Apa jua yang dilaksanakan dan diterjemahkan dalam laporan PTN 2016 itu, teras dan matlamat setiap era pembangunan itu, baik dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (NDP) Dasar Wawasan Negara (NVP) Model Ekonomi Baru (NEM) ia tetap sama, iaitu berkaitan dengan perpaduan nasional, pertumbuhan, kemakmuran dan kesaksamaan sosial. Yang berbeza hanyalah suasana dan persekitaran mengikut masa, yang dipengaruhi banyak faktor, termasuk faktor luaran.

Kita ketepikan buat seketika apa juga perbezaan ideologi, kefahaman dan persepsi yang boleh mempengaruhi pemikiran kita. Pertamanya, kita wajib bersyukur dan berterima kepada pemimpin, pemikir dan pelaksana dasar-dasar sebelum ini. Di era itu, mereka berjaya mengeluar negara ini dari kelompok negara-negara sedang membangun, ke dalam kelompok negara-negara pesat membangun.

Maka tepatlah mukadimah pembentangan laporan PTN 2016, oleh Najib, iaitu ‘langkah berani kerajaan, ekonomi Malaysia terus kukuh’. Tunggak utama pengisian NEM ialah PTN. Ia terdiri dari dua komponen utama; GTP (Program Transformasi Tadbir-urus) dan ETP (Program Transformasi Ekonomi). Perlaksanaan PTN ialah bagi mencapai misi utama NEM iaitu meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi tiga teras utama; berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan.

GTP dan ETP adalah dua pro­gram yang berbeza tetapi saling ber­sangkut-paut antara satu sama lain. Mulanya, PEMANDU hanya mengenal pasti enam NKRA sebagai skop perlaksanaan GTP, yang dikenal pasti melalui bancian dijalankan sebelumnya. Ia adalah berkaitan penurunan kadar jenayah, memerangi rasuah dan salah-guna kuasa, mempertingkatkan pencapaian pelajar, meningkatkan taraf hidup golongan B40, memper­tingkatkan prasarana asas di luar bandar dan mempertingkat sistem pengangkutan awam di bandar.

Kemudiannya satu lagi skop NKRA ditambah iaitu menangani kos sara hidup. Bagi Program ETP pula, PEMANDU mengenal pasti dan memilih 12 NKEA yang menjadi tunggak pembangunan ekonomi berprofil tinggi serta mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi berasaskan sumber asli.

Jika dalam tahun 2009 misalnya, kebergantungan negara kepada hasil minyak pada tahap 41.3 peratus (%), pada tahun 2015 hanya pada kadar 21.4% sahaja dan anggaran bagi tahun 2016 menurun ke paras 14.7% sahaja. Pun begitu ekonomi negara tidak menguncup kerana telah mempelbagaikan sektor ekonomi utamanya. Kali terakhir laporan berasingan mengenai GTP dan ETP dibentangkan ialah tahun 2014. Kali ini laporan kedua-dua program itu disepadukan sebagai Laporan PTN 2016. Pada hemat saya, laporan yang dibentangkan kali ini memaparkan pencapaian yang realistik.

Gelombang

Jika selama ini fokas pembangunan lebih condong ke arah kemajuan atau prestasi ekonomi semata-mata, melalui PTN ini nampak jelas bahawa kerajaan kini mengalih fokus dan haluan pembangunannya ke arah pembangunan berteraskan kemakmuran yang mengambil kira kualiti kehidupan, disamping kemajuan dan pembangunan fizikal. Pendekatan ini adalah konsisten dengan gelombang perubahan yang dibawa oleh beberapa institusi antarabangsa, terutamanya Bank Dunia.

Bank berkenaan kini memilih untuk menilai pembangunan sesebuah negara dari sudut perkongsian kemakmuran . Secara rambang saya selitkan di sini di antara pencapaian Program GTP ini. Mengenai pengurangan kadar jenayah misalnya, sejak tahun 2010, NKRA ini telah melaporkan purata penurunan tahunan Indeks Jenayah sebanyak 9% yang membawa kepada pengurangan keseluruhan sebanyak 47%.

Pada tahun 2016 saja, Indeks Jenayah menurun 2.8%. Melalui NKRA pembasmian rasuah dan salah-guna kuasa pula, kerajaan telah menubuhkan 14 mahkamah khas bagi kes-kes rasuah di setiap negeri dan WP. Lain-lain usaha di bawah NKRA ini termasuklah penekanan kepada usaha untuk memasukkan peruntukan liabiliti korporat sejajar dengan inisiatifnya untuk membanteras rasuah dalam sektor korporat.

Melihat pula kepada komponen ETP dalam PTN ini saya merujuk kepada kenyataan oleh Perdana Menteri yang turut mengaitkan Laporan BNM 2016, menyatakan kadar pertumbuhan tahunan yang dicapai ialah pada paras 4.2%, menurun dari paras 5.0% yang dicapai dalam tahun 2015. Prestasi ini, menurut Laporan BNM itu, dianggap memuaskan di sebalik iklim ekonomi global dan domestik yang tidak menentu.

Dalam Laporan PTN 2016 itu PEMANDU turut melaporkan hasil pertumbuhan ekonomi mengikut 12 NKEA yang diberi keutamaan. PNK bagi tahun 2016 mencecah nilai RM1194.6 bilion, RM827.2 bilion (69.2%) darinya adalah dari 12 NKEA yang dinyatakan itu. Buat pertama kali, sumbangan sektor pemborongan dan peruncitan (15.2%) mengatasi sektor minyak, gas & tenaga (15.0%).

Bagi memberikan gambaran yang lebih seimbang, saya juga merujuk kepada beberapa laporan pihak ketiga, seperti unjuran yang dibuat oleh PwC dalam laporan yang diterbitkan pada Februari 2015. Lain-lain rujukan termasuklah Global Prosperity Index 2016 yang diterbitkan oleh Legatum Institute of Prosperity, London, dan dua laporan oleh WEF, iaitu Global Competitive Index 2016 (GCI 2016) dan Inclusive Growth & Development Index 2016 (IDI 2016).

PwC mengunjurkan bahawa Malaysia mampu berada dalam kelompok 32 negara bertumbuhan tinggi dunia, iaitu negara-negara yang mampu mengekalkan paras ertumbuhan tahunannya tidak kurang dari 4.0%. Malaysia terbukti mampu mengekalkan rentak itu. Dalam tahun 2014 misalnya, PwC menyenarai Malaysia di kedudukan 27 dari 32 negara dalam kelompok itu dan menjelang tahun 2030 ia mampu melonjak ke tangga 24.

Legatum Institute of Prosperity yang telah menjalankan kajian dan menghasilkan Indeks Kemakmuran Global dalam kalangan 142 negara sejak satu dekad yang lepas, meletakkan Malaysia di kedudukan ke 38 dalam tahun 2016. Buat pertama kalinya Malaysia berada dalam kelompok 40 negara paling makmur dalam dunia.

Sebelum ini ranking Malaysia berkisar pada kedudukan ke 43-45 sahaja. Penemuan ini dianggap konsisten dengan kenyataan peningkatan dalam kualiti kehidupan rakyat Malaysia yang digambarkan dalam laporan PTN 2016 itu. Ini kerana tujuh NKRA yang dipilih sebagai petunjuk prestasi GTP itu hampir menepati skop lapan petunjuk utama yang dibina oleh Legatum Institute of Prosperity dalam mengukur tahap kemakmuran sesebuah negara.

Pun begitu, Indeks GCI yang diterbitkan oleh WEF menunjukkan daya-saing Malaysia menurun bagi tempoh 2016, dari kedudukan di tangga ke 18 dalam tahun 2015, ke tangga 25 dalam tahun 2016. Akan tetapi Indeks ini adalah indeks perbandingan, yang membandingkan daya-saing Malaysia berbanding dngan lain-lain negara. Terdapat juga beberapa negara yang lebih maju berbanding Malaysia yang indeks daya saingnya juga menurun dalam tempoh sama, tetapi ekonominya kekal stabil.

Maka, tidaklah boleh dianggap penurunan dalam Indeks GCI itu membawa makna ekonomi Malaysia menguncup dalam tempoh itu. Berbeza dengan Indeks IDI, Malaysia teguh di tangga ke 16 daripada 79 negara di dunia yang dapat diukur tahap keterangkuman ekonominya. Bezanya dalam laporan Indeks IDI ini ia menyatakan GDP Malaysia pada paras 3.7%. Jelas Indeks itu lagi, pertumbuhan dan pembangunan menyeluruh Malaysia mampu dikekalkan rancak pada kadar 4.7%.

Sekalipun dinyatakan bahawa peningkatan prestasi ini adalah kerana pertumbuhan ekonomi menerusi program ini dipacu oleh sektor swasta dan prestasi perkhidmatan awam juga meningkat, saya melihat ada beberapa lompang yang agak renggang antara peranan yang dimainkan oleh PEMANDU dengan agensi-agensi sedia ada, terutama beberapa agensi pusat yang sejak merdeka berperanan sebagai tunggak utama memacu kemajuan dan pembangunan negara.

Bagi menyelesaikan kemelut ini dan meredakan inisiatif sebegini dari terus berlarutan, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula skim perkhidmatan awam yang terlalu compartmentalize. Kerajaan wajar memperkenalkan Skim Perkhidmatan Nasional bagi menseragamkan semua skim perkhidmatan yang ada dan membolehkan golongan-golongan iktisas, termasuk mereka dalam sektor akademik, GLC, malah swasta, untuk berhijrah dan menyertai perkhidmatan awam.

Lebih menjadi sesuatu yang amat bermakna seandainya dapat dinobatkan dalam kalangan mereka yang pernah berkhidmat ini sebagai Tokoh DEB misalnya, bagi menghargai jasa mereka. Tidak senada dengan nilai budaya kita seandainya jasa mereka itu diibarat ‘habis madu sepah dibuang’. Itu pandangan peribadi saya.

Selamat menjalani ibadah puasa dan lain-lain ibadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh barakah ini.

 

Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, MPM.