Kita bersyukur peralihan kuasa telah berlaku dengan lancar dan negara kita juga masih terus aman dan stabil tetapi isu perpaduan kaum dan kontrak sosial wajar diberi perhatian serius terutamanya di musim perayaan supaya pembentukan bangsa Malaysia itu dapat direalisasikan.

Ironinya, politik sering dijadikan sempadan dan garis pemisah yang menjadi duri dalam da­ging kepada inisiatif untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Propaganda dan provokasi amalan politik sempit seperti politik perkauman dan kebencian yang menjadi darah daging segelintir ahli politik menyebabkan masyarakat buntu, keliru dan menjadi mangsa keadaan.

Walaupun usia kemerdekaan kita memasuki angka 61 tahun namun sehingga ke hari ini tahap perpaduan dalam kalangan rak­yat masih digambarkan umpama senipis kulit bawang ataupun sekadar di permukaan sahaja.

Akibatnya kontrak sosial yang telah dimeterai dan dipersetujui secara bersama oleh bapa-bapa kemerdekaan kita sebelum ini di­lihat sekadar menjadi perbualan hangat mengikut musim seperti ketika sambutan Hari Kebangsaan pada bulan Ogos sahaja.

Jadi, penulis berpandangan sudah tiba masanya untuk kita memperbaharui roh dan sema­ngat ikatan kontrak sosial tersebut mengikut keperluan semasa. Harus diingat, kontrak sosial yang telah dimeterai sebelum ini telah dijadikan sandaran utama untuk kita mendapatkan kemerdekaan dari penjajah. Melalui kontrak sosial tersebut wakil tiga kaum utama di negara ini pada ketika itu seperti orang Melayu, Cina dan India telah berikrar akan bersatu padu, bertolak ansur, saling hormat menghormati serta mengakui keistimewaan dan kedudukan penduduk asal Tanah Melayu.

Penulis yakin generasi lama yang telah merasai keperitan dan kesengsaraan di bawah penjajah serta merasai detik manis memperoleh kemerdekaan pastinya masih berpegang teguh kepada semangat kontrak sosial tersebut, tetapi bagaimana pula penghayatan dan pemahaman generasi pasca merdeka yang lahir selepas kemerdekaan tentang kontrak sosial ini. Mereka ini hanya sempat membaca dalam buku sejarah tentang sejarah penjajahan, kemerdekaan dan ikatan kontrak sosial tersebut. Maka sudah semestinya penghayatan itu akan berkurangan dan tidak sama de­ngan orang yang telah merasai­nya sendiri.

Dan apa yang lebih membimbangkan kita ialah, senario dan landskap politik dan kehidupan sosial rakyat negara ini yang telah banyak berubah pula dilihat semakin mengeruhkan lagi keadaan. Dari segi politik mi­salnya, masyarakat pada hari ini dengan jelas terpisah mengikut ideologi politik masing-masing. Ketaksuban terhadap parti politik adakalanya dilihat melebihi semangat patriotik terhadap negara di mana mereka sanggup buat apa saja demi parti dan individu pe­mimpin tertentu.

Ini ditambah pula dengan tindak tanduk segelintir ahli politik yang suka menerapkan atau menyebarkan budaya politik perkauman dalam kalangan anggota masyarakat. Akhirnya semangat kenegaraan dan perpaduan yang dibawa oleh kontrak sosial semakin tenggelam dan dilupakan.

Begitu juga halnya dengan senario kehidupan sosial rakyat kita. Budaya mahukan kehidupan yang bebas dan liberal menyebabkan sudah ada suara-suara sumbang yang berani mempertikai dan mempersoalkan isu-isu sensitif yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dan diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu serta kedudukan agama dan bahasa rasmi. Ini akhirnya mencetuskan pelbagai polemik dan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat. Provokasi yang dibuat menyebabkan rakyat marah dan mula mencetuskan pertelingkahan. Penulis yakin kegagalan menghayati sema­ngat dan roh ikatan kontrak sosial menjadi punca utama berlakunya situasi seperti ini.

Jadi, besarlah harapan kita agar setelah selesainya PRU-14 dan menjelang mood sambutan Hari Raya Aidilfitri kita dapat memperbaharui ikrar dan ikatan kontrak sosial dalam versi baharu memenuhi tuntutan keperluan semasa. Hal ini penting kerana kontrak sosial dilihat masih amat relevan untuk menyatupadukan rakyat negara ini. Apa yang perlu dilakukan ialah kita wajar merangka ikrar baharu untuk membangkitkan kembali roh dan semangat kontrak sosial tersebut yang mampu mengikat dan menjadi panduan generasi muda hari ini dan juga generasi yang akan datang.

Kita percaya majoriti anak muda hari ini tidak melihat kontrak sosial yang sedia ada yang telah dimeterai 60 tahun yang dulu sebagai hak milik mereka bersama. Mereka beranggapan ia kepunyaan orang dahulu iaitu generasi lama yang terlibat dalam pembentukan ikatan kontrak sosial tersebut. Jadi, mereka tidak menghayatinya sepenuhnya atau ada yang melihat tiada keperluan untuk mematuhinya. Untuk itulah sudah tiba masanya untuk kita perbaharui semangat dan roh kontrak sosial ini supaya dapat mengikat generasi hari ini agar mereka terima itu sebagai hakmilik mereka bersama.

Marilah kita lupakan segala persengketaan dan perbezaan ideologi dan pandangan yang ada, menolak jauh-jauh budaya politik perkauman serta tidak lagi mencetuskan provokasi dengan menyentuh isu-isu sensitif yang menggores hati dan perasaan orang lain. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).