Faktor itulah menyebabkan mempelam harumanis yang digelar tanaman ikon, hidup subur dan sesuai ditanam di negeri pa­ling utara di Semenanjung ini. Sebenarnya banyak jenis tanaman sesuai tumbuh subur dengan kelebihan cuaca sedemikian yang dikurniakan Allah SWT.

Antaranya pokok tin atau nama saintifiknya, Ficus Carica, sejenis buah yang kaya dengan khasiatnya dan terkenal di Asia Barat selain turut tercatat dalam al-Quran.

Peluang inilah yang dimanfaatkan sebuah syarikat dari Pulau Pinang apabila menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri untuk meneroka potensi tanaman itu secara berskala besar.

Sehingga kini sebanyak 16,000 batang pokok tin telah ditanam di kawasan seluas 10 hektar di Chuping, Padang Besar dengan pelancarannya disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, baru-baru ini.

Projek yang sudah bermula sejak 2016 itu pada masa ini berjaya membuahkan hasil sebanyak empat tan sebulan, dengan tuaian pertamanya pada April lalu. Malah, dikatakan buah tersebut sudah mendapat permintaan yang tinggi daripada negara-negara di Asia Tenggara.

Apa yang menarik perhatian, berdasarkan keluasan tanaman itu, Perlis bakal setanding dengan Mesir yang merupakan pengeluar terbesar buah tin di dunia. Ini sekali gus menandingi Thailand yang lebih awal mengusahakan tanaman tersebut dengan mempunyai kira-kira 2,000 batang pokok pada masa ini.

Melihatkan potensi buah tin yang dijual pada harga RM120 sekilogram, kerajaan negeri yakin ia mampu memberi sumber pendapatan tambahan baharu kepada negeri, ini selain padi dan harumanis.

Sudah tentu langkah itu akan melonjakkan nama Perlis di peta dunia menerusi pengeluaran buah tin jenama tempatan. Tidak mustahil ini boleh dilakukan jika mendapat sokongan daripada pihak swasta, agensi kerajaan dan universiti untuk melakukan kajian terhadap tanaman yang masih dianggap baharu itu.

Sekali lagi, Perlis mampu muncul sebagai pusat penyelidikan dan rujukan utama penanaman buah tin sebagaimana diakui kepakarannya dalam tanaman mempelam. Secara tidak langsung, menerusi perkembangan itu nanti diharap dapat menambah peluang pekerjaan di negeri ini.

Tambah menarik, kajian dan pengembangan buah tin itu juga boleh dilakukan terhadap tanaman lemon dan gac yang pada masa sama turut ditanam di ladang berkenaan sebagai percubaan.

Buah gac yang dikatakan berasal dari Vietnam turut ditanam di Thailand dan beberapa buah negara, jiran manakala lemon banyak didapati di negara Tropika dan Subtropika.

Ketiga-tiga buah berkenaan iaitu tin, lemon dan gac dikenali sebagai superfruits kerana mempunyai banyak khasiat khusus­nya kandungan antioksidan yang tinggi untuk kesihatan.

Sekali lagi, tidak mustahil suatu masa nanti, orang bukan sahaja sanggup datang ke Perlis untuk membeli harumanis tetapi juga kepingin makan superfruits berkenaan.