlaku apabila pegawai awam tersebut membuat tangkapan ke atas pemberi rasuah ketika rasuah tersebut diberikan atau membuat aduan kepada pihak SPRM bahawa rasuah hendak diberikan oleh pihak tertentu dan satu perangkap diaturkan bagi memerangkap perasuah tersebut ketika memberi rasuah kepada pegawai awam.

Ini adalah contoh pemberi rasuah dikenakan tuduhan kesalahan memberi rasuah kepada pegawai awam. Dalam kedaan ini pegawai awam tersebut akan dijadikan saksi oleh pihak pendakwa raya dalam usaha membuktikan kes terhadap pemberi rasuah.

 

Bolehkah penerima dan pemberi rasuah dituduh secara bersama?

YAACOB: Undang-undang tidak melarang tindakan pendakwaan sedemikian dilakukan. Ini bermakna ia boleh dilakukan dalam mana kedua-dua penerima rasuah dan pemberi rasuah dituduh bagi kesalahan masing-masing dan dengan kebenaran oleh mahkamah suatu perbicaraan bersama boleh diadakan. Kerumitan yang akan dihadapi oleh pihak pendakwa raya dalam perkara ini ialah tiadanya keterangan saksi langsung sama ada penerima atau pemberi.

Dalam keadaan ini jika keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence) adalah kukuh maka pihak pendakwa raya akan bergantung sepenuhnya kepada keterangan mengikut keadaan dalam membuktikan kes, seperti keterangan dokumen aliran wang daripada akaun pemberi kepada penerima, jumpaan wang sejumlah daripada posesi dan kawalan penerima yang konsisten dengan pengeluaran wang jumlah sedemikian oleh pemberi dan sebagainya yang boleh membawa kepada satu kesimpulan atau inferensi oleh mahkamah bahawa wang yang dibayar dan diterima adalah merupakan suatu perlakuan rasuah oleh pemberi dan penerima.

Pada pengamal undang-undang kaedah keterangan ini juga ada kalanya dipanggil sebagai keterangan senyap, iaitu keterangan yang datang daripada sifat keadaan tanpa memerlukan saksi. Oleh kerana kesalahan rasuah bersifat kesalahan jenayah maka beban pembuktian tanpa keraguan yang munasabah sentiasa perlu dipenuhi oleh pihak pendakwa raya dan di sinilah letaknya ketelitian dan kebijaksanaan pihak pendakwa raya dalam mengendalikan dan membuktikan kes pendakwaan.