Tidak salah mempunyai cita-cita, impian dan harapan. Malah ia suatu kebaikan dalam kehidupan. Agama menggalakkan setiap penganutnya mempunyai harapan dan cita-cita ini.

Justeru, enam ciri utama yang diperlukan setiap murid demi mengejar cita-cita selain berupaya bersaing di peringkat global sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Ini telah digariskan dalam tujuan pendidikan antaranya pertama, mempunyai ilmu pengetahuan. Kedua, mempunyai kemahiran berfikir. Ketiga, mempunyai kemahiran memimpin.

Keempat, mempunyai kemahiran dwibahasa. Kelima, mempunyai kemahiran etika dan kerohanian dan keenam, mempunyai identiti nasional. Apa pun cita-cita yang disemai sejak kecil mestilah dipadukan dengan usaha belajar bersungguh-sungguh.

Tanpa ilmu dan pelajaran seseorang itu sukar untuk mencapai cita-cita dalam era globalisasi yang penuh dengan persaingan. Beberapa tokoh Barat seperti George Bernard Shaw mengatakan, ada dua tragedi dalam hidup ini.

Pertama, tidak mendapat apa yang diinginkan. Kedua, apabila mendapatnya. Thomas Fuller pula mengatakan, kalau bukan kerana harapan, hati pasti akan patah.

Sementara menurut William Shakespeare, cita-cita harus diperbuat daripada ‘bahan’ yang keras. Bagi mengelakkan cita-cita, impian dan harapan ini tidak kesampaian menurut Mark Twain, jauhi orang yang cuba memperlekehkan cita-cita anda.

Orang berfikiran sempit selalu bersikap begitu, tetapi mereka yang benar-benar hebat akan membuatkan anda terasa diri juga boleh menjadi hebat.

Oleh sebab itu, pendidikan memainkan peranan utama ke arah merealisasikan cita-cita, impian dan harapan seseorang. Usaha mendalami ilmu pengetahuan melalui pendidikan akan memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat dan menyokong transformasi dalam perkhidmatan awam.

Kadang-kadang tidak semua cita-cita, impian dan harapan itu tercapai apabila dewasa atau di alam pekerjaan. Namun jika seseorang itu memasang cita-cita, harapan dan impian yang tinggi dikatakan 80 peratus daripadanya akan tercapai dalam hidup jika berusaha ke arah itu.

Ibu bapa dan juga guru-guru di sekolah juga berperanan memupuk cita-cita, impian dan harapan anak-anak dan murid ke arah kejayaan melalui pendedahan kepada kerjaya diminati. Ganjaran gaji lumayan akan merangsang seseorang memasang cita-cita tinggi.

Seperti kata tokoh Barat John Morley, anda tidak dapat memperlihatkan emosi, namun juga tidak dapat mematikan cita-cita. Bagi Imam Abu Hanifah, cita-cita perlu bagi manusia yang hidup.

Manusia tidak bercita-cita bukanlah sebenarnya dia hidup tetapi itu adalah kematian, kerana manusia yang tidak bercita-cita, sudah mati batinnya dan sama keadaan di dalam kubur.

Kesimpulannya, cita-cita, impian dan harapan sangat besar maknanya pada setiap tahun baharu dalam kehidupan tiap insan. Seseorang insan terutamanya pelajar dan siswa yang mempunyai visi, mempunyai wawasan hidup tentulah mempunyai cita-cita, impian dan harapan tinggi dan murni dalam hati dan jiwanya. Oleh itu, bakarlah semangat gandakan usaha untuk mencapai kejayaan dicita-citakan.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah aktivis sastera