Adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap bahawa tertuduh tidak boleh dibicarakan untuk kesalahan yang sama. Prinsip ini dikenali sebagai double jeopardy atau perlindungan terhadap pendakwaan berganda. Secara asasnya, prinsip ini menghalang pihak pendakwaraya daripada mendakwa seseorang bagi kesalahan jenayah yang sama setelah selesai proses perundangan.

Prinsip undang-undang ini berkait rapat dengan prinsip undang-undang lazim (common law) yang dikenali sebagai res judicata, yang diguna pakai dalam kes-kes sivil. Di dalam kes Asia Commercial Finance (M) Berhad v. Kawal Teliti Sdn. Bhd. (1995) 3 CLJ 783 (791), mahkamah agung menjelaskan rasional res judicata ini apabila memutuskan bahawa: “When a matter between two parties has been adjudicated by a Court of competent jurisdiction, the parties and their privies are not permitted to litigate once more the res judicata, because the judgment becomes the truth between such parties, or in other words, the parties should accept it as the truth; res judicata pro veritae accipitur.

“The public policy of the law is that it is in the public interest that there should be finality in litigation - interests rei publicae ut sit finis litium. It is only just that no one ought to be vexed twice for the same cause of action - nemo debet bis vexari pro eadem causa. Both maxims are the rationales for the doctrine of res judicata, but the earlier maxim has the further elevated status of a question of public policy”.

Prinsip undang-undang ini diterima pakai di seluruh dunia. Di Malaysia, prinsip undang-undang ini termaktub di dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa : “A person who has been acquitted or convic­ted of an offence shall not be tried again for the same offence except where the conviction or acquittal has been quashed and a retrial ordered by a court superior to that by which he was acquitted or convicted”.

Melalui Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan, prinsip undang-undang double jeopardy ini adalah untuk melindungi hak tertuduh daripada tiga bentuk pencabulan. Yang pertama, untuk melindungi tertuduh daripada didakwa untuk kesalahan yang sama setelah dibebaskan oleh mahkamah (autrefois acquit). Kedua, untuk ­melindungi tertuduh daripada didakwa untuk kesalahan yang sama setelah dijatuhkan hukum oleh mahkamah (autrefois convict). Yang terakhir, melindungi tertuduh daripada dituduh berganda atas satu kesalahan.

Pandangan ini disokong oleh kes Kunasegaran Marimuthu v. PP (2010) 1 LNS 120 di mana mahkamah tinggi telah memutuskan bahawa: “Pada pandangan saya ‘double jeopardy’ bukan sahaja terhad kepada situasi di mana seseorang tertuduh itu telah terlebih dahulu dibebaskan atau telah terlebih dahulu disabitkan tetapi prinsip ini adalah merangkumi juga keadaan di mana seseorang itu dituduh dengan pertuduhan yang berganda atas satu transaksi di mana pertuduhan-pertuduhan tersebut berkehendakkan pembuktian berdasarkan kepada intipati-intipati yang sama.

“Prinsip ne bis in idem atau seseorang tidak boleh dituduh berganda atas satu kesalahan telah wujud sejak sekian lama di bawah sistem common law. Begitu juga prinsip nemo debet bis puniri pro uno delicto iaitu seseorang itu tidak boleh dihukum dua kali bagi satu kesalahan yang sama dan prinsip nemo bis vexari iaitu seseorang tidak boleh disabit berkali-kali atas satu perbuatan salah yang sama adalah prinsip di bawah common law yang wajar dipatuhi dalam mahkamah keadilan. Pertuduhan berganda hanya boleh dikemukakan terhadap seseorang pesalah sekiranya terdapat kesalahan-kesalahan yang berbeza (distinct offences) yang terbit daripada satu transaksi.”

Namun, terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip undang-undang ini. Antaranya, jika tertuduh dilepaskan tetapi tidak dibebaskan. Dalam situasi ini, pihak pendakwaraya mempunyai hak untuk membuka semula siasatan terhadap kes tersebut dan tertuduh boleh didakwa semula di mahkamah bagi pertuduhan yang sama. Jika pihak tertuduh didakwa bagi kesalahan lain atas fakta-fakta yang sama, prinsip undang-undang ini juga tidak terpakai.

Selain itu, prinsip undang-undang ini juga tidak akan terpakai jika tertuduh disaman di mahkamah sivil walaupun tertuduh dibebaskan atau disabit dengan kesalahan yang dilakukan.

Mengambil kira autoriti-autoriti di atas, adalah dihujahkan bahawa memandangkan Selva Kumar telah pun dihukum menurut undang-undang Kanada, maka dia tidak seharusnya didakwa atas kesalahan yang sama di negara kita. Saranan parti-parti politik agar dia didakwa di sini hanyalah tindakan untuk meraih populariti, tanpa berlandaskan undang-undang.

DATUK M REZA HASSAN ialah seorang peguam.