Ini bagi memastikan mereka tidak menganggur dalam jangka masa panjang selepas tamat pengajian sekali gus menanggung beban hutang ketika belajar dahulu.

Dalam konteks ini saya mahu berkongsi pengetahuan dan pengalaman menghadapi situasi sama ketika diri sendiri, lima anak dan lima adik selepas mengambil peperiksaan SPM suatu masa dahulu.

Alhamdulillah, tanpa ada perasaan riak dalam diri kami berjaya mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan mempunyai kerjaya agak baik selepas menamatkan pengajian masing-masing di IPT.

Semoga kisah pahit dan manis keluarga kami yang dahulunya tergolong dalam kategori miskin dapat dikongsi serta dijadikan panduan kepada lepasan pelajar SPM dan ibu bapa masa kini.

Ini terutama bagaimana merealisasikan impian masing-masing dalam bidang akademik dan kerjaya melalui perancangan serta strategi yang dianggap lebih strategik.

Selain daripada guru, ibu bapa terpelajar turut memainkan peranan penting membimbing dan memberi panduan kepada anak masing-masing memilih kursus diminati sewajarnya serta sesuai dengan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan suatu masa nanti.

Dengan cara itu ia boleh membantu pelajar terbabit mencapai keputusan peperiksaan lebih cemerlang sepanjang pengajian di IPT selain memperoleh ijazah sarjana muda berkualiti.

Paling penting setiap graduan yang baru selesai mengikuti kursus pengajian memperoleh pencapaian Kumulatif Gred Purata Kredit (CGPA) antara 3.0 hingga 3.5 ke atas.

Selain itu mereka perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dan cekap menggunakan komputer pelbagai versi serta aplikasi supaya mereka mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Dalam pasaran pekerjaan biasanya majikan lebih gemar mengambil calon pekerja yang mempunyai tahap kelulusan minimum CGPA tertentu seperti 3.0 ke atas sebelum mengarahkan mereka hadir ke sesi temuduga.

Ketika mengadakan sesi temuduga calon biasanya akan diuji tahap kecemerlangan ilmunya yang boleh dikaitkan dengan bidang tugas yang akan diberikan.

Di samping itu calon dilihat kemampuan berfikir secara logik ketika menyampaikan pendapat masing-masing.

Kemahiran ini penting kerana ia boleh membantu pekerja ketika menghadapi sebrang masalah pada masa bertugas.

Dari situ penemuduga atau majikan dapat menilai mana satu calon terbaik yang bakal dipilih sebagai pekerja baru mereka nanti.

Ada sesetengah pelajar lepasan SPM memilih kursus yang dianggap mudah lulus yang akhirnya sukar mendapatkan pekerjaan di kemudian hari terutamanya di sektor swasta.

Tambahan pula mereka memperoleh pencapaian akademik yang kurang cemerlang.

Kursus yang mencabar di IPT biasanya kurang diminati pelajar terutamanya yang membabitkan mata pelajaran Matematik dan Sains tahap tinggi walaupun ia memudahkan graduan terbabit mendapatkan pekerjaan pada masa depan.

Oleh itu setiap pelajar lepasan SPM perlu dipandu menentukan arah tuju mereka di IPT di samping meneliti keputusan mata pelajaran peperiksaan yang diperoleh baru-baru ini dengan memadankan syarat yang ditetapkan institusi berkaitan.

Mereka mungkin boleh memilih pengkhususan kursus peringkat ijazah sarjana muda setelah tamat pengajian di peringkat Matrikulasi atau Asasi Sains di Kementerian Pendidikan atau IPT.

Mereka tidak sepatutnya memilih kursus yang mudah tetapi sukar mendapatkan pekerjaan di kemudian hari apabila tamat pengajian.

Bagi yang kurang cemerlang dalam keputusan peperiksaan SPM juga boleh meneruskan pengajian peringkat diploma di IPT atau menyertai tingkatan enam di sekolah menengah terpilih bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) nanti.

Ingatlah, kos pengajian di peringkat IPT sekarang sangat tinggi dan ia mestilah berbaloi dengan pencapaian akademik diperoleh di samping menjamin kerjaya masa depan masing-masing yang lebih cemerlang serta gemilang.

Jika tidak, pelajar terbabit bakal menghadapi hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kira-kira RM30,000 yang perlu dibayar semula.

Sedangkan mereka masih belum memperoleh sebarang pekerjaan tetap yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup masa depan masing-masing.

Fikir-fikirkan sebelum nasi menjadi bubur yang tidak patut dikesali suatu masa nanti.

DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah perunding media dan penyelidikan sains politik tanah air.