Hakikatnya ucapan ini amat dinanti-nantikan terutamanya ketika parti bagaikan sebuah bahtera yang sedang mengharungi gelora ombak dan badai besar peperangan persepsi yang amat hebat.

Keganasan persepsi atau violence of perception bagaikan sukar dibendung dengan pelbagai kata nista, fitnah, dan tohmah dilemparkan kepada parti. Malah tidak sedikit manusia yang terus menerus mengadu-domba dengan mencorakkan persepsi rakyat melalui pelbagai instrumen media sosial agar perjuangan murni UMNO terus menerus dicurigai.

Namun, di sebalik gelora lambungan ombak dan badai yang melanda barisan kepimpinan parti sejak awal hingga kini, Alhamdulillah UMNO masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Mungkin kerana parti ini ada karamahnya. Keramat parti ini kerana ia lahir daripada rahim yang suci dan kudus. Rahim yang berteraskan perjuangan luhur atas semangat penyatuan Melayu. Rahim yang berpaksikan permuafakatan untuk mendaulatkan agama Islam sebagai tunjang perjuangannya.

UMNO tentu sekali bukan seperti parti-parti lain yang lahir daripada rahim yang kotor penuh haloba. Rahim yang berpaksikan perpecahan lantaran kecewa dalam perebutan kuasa. Rahim yang berintikan kepentingan diri hingga tercabut prinsip akhlak dan agama.

Hakikatnya UMNO dibangunkan di atas idealisme perjuangan yang jelas berpaksikan ajaran Islam, berorientasikan rakyat dan bertunjangkan keikhlasan untuk terus memacu negara ke arah kecemerlangan dan kemakmuran.

Namun semua ini tidak akan bermakna sekiranya wadah ini longlai dan terus berpolemik dengan isu-isu picisan, sehingga parti lebih sibuk berkemelut dengan perbalahan dan pergeseran sesama sendiri.

Nampaknya sejak akhir-akhir ini semacam wujud kecenderungan warga parti untuk lebih mudah mendengar mahupun menyebar spekulasi dan berita-berita yang belum pasti sehingga menimbul sangsi terhadap kepimpinan dan organisasi.

Mungkin kita lupa betapa al-Quran sering memperingatkan tentang akibat mendengar dan menyebar spekulasi dan berita yang belum dipastikan, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang menekankan prinsip Tabayyun atau menyelidiki secara tuntas sesuatu maklumat sebelum bertindak mahupun untuk disebarkan.

Al-Quran juga telah memberi peringatan keras kepada mereka yang mendengar dan menyebar fitnah dan tuduhan palsu tanpa sikap baik sangka atau memastikannya terlebih dahulu. Surah an-Nur ayat 16 dan 17 menjelaskan perihal demikian.

Peranan media sosial dalam mewarnakan persepsi dan mencorakkan spekulasi juga tampak lebih mudah mempengaruhi pemikiran rakyat hatta pendukung parti. Lebih menyedihkan apabila selaku pendukung parti keramat ini, kita juga bagaikan terus menerus menari mengikut irama, ritma dan alunan lagu yang didendangkan oleh pihak-pihak berkepentingan yang sentiasa bersedia menghidu peluang dan ruang untuk memporak-perandakan parti keramat ini.

Sebab itulah, UMNO juga tidak boleh selamanya menyalahkan orang lain kerana parti hanya kukuh bertahan sekiranya setiap warga benar-benar menjiwai agenda perjuangan dan kekal berdisiplin mematuhi tanzim atau sistem disiplin organisasi yang berperanan menyelaras dan mewujudkan keserasian hingga terjelmanya kesatuan pemikiran (wahdatul fikr) dan kesatuan tindakan (wahdatul ‘amal) di dalam sanubari setiap pendukung parti.

Tanzim perjuangan inilah yang perlu diperkukuh dan diperkasakan oleh UMNO. Apa yang dimaksudkan dengan tanzim ialah kesetiaan kepada wadah dengan berpegang teguh kepada peraturan dan disiplin organisasi sehingga tiada ruang untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh melemahkan hatta menghancurkan parti.

Ini memerlukan setiap pemimpin, ahli dan pendukung parti kembali mengukuhkan elemen-elemen tanzim seperti mempunyai kepimpinan (qiyadah) yang berwibawa, kepengikutan (jundiyah) yang setia pada perjuangan seterusnya mempunyai perencanaan (khittah) yang kemas dan mantap.

Sebagaimana saranan Presiden dalam ucapan dasarnya, UMNO perlu mewujudkan collective leadership yang masing-masing mampu menampung kelemahan antara satu sama lain dan bukannya ‘cah keting’ sesama sendiri.

Parti juga perlu mengurangkan konflik-konflik dalaman yang tidak membawa kebaikan kepada jemaah. Malah setiap ahli juga tidak harus menjadi pengadu domba atau an-namimah yang boleh mencetuskan konflik dalaman sesama ahli parti.

Tiada salahnya untuk berbeza pendapat dalam organisasi terutamanya bagi sebuah parti politik, selagi adab dan akhlak perbezaan pandangan kekal dipelihara dan dihormati. Malah konsep Syura dalam khazanah ilmu siasah Islam sentiasa meraikan pandangan berbeza dalam memperhalusi sesuatu keputusan.

Namun ayat 159 Ali-Imran meletakkan panduan jelas mengenai prinsip Syura agar sebarang keputusan yang dicapai wajib didokong secara bersama dan diserahkan semutlaknya kepada Allah akan natijah keputusan yang dibuat.

Janganlah pula menjadi sebagaimana pepatah Melayu, rumah sudah siap terbina tapi pahat masih berbunyi.

Dalam konteks berorganisasi ini jugalah, Islam menitikberatkan prinsip wala’ iaitu peringkat tertinggi ketaatan terhadap kepimpinan dan organisasi. Wala’ bukan sekadar tunduk dan patuh kepada kepimpinan tanpa makna dan erti. Wala’ tidak sesekali merelakan pendukung parti melakukan onar sesuka hati. Wala’ juga dalam tradisi kepemimpinan Islam bukan taat membuta-tuli kerana takut tidak terperi.

Sebaliknya wala’ dalam Islam adalah prinsip ketaatan dan kepatuhan kepada kepimpinan dan organisasi yang berpaksikan kasih sayang, disulami mutiara keikhlasan, lantas menatijahkan kesetiaan seutuhnya kepada idealisme perjuangan sehingga kita sanggup berkorban jiwa raga, harta ataupun nyawa demi mempertahankan keutuhan dan kelangsungan survival parti. Inilah antara garis besar haluan perjuangan UMNO yang perlu dititikberatkan bagi memastikan UMNO terus relevan untuk berbakti kepada agama, bangsa, dan negara.

Justeru, setiap pendukung dan pejuang parti wajib memahami dan menghayati prinsip wala’ dalam sistem atau tanzim parti dalam dunia yang penuh mencabar hari ini. Kegagalan menjiwai prinsip wala’ dalam diri hingga tergamak melakukan sesuatu di luar batasan dan tabii disiplin organisasi, pasti akan mengundang fitnah berterusan dan kecelakaan kepada parti sehingga parti menjadi lemah dan longlai yang boleh menggadaikan agenda umat yang lebih besar.

Jangan nanti setiap warga parti akan dihina dan diazab Allah lantaran kegagalan menjiwai dan menggalas amanah perjuangan suci ini. Lantas digantikan pula dengan kumpulan atau gabungan lain walaupun tidak seiring dengan aspirasi ummah dan agama.

Inilah antara amaran yang sering diulang-ulang oleh Allah dalam al-Quran melalui pelbagai ayat yang menggambarkan akan fenomena penggantian satu kaum dengan kaum lain lantaran ketempangan akal budi dan kegersangan akhlak hingga melunturnya semangat perjuangan.

Firman Allah dalam al-Quran: “Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah bagi membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikit pun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (At-Taubah:39)

PENULIS ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.