Persoalannya kenapa masih ramai remaja Islam sama ada di bandar atau luar bandar menghadapi permasalahan moral dan berkeliaran di luar rumah sehingga larut malam? Permasalahan ini sepatutnya difikirkan oleh umat Islam supaya gejala negatif tidak menjadi fenomena remaja Islam dalam negara ini.

Antara yang menyebabkan remaja Islam menghabiskan masa dengan melakukan perkara-perkara tidak berfaedah ialah pertama, kurangnya pengawalan ibu bapa terhadap pergerakan anak-anak terutamanya di waktu malam. Sikap terlalu percaya kepada anak-anak memberi peluang kepada individu tertentu mempengaruhi pemikiran dan jiwa anak-anak supaya melibatkan diri dalam kegiatan tidak sihat.

Waktu malam sepatutnya dijadikan masa untuk ahli keluarga berkumpul dan berehat. Ketika ini ibu bapa yang sibuk dengan tugas di waktu siang dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak sebelum mereka tidur. Ibu bapa sepatutnya menunjukkan sikap yang tegas terhadap pergaulan anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan kegiatan yang boleh merosakkan diri mereka di dunia dan di akhirat.

Kasih sayang terhadap anak-anak perlu berlandaskan kepada konsep kasih sayang dalam Islam iaitu mendorong mereka menjadi orang yang takut kepada Allah dan menggunakan masa lapang dengan perkara-perkara berfaedah. Kesedaran agama dan kegiatan yang boleh memperkayakan kerohanian sahaja mampu membendung remaja Islam daripada terjerumus dalam gejala moral dan seumpamanya.

Oleh itu tugas utama ibu bapa ialah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama secara sempurna. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah 66 (al-Tahrim) ayat 6 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Faktor kedua yang mendorong remaja Islam gemar berkeliaran sehingga larut malam ialah terlalu banyak kegiatan hiburan dilaksanakan di waktu malam. Ibu bapa sukar untuk mengawal pergerakan anak-anak kerana remaja amat gemar menghadiri maj­lis hiburan dan perkara-perkara yang menyeronokkan. Muzik dan hiburan kegemaran manusia malah boleh juga diibaratkan sebagai salah satu cara untuk merehatkan diri apabila terlalu letih melaksanakan tugas seharian.

Abu Darda’ salah seorang sahabat Rasulullah SAW berkata: “Aku menghiburkan diriku dengan sedikit al-lahwu (hiburan) untuk menguatkan diriku dalam melakukan perkara-perkara kebaikan.”

Kegiatan hiburan yang terlalu banyak boleh menyebabkan umat Islam lalai untuk mempertingkatkan daya saing bagi menaikkan taraf agama, bangsa dan negara. Kegiatan merempit, dadah dan seumpamanya adalah hasil daripada sikap malas, lemah daya pemikiran dan terlalu gemar terhadap kegiatan berunsurkan hedonistik. Oleh itu kurangkanlah kegiatan hiburan di waktu malam supaya waktu itu dijadikan masa untuk merehatkan tubuh badan dan menyembah Allah.

Imam al-Ghazali berkata; “Maka al-lahwu (berhibur seketika) adalah ubat juga bagi jiwa. Maka al-lahwu sudah semestinya harus. Tapi al-lahwu seperti mana ubat-ubatan yang lain tidak boleh diambil secara berlebihan. Jika al-lahwu disertai dengan niat ibadah, ia menjadi keta­atan kepada Allah. Sesiapa yang mendengar nyanyian dan muzikal janganlah menganggapnya sebagai sifat terpuji! Tapi hanya sekadar mendapatkan kelazatan dan kerehatan semata-mata.”

Umat Islam secara keseluruh­annya perlu berganding bahu mempergiatkan pelbagai kegiatan yang boleh memperkukuhkan minda dan jiwa remaja. Latihan kerohanian dan keagamaan secara praktikal perlu dipergiatkan dalam kalangan remaja dan belia di kawasan bandar dan luar bandar. Kesedaran agama bukan sekadar program pidato dan forum yang berkobar-kobar untuk membangkit semangat patriotisme dalam kalangan remaja malah memerlukan latihan amali secara berterusan agar intisari ajar­an agama dapat meresap dalam minda dan jiwa remaja dengan perlahan-lahan dan berkesan.

Penghayatan agama Islam ha­nya dapat dirasai dan dinikmati apabila hukum-hakam Allah dan Rasul dianggap sebagai satu perundangan yang paling tinggi nilainya. Oleh itu bagi memperkukuhkan minda dan jiwa remaja maka pergiatkanlah pelbagai kegiatan yang boleh menyemaikan semangat cintakan agama seperti latihan kerohanian yang berpandukan kepada pedoman daripada Allah dan Rasul.

Remaja yang hilang pedoman dan berkeliaran tanpa haluan perlu dibimbing dan diasuh supaya mereka mengenali erti dan objektif kehidupan. Apabila perkara ini telah tersemat dalam minda dan jiwa mereka maka ketika ini deruan motosikal yang menyakitkan te­linga dan muzik yang berunsurkan hawa nafsu dan melolong-lolong akan diganti dengan nyanyian, muzik dan zikir yang memuji Allah dan melunakkan jiwa dan minda.

Bagi merealisasikan harapan ini maka setiap individu Islam perlu bekerjasama dan bertanggungjawab bagi membentuk minda dan jiwa remaja supaya menjadi orang yang beriman dan berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Seorang mukmin dengan mukmin yang lainnya adalah seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan satu de­ngan yang lain.”

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.