'Pengembaraan' bermula di Pusat Reka Bentuk Shanghai yang menempatkan Geely Design di mana para jurutera dan artis grafik mengilhamkan dan memperagakan idea reka bentuk kereta serta pembuatan model kereta secara tanah liat. Kembara itu seterusnya menuju ke negeri kelahiran Geely iaitu Hangzhou, Zhejiang, kira-kira 108.4 kilometer (km) dari Shanghai. 

Perjalanan lebih dua jam itu merentai jambatan ketiga terpanjang iaitu Jambatan Teluk Hangzhou sepanjang 35.6 km. Di kawasan perindustrian khas Teluk Hangzhou itu, Geely telah membina Pusat Penyelidikan dan Pembangunan terbaharunya. Para wartawan turut dibawa ke ibu pejabat Geely di Ningbo, Zhejiang.

Ringkasnya, apa yang disaksikan setakat ini, adalah memuaskan dan menyakinkan. Memang syarikat ini tidak dikenali sebelum 2010 iaitu tahun syarikat itu memenangi bidaan untuk mengambil alih kepentingan di dalam jenama kereta Sweden, Volvo Cars dari Ford Motor.

Kolaborasi antara kedua-duanya begitu luar biasa. Dalam bahasa mudahnya ialah Geely sebagai 'tauke besar' tidak campur tangan dalam urusan Volvo dan tujuh tahun kemudian, Volvo berjaya mencatat pertumbuhan jualan dengan reka bentuk model terbaharunya begitu popular.

Paling terkini Jumaat lalu, `hasil perkongsian hidup' Geely dan Volvo ini telah 'melahirkan' satu jenama baharu iaitu Lynk & Co yang disasarkan kepada generasi pemilik baharu kenderaan. Kedua-dua syarikat berkongsi teknologi dan kepakaran.

Kerjasama efektif Geely dan Volvo itu tentunya menjadi asas kepada formula rakan strategik syarikat itu dengan Proton. Pastinya Proton akan menumpang manfaat tersebut. Ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Geely, An Chong Hui semasa menjawab soalan daripada media Malaysia.

Melonjak

Semua jenama di bawah Kumpulan Geely berpotensi menikmati faedah ini. Malah, laporan Reuters memetik pegawai Geely bahawa syarikat itu berhasrat menambah baik produk Proton dengan berkongsi teknologi Geely dan Volvo. Ketika awal pengambilalihan Geely ke atas Volvo pada 2010, terdapat kecurigaan dalam kalangan penganalisis industri sama ada Geely berupaya menerima pakai sebaiknya keupayaan teknologi automotif yang dimiliki Volvo.

Apa yang ketara sekarang, Geely benar-benar menggunakan peluang itu bagi meningkatkan keupayaan juruteranya dengan bantuan pengetahan pakar-pakar dari Volvo. Berdasarkan pemerhatian am terhadap beberapa model yang diberikan kepada wartawan media untuk dipandu uji, terasa begitu tebal pengaruh Volvo dalam reka bentuknya, selain asas teknologi pemanduan yang digunakan.

Tanpa menafikan fakta itu, pegawai Geely sedaya-upaya mahu menekankan bahawa Geely berhasil menemui ciri peribadinya sendiri, hasil kerjasama dengan Volvo tersebut. Model sedan GC9 dan kenderaan sport utiliti (SUV) yang akan dipasang di Malaysia, Boyue – mencatat jualan yang memberangsangkan dan membantu melonjakkan kedudukan syarikat.

Tahun lalu, Geely meraih kenaikan 50 peratus jualan kepada 766,000 buah kereta, dan dijangka mencecah 1 juta buah sehingga akhir tahun ini. Terdapat juga penganalisis industri yang melahirkan kebimbangan risiko terhadap Volvo, yang mungkin akan kehilangan imej jenama kerana berkongsi teknologi dan pengetahuan dengan syarikat China yang baharu itu.

Ketua Eksekutif Volvo, Hakan Samuelsson berkata, perkara utama ialah membezakan jenama tersebut sama sekali, meskipun Geely dan Volvo berkongsi teknologi. "Bagi Volvo, ini adalah mengenai peralatan yang lebih dan semakin selamat. Kemajuan yang dicapai Geely untuk menambah baik produk dan imej jenama sejak beberapa tahun ini menyakinkan saya terhadap keupayaan mereka melaksanakan proses ini dengan jayanya," ujar beliau.

Bulan lalu, Geely dan Volvo mengumumkan rancangan mereka untuk meneroka perniagaan melangkaui Lynk & Co dan mewujudkan usaha sama bagi perkongsian teknologi, seperti kejuruteraan dan enjin kenderaan menerusi penyusunan perlesenan bersilang di bawah kendalian syarikat usaha sama itu.

Langkah itu akan memberikan Volvo sumber pembangunan meluas dan kecekapan dalam membeli alat komponen. Ia juga membantu Volvo mempercepat pengenalan teknologi baharu untuk bidang seperti komponen kenderaan elektrik.

Cuaca di China sepanjang kembara ini melebih 35 darjah selsius. Kehangatan ini terpancar kepada potensi besar yang menunggu Proton. Yang dicurigai apakah Geely sekadar pelabur entah dari mana, kini boleh diyakini bakal memberi faedah kepada masa hadapan Proton.