Malang sekali ia dilihat dari sudut politik sempit dan politik kebencian sehingga tidak mampu menilai dari aspek betapa pen­tingnya hubungan erat kedua-dua parti itu demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.
 Sepatutnya, mereka perlu meng­anggap sama ada kalah mahupun menang, ia petanda yang baik dalam usaha melihat dua parti terbesar orang Melayu itu bersatu.

Tetapi malangnya bagi kelompok tertentu termasuk sesete­ngah orang Melayu, mereka bagaikan ‘berpesta’ dengan mentafsirkan kekalahan itu isyarat kerjasama UMNO dan Pas tidak akan ke mana.

 Hakikatnya, Sungai Kandis boleh dianggap satu percubaan sama ada boleh atau tidak, UMNO dan Pas bekerjasama, ternyata ia mampu dilakukan dan mahu tidak mahu sekalung tahniah harus diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta seluruh kepemimpinan kedua-dua parti kerana merealisasikan satu impian yang selama ini amat ditunggu-tunggu oleh orang Melayu.

Tidak mengapa BN kalah walaupun dibantu oleh Pas anggap sahaja ia sebagai satu ujian yang sekali gus akan membolehkan kedua-dua parti mengetahui kelemahan dan apa yang perlu dilakukan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama tersebut.

Pedulikanlah suara-suara sumbang atau mereka yang bagaikan ‘kera kena belacan’ apabila melihat UMNO dan Pas bersatu. Mereka tidak mahu itu berlaku kerana jika kerjasama tersebut benar-benar kukuh ia akan menjadi petaka politik kepada pihak lain.

Justeru kerjasama tersebut perlu diteruskan dan sudah pasti DUN Seri Setia pula akan menjadi ‘saksi’ seterusnya.

Apa yang penting gabungan kerjasama UMNO dan Pas ini amat penting demi survival politik orang Melayu dan mempertahankan hak-hak mereka serta agama Islam. Tuduhan menyatakan perjuangan seumpama itu berbaur perkauman, jumud dan sudah tidak sesuai dengan dasar Malaysia Baharu hanyalah hujah manusia-manusia yang semakin gelisah kerana tidak menyangka kedua-dua parti tersebut mampu bekerjasama.

Tidak boleh dinafikan sudah tentulah buat permulaan akan ada cabaran-cabaran yang perlu ditempuh terutamanya dalam memberi pemahaman kepada penyokong parti-parti masing-masing. Tetapi antara kedua-dua parti itu mempunyai persamaan yang cukup ketara iaitu diterajui oleh kepemimpinan Melayu dan dianggotai hampir keseluruhan orang Melayu.

Dari segi dasar perjuangan juga tidak banyak bezanya. Kedua-duanya memperjuangkan orang Melayu dan mahu memartabatkan Islam. Persamaan inilah yang akan membantu merealisasikan impian untuk melihat UMNO dan Pas berada dalam satu pasukan demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

Hakikatnya kita sudah bosan apabila ada pihak menganggap perjuangan membela orang Melayu dan agama Islam adalah perkauman dan menganggap UMNO serta Pas belum keluar dari kepompong perjuangan politik sempit.

Kenapakah memperjuangkan orang Melayu dan umat Islam mahu dipersenda atau diperlekehkan?

Kenapa tidak mahu memberi perhatian membanteras perjua­ngan songsang pihak tertentu ingin ‘memperkasakan’ golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)?

Menerjah masuk ke alam Malaysia Baharu bukanlah bermakna perjuangan untuk bangsa dan agama perlu diketepikan.

Kalaulah pihak-pihak lain semakin lantang meminta itu dan ini demi kepen­tingan kaum mereka, kenapakah apabila orang Melayu melakukan perkara yang sama dianggap rasis!
 Atas sebab itulah kepada seluruh orang Melayu tidak kira apapun fahaman politik janganlah terlalu ‘cemburu’ apatah lagi takut melihat UMNO dan Pas bekerjasama. Kalau tidak menyokong tidak mengapa, tetapi janganlah membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menggores perasaan orang Melayu lain.

Biarlah kepemimpinan kedua-dua parti itu berusaha sedaya upaya untuk bekerjasama walaupun sehebat mana pun rintangan yang menanti.

Tindakan memperlekeh dan mempersendakan kerjasama UMNO dan Pas ini tidak akan mendatangkan manfaat kepada orang Melayu secara keseluruhannya.
 Kalau dalam kalangan sesete­ngah pemimpin Melayu yang berada di luar kedua-dua parti itu selesa atau bimbang untuk bercakap soal memperjuangkan orang Melayu, janganlah menjadi ‘perosak’ kepada kerjasama UMNO dan Pas.

Penulis yakin biar apapun orang kata, kerjasama UMNO dan Pas termasuklah soal bertanding dalam pilihan raya amat penting terutamanya bagi menghalang perpecahan dalam kalangan orang Melayu berterusan akibat berbeza fahaman politik.

Cukup-cukuplah kita berpecah belah kerana perbezaan itu. Ia memandangkan sudah terbukti perpecahan berkenaan memberi kesan amat besar kepada kuasa politik Melayu.

Sebagai orang Melayu, penulis sentiasa yakin UMNO dan Pas perlu bersepakat. Melalui kesepakatan tersebut ia boleh menjadi benteng kepada orang Melayu dalam mempertahankan hak-hak mereka tanpa mengganggu gugat hak kaum-kaum lain.

Kalau ada puak yang mahu ‘tidur tak lena’ kerana kerjasama tersebut biarkan sahaja. Suara mereka tidak penting, apa lebih mustahak sekurang-kurangnya orang Melayu yang semakin gelisah dengan sinar Malaysia Baharu memahami ada pihak yang boleh mereka bergantung harapan dalam mempertahankan hak mereka dan agama Islam.

Inilah pentingnya hubu­ngan erat antara UMNO dan Pas diperkukuhkan.