Oleh itu, katanya, penambahan bilangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya utama di negara ini sangat penting dalam usaha mengurangkan masalah kemalangan maut.

Penggunaan kamera ini sudah dimansuhkan kerana kerajaan mendakwa merugikan. Pendapatan daripada saman tersebut tidak lepas untuk membayar kos kamera kepada syarikat yang memasang kamera tersebut. Ini yang pernah diucapkan oleh Menteri Pengangkutan ketika memansuhkan AES tahun lepas.

Bagaimanapun, mulai September tahun lepas, AES diper­kenalkan semula dan ditambah jumlahnya sehingga menjadi perdebatan pelbagai pihak terutamanya ahli-ahli politik.

Ada ahli-ahli politik yang sebelum ini lantang menentang AES tiba-tiba berubah fikiran menyetujui pula sistem ini.

Tidak kira apa pun situasi­nya, AES dianggap perlu kerana merupakan salah satu usaha mengurangkan kemalangan yang disebabkan pengguna jalan raya memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Kita tidak boleh menganggap saman daripada AES me­rupakan satu tekanan kepada rakyat kerana semua pengguna jalan raya sudah dikenakan peraturan dan mengetahui kesan daripada pelanggaran undang-undang di jalan raya.

Sementara itu ada pihak mendakwa AES tidak mampu mengubah gelagat pengguna jalan raya kerana pemandu tetap memandu melebihi had ditetapkan di lokasi tiada AES.

Situasi ini memang berlaku kerana pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan mereka di tempat yang ada kamera ini, selepas itu laju semula.

Situasi ini juga dapat dilihat semasa berlaku kesesakan. Selepas kawasan yang berlaku kesesakan itu berakhir, semua kenderaan terus meluru ke depan dan hilang dalam sekelip mata sahaja. Maka tidak hairanlah ada kenderaan yang terhumban dan terpelanting di tepi jalan.

Dalam pada itu, fokus MIROS kini adalah mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi mencari jalan penyelesaian mengurangkan kes kematian melibatkan penunggang motosikal bawah 150 cc.

Langkah ini akan disegerakan kerana bilangan kematian penunggang motosikal di bawah 150 cc ini mencecah 4,000 setahun dan membabitkan mereka berusia 15 hingga 25 tahun.

Langkah-langkah memantau penunggang motosikal mesti diperkukuh dengan pelbagai kaedah. Mereka inilah yang selalunya kelihatan seolah-olah berlumba di lebuh raya dan me­nunggang dalam keadaan bahaya, menukar arah sesuka hati, malah menyelit di celah-celah kenderaan lain.

Mereka ini tidak makan kempen. Mereka ini seolah-olah tidak makan nasihat. Selain itu, mereka inilah juga yang me­lakukan pelbagai kesalahan di jalan raya.

Lebih memburukkan keadaan adalah kerana ramai antara mereka yang pada asasnya lagi tidak layak berada di jalan raya kerana tidak memiliki lesen memandu.

Kerjasama pelbagai pihak sangat penting untuk menangani pelbagai permasalahan berkaitan jalan raya, kemalangan serta kematian di jalan raya.

Di atas kertas, memang sudah banyak yang diperkatakan dan diperdebatkan tetapi kita belum mencapai matlamat dalam usaha menangani masalah ini dengan berkesan.