Baru-baru ini tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas melantik Sitpah Selvaratnam mewakili kerajaan mengendalikan kes penyitaan kapal layar mewah Equanimity telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Ada yang menyokong tindakan tersebut disebabkan kepakaran Sitpah dalam bidang undang-undang admiralty telah lama diiktiraf manakala ada yang menentangnya dengan alasan pelantikan itu menimbulkan konflik kepentingan disebabkan Sitpah adalah peguam di firma lama Tommy Thomas.

Tommy Thomas menegaskan rakyat Malaysia berhak mendapatkan khidmat guaman terbaik dalam kes yang sukar dan kompleks ini memandangkan kepakaran Sitpah dalam bidang ini memang tidak dipertikai lagi. Peguam wanita ini kini adalah pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Admiralty dan Perkapalan Majlis Peguam selain menjadi pengasas dan Presiden Persatuan Undang-Undang Maritim Malaysia.

Selain Sitpah, Jabatan Peguam Negara telah juga melantik dua pengamal undang-undang swasta lain iaitu Jeremy Joseph dan Ong Chee Kwan.

Jabatan Peguam Negara menyatakan sebelum ini bahawa penyitaan kapal mewah Equanimity itu telah dilakukan secara sah disebabkan ia telah dibeli de­ngan wang milik 1MDB. Perintah pe­nyitaan kapal mewah itu (di bawah satu waran tangkapan) te­lah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap kapal itu di bawah bidang kuasa admiralti.

Sebelum ini pada 28 Februari lalu, kapal layar mewah itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali atas permohonan Jabatan Keadilan (Department of Justice, DOJ) Amerika Syarikat. Hasil hubungan baik antara Indonesia, Amerika Syarikat dan Malaysia berasaskan Mutual Legal Assistance Treaties (MLAs) antara tiga negara itu, kapal mewah itu kini dapat dibawa ke negara ini.

Tidak senang dengan tindakan terbaharu ini, pemilik kapal tersebut (Equanimity (Cayman) Ltd) mendakwa tindakan penyitaan kapal mewah oleh kerajaan Malaysia itu bertentangan dengan perintah mahkamah Indonesia yang masih berkuatkuasa sekarang serta menyalahi juga satu perintah mahkamah di Amerika Syarikat. Mengikut perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah di California itu, DOJ adalah custodian (penjaga) kapal mewah itu.

Bagaimanapun, mengikut Reuters, pada masa ini DOJ bersedia menangguhkan sementara waktu segala tindakannya ke atas kapal mewah itu sehinggalah segala tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia terhadap kapal mewah itu diputuskan secara muktamad oleh mahkamah di negara ini.

Pada satu sidang media pada 7 Ogos lalu, Sitpah memaklumkan pengamal media bahawa Mahkamah Admiralti di Kuala Lumpur pada hari sebelumnya telah mengeluarkan waran penahanan terhadap kapal mewah itu. Alasan penahanan ini adalah kumpulan 1MDB membuat tuntutan terhadap pemilikan Equaminity kerana mereka percaya wangnya disalahgunakan untuk membeli kapal tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa defendan (yang mendakwa bahawa mereka adalah pemilik sah kapal mewah itu) mempunyai peluang untuk hadir di mahkamah dan membuktikan perkara itu. Segala-galanya nanti akan ditentukan oleh Mahkamah Admiralti di Kuala Lumpur.

Pada Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan bahawa Kerajaan Malaysia bersama kumpulan 1MDB telah memfailkan saman pemula untuk mendapatkan perisytiharan bahawa syarikat pelaburan itu adalah pemilik kapal mewah Equanimity yang sah. (“Kumpulan 1MDB tuntut Equanimity miliknya”, Utusan Malaysia, 18 Ogos 2018)

Dalam permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, kumpulan 1MDB bersama dua syarikat subsidiarinya (1MDB Global Investment Limited dan 1MDB Energy Holdings Limited) serta Kerajaan Malaysia bertindak sebagai plaintif manakala pemilik kapal, Vesel Equanimity dari Kepulauan Cayman, dinamakan sebagai defen­dan tunggal.

Plaintif menuntut lima perintah iaitu perisytiharan bahawa plaintif adalah pemilik sah atau benefisiari kapal tersebut dan/atau pemilik separa kapal itu berdasarkan pembahagian saham masing-masing di dalamnya. Pembahagian tersebut bergantung setakat mana wang atau harta milik plaintif yang digunakan oleh defendan membeli kapal tersebut.

Plaintif juga menuntut satu perintah untuk menjual kapal mewah itu serta perintah peng­agihan hasil jualan harta tersebut berdasarkan setakat mana hak milik mereka dalam kapal berkenaan, kos, dan perintah lain yang sesuai.

Mengikut maklumat terkini, kes melibatkan kapal mewah ini akan disebut buat kali pertama di Mahkamah Tinggi pada 29 Ogos ini. Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar mahkamah itu, Mohd. Zamir Suhaimi, sebaik sahaja pengurusan kes selesai.

Mengikut maklumat yang ada di ruang siber, kapal mewah Equanimity itu dibina oleh Ocean­co dan telah diserahkan kepada pemiliknya Jho Low pada Jun 2014. Berukuran panjang 91.5 meter (300 kaki), kapal itu mengandungi 14 bilik (boleh memuatkan 26 orang) dan mempunyai 33 anak kapal. Mengikut sebuah portal, kapal mewah itu merupakan kapal layar 54 terbesar di dunia.

Siasatan DOJ menunjukkan bahawa pada 9 September 2013, sewaktu kapal mewah itu sedang dalam pembinaan di Rotterdam, Belanda, Jho Low bersama ayah dan ibunya telah tiba di Rotterdam dari Barcelona, Sepanyol, untuk melihat sendiri kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

Rakyat negara ini yang ingin mengetahui bagaimana Jho Low mendapat wang AS$250 (kira-kira RM1 bilion) untuk membayar harga kapal ini bolehlah mendapatkan butiran terperinci mengenainya di beberapa portal di alam siber. Kesahihan (atau sebaliknya) data yang terkandung dalam portal-portal tersebut akan kita ketahui nanti apabila kes kapal mewah ini selesai.

Mengambil iktibar dari kes kapal mewah ini dan kesannya kepada masa depan profesion guaman di negara ini, harapan saya kes ini akan membakar semangat lebih ramai lagi pengamal undang-undang muda kita untuk meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang perkapalan, ma­ritim dan admiralti.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.