Kemenangan kerusi berkenaan berjaya memulihkan semula semangat jentera parti BN yang sebelum ini berasa kecewa dengan kekalahan calon mereka dalan empat PRK.

Selain strategi tepat yang digunakan BN ketika meletakkan calonnya dalam kalangan Orang Asli, kerjasama UMNO dan Pas juga dikatakan menyumbang kepada kejayaan itu.

Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang turun berkempen, memotivasikan pengundi Orang Asli di Cameron Highlands dan penduduk Felda di Sungai Koyan memilih calon BN dalam PRK berkenaan.

Biasanya, semua parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya mempunyai keyakinan menang tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa faktor strategi memainkan peranan utama.

Nampaknya, pengundi sudah mula menolak isu penyelewengan 1MDB yang sering digembar-gemburkan sebagai isu besar dalam PRK.

Sebaliknya mereka kini semakin fokus dan melihat manisfesto parti mana yang mampu dilaksanakan calon bertanding. BN berpotensi menang dalam PRK di DUN Semenyih berdasarkan beberapa faktor yang amat menarik untuk dianalisa.

Antaranya ialah hubungan akrab UMNO dan Pas yang semakin intim dibuktikan melalui PRK Parlimen Cameron Highlands yang berjaya membuahkan hasil cemerlang dengan kemenangan bergaya calon BN sekali gus mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH).

Lebih 60 peratus pengundi di DUN Semenyih adalah pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong BN dan Pas. Kerjasama UMNO dan Pas dalam PRK ini mungkin boleh membantu memenangkan calon BN.

Pengundi bukan Melayu pula sudah mula menyedari bahawa kerajaan PH masih rapuh dan masih belum berjaya menunaikan janji mereka melalui manifesto yang dibentangkan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Kebanyakan pengundi ingin memberi isyarat kepada parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) nanti jika janji pemerintah dan tuntutan rakyat tidak segera dilaksanakan.

Isu-isu terkini yang mengaitkan kesusahan rakyat dalam pelbagai perkara termasuk harga barang yang sentiasa meningkat, harga petrol tidak turun kepada RM1.50 seliter, bayaran tol belum dihapuskan, pinjaman PTPTN tidak dihapuskan, harga kelapa sawit dan getah semakin merudum mungkin memberi kelebihan kepada calon BN yang bertanding.

Apabila isu berkenaan gagal ditangani segera, berkemungkinan pengundi akan semakin merindui zaman BN memerintah negara ini melalui manifestasi yang bakal ditunjukkan dalam PRK Semenyih nanti.

Bagaimanapun, faktor pemilihan calon juga harus dititikberatkan mengikut kehendak dan kesesuaian pengundi tempatan.

Calon bertanding mewakili parti mestilah mempunyai kelayakan akademik tinggi yang tulen, berpengalaman dalam pelbagai bidang, boleh diterima dan disokong pengundi tempatan serta mudah pula didekati selepas menang jika terpilih sebagai wakil rakyat dalam PRK berkenaan.

Kerusi PRK seterusnya akan menjadi lebih mudah ditawan BN jika calon parti berkenaan turut menang di DUN Semenyih.

Oleh itu penyokong Pas dan UMNO mesti fokus kepada kempen memenangkan calon BN dalam PRK di DUN Semenyih dengan bekerja keras, sentiasa berganding bahu dan mewujudkan rasa persefahaman tinggi kedua-dua penyokong parti terbabit dalam usaha meraih kemenangan besar dalam PRK itu nanti.

DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah Perunding Media dan Penyelidikan Sains Politik Tanah air.