Walaupun telah banyak kes kebakaran dilaporkan berlaku sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati sebanyak 495 buah daripada 1,267 pusat tahfiz yang diperiksa di seluruh negara berdepan risiko kebakaran, sekali gus boleh mengundang bahaya kepada penghuninya.

Amat membimbangkan apabila dilaporkan isu utama membabitkan 495 pusat tahfiz berkenaan adalah berhubung kesesakan di asrama, ketiadaan pintu kecemasan serta laluan menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan pendedahan pihak JBPM bahawa 140 daripada 649 bangunan milik kerajaan di seluruh negara masih tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Walaupun sekolah tahfiz secara spesifik tidak termasuk dalam senarai keperluan mendapatkan FC, asrama dan domitorinya adalah di antara sembilan premis yang tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Kita tidak seharusnya melupakan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat pada 14 Sepember 2017. Dalam insiden yang berlaku pada pukul 5.15 pagi itu, 21 pelajar dan dua guru terbunuh apabila mereka terperangkap di tingkat tiga asrama yang terbakar.

Kejadian itu juga bukanlah yang pertama meragut nyawa di sekolah agama kerana pada 22 September 1989, Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai “Pondok Pak Ya” di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah turut terbakar.

Seramai 27 pelajar perempuan terbunuh dalam kebakaran yang memusnahkan lapan asrama di sekolah tersebut.

Malangnya, cadangan dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat kebakaran di Pondok Pak Ya tidak pernah dilaksanakan.

Namun saya amat berbesar hati apabila semakin banyak institusi keagamaan turut bersama-sama mengorak langkah ke hadapan dan membuktikan mereka  mampu menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang termasuk berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Pihak pengurusan dan pentadbir sekolah-sekolah agama seharusnya bertindak secara proaktif dengan menetapkan standard yang tinggi bagi menjamin aspek keselamatan dan kesihatan di premis masing-masing.

Mereka boleh menjadikan buku panduan KKP untuk sekolah tahfiz yang diterbitkan oleh NIOSH awal tahun lepas sebagai rujukan utama untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di premis masing-masing.

Buku Panduan KKP untuk Sekolah Tahfiz ini amat mudah untuk difahami dan boleh dilaksanakan dengan baik di semua sekolah tahfiz seluruh negara.

Di samping itu, buku panduan ini dapat menyediakan dan menggalakkan pelaksanaan penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC) serta penyediaan prosedur kerja selamat bagi setiap aktiviti yang dijalankan di sekolah.

Pada masa sama, usaha bersepadu perlu dilaksanakan untuk mendaftar semua sekolah tahfiz swasta yang dipercayai melebihi 800 buah dengan hampir 50,000 pelajar dan 5,000 guru.

NIOSH yang turut menghantar pasukan khasnya untuk melawat sekolah-sekolah tahfiz bagi mengenal pasti masalah dihadapi mendapati betapa daif sesetengah premis tersebut akibat kurangnya kesedaran serta dana tidak mencukupi.

Antaranya, keadaan kabel elektrik yang terdedah dan kedudukannya merentangi laluan serta penggunaan lingkaran nyamuk yang tidak diletak dalam bekas yang sesuai. Terdapat juga pintu kecemasan dihalang dengan pelbagai objek manakala pemadam api pula tidak disenggara atau disimpan jauh dari bangunan sekolah dan asrama.

Justeru, semua pihak perlu membantu dari segi kewangan, kepakaran dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap keselamatan di sekolah-sekolah tahfiz ini agar insiden menyayat hati tidak berulang di institusi dibina bagi membentuk generasi akan datang yang berilmu dan beriman.

Semua pihak perlu akur bahawa pematuhan terhadap OSHA 1994, penguatkuasaan berterusan oleh agensi terbabit serta inisiatif latihan KKP oleh NIOSH tidak akan berjaya tanpa sokongan setiap lapisan masyarakat demi menangani isu kemalangan dan kebakaran di sekolah-sekolah tahfiz.
 

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).