Yang menariknya, jelas kali ini Kabinet Malaysia menunjukkan kepelbagaian kaum dan gabungan wajah muda dengan yang berpengalaman. 

Diterajui Perdana Menteri yang paling senior dalam sejarah dunia dan dianggotai oleh menteri paling muda dalam sejarah negara, rakyat Malaysia kini meletakkan harapan yang tinggi untuk sama-sama menongkah arus perubahan yang bakal meletakkan negara ini kembali disegani di persada dunia. 

Tahniah juga diucapkan kepada Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Kulai, Johor yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada majlis yang sama. 

Satu yang istimewa mengenai anggota Kabinet kali ini adalah majoriti mereka adalah anak-anak pasca merdeka dan pasca Malaysia yang mendapat sentuhan sistem pendidikan rendah dan menengah di negara kita sendiri.  

Lim Guan Eng, sebagai contoh, mendapat pendidikan awal antaranya di PJ La Salle Primary English School dan Malacca High School.   Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menempuhi zaman persekolahan dan pendidikan tinggi di dalam negara. Menteri Pendidikan sendiri mendapat pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (2) dan kemudiannya ke Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Johor Bahru sebelum menyertai  Madrasah al-Quran Waddin pada 1989 dan kemudiannya ke Maahad Johor. 

Keperibadian dan semangat cintakan negara anggota Kabinet yang baharu ini amat terserlah sejak mereka menceburkan diri dalam bidang politik, dan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sentuhan daripada sistem pendidikan negara adalah antara faktor yang menyumbang kepada pembentukan sahsiah pemimpin negara masa kini.  

Justeru walaupun pelbagai kritikan dilemparkan kepada sistem pendidikan formal itu sendiri, proses didikan dan pembentukan akhlak tetap berlaku; malah telah diterjemahkan dalam proses pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini, apabila rakyat menuntut pembaharuan dalam menentukan hala tuju negara dalam era ledakan teknologi masa kini dan ketidaktentuan cabaran global masa akan datang.  

Sistem pendidikan negara telah melalui pelbagai fasa dengan pelbagai laporan dengan pelan tindakan bagi memastikan aspirasi negara dapat direalisasikan.  Dalam penulisan sebelum ini saya telah menyentuh sedikit latar belakang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, bagaimana pelan ini telah mengambil semangat dan intipati daripada Laporan Pendidikan terdahulu bermula Laporan Razak 1956 hinggalah kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2016- 2010.  

Enam tahun pelaksanaan PPPM 2013-2025 menuntut Kementerian Pendidikan untuk menilai semula inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan bahawa transformasi pendidikan berada pada landasan yang betul demi menyediakan anak-anak bangsa Malaysia yang seimbang ilmu dan akhlaknya bagi mendepani cabaran masa akan datang.  

Usaha untuk meletakkan kedudukan Malaysia antara sepertiga teratas negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia tidak mungkin akan tercapai tanpa kerjasama kolektif daripada semua pihak, sama ada pihak guru, ibu bapa, komuniti atau sektor swasta dengan dipacu oleh pentadbiran pendidikan yang mantap dan berkesan.  

Sejak memegang portfolio Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dapat dilihat berusaha untuk menangani beberapa isu pendidikan yang memberikan kesan langsung kepada murid.  Isu beg berat yang dihadapi oleh murid sekolah rendah sebenarnya bukanlah satu isu baharu kerana 23 tahun yang lepas, ketika Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin menjadi Ketua Pengarah Pelajaran, kementerian telahpun mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/1995 mengenai Pelaksanaan Jadual Waktu Anjal Bagi Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dengan tujuan utama untuk membolehkan pengajaran pembelajaran dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan serta mengurangkan berat beg murid.  Arahan adalah amat jelas bagi pemimpin sekolah untuk menggunakan budi bicara masing-masing dalam menyusun jadual waktu yang sesuai dengan keadaan sekolah.  

Kini isu yang sama masih lagi memerlukan intervensi daripada Pengurusan Tertinggi kementerian untuk menanganinya.  Persoalannya – apakah yang berlaku dalam jangka masa 20 tahun ini tidak dipantau atau berada di luar ‘radar’ kementerian?

Justeru sememangnya wajar pelaksanaan sebarang dasar atau polisi pendidikan dikaji semula bagi memastikan apa yang dihasratkan di peringkat kementerian benar-benar dapat direalisasikan di peringkat pelaksana.

 Begitu juga dengan pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) ataupun Dual Language Programme (DLP) sebagai contoh.  Kewujudan instrumen dan program ini adalah sebahagian daripada the big picture atau keseluruhan daripada hala tuju PPPM 2013-2025 dan sewajarnya dilaksanakan berdasarkan aspirasi yang dihasratkan bagi mencapai matlamat yang sama.  

Oleh kerana isu sebenar adalah mengenai pelaksanaan, seharusnya kementerian menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) bagi mengkaji semula pelaksanaan inisiatif PPPM 2013-2025 dan menggembleng jentera sedia ada  di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi memastikan pihak pelaksana di sekolah sentiasa mendapat sokongan dan bantuan untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua anak warganegara.