Seramai 21 pelajar dan dua warden Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur terkorban apabila maahad mereka terbakar.

Meskipun siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan berlaku perbuatan khianat namun keselamatan pusat-pusat tahfiz di seluruh negara tidak boleh dipandang ringan.

Insiden menggemparkan itu bukan sahaja mendominasi akhbar dan media tempatan malah media antarabangsa Cable News Network (CNN) turut melaporkannya.

Ini sekali gus mengakibatkan kita kehilangan pelajar-pelajar yang bakal menjadi qurra’ (Ahli Qiraat) yang mahir dalam bacaan al-Quran dan al-Qiraat, pendakwah pendidik dan imam yang terlatih.

Namun jangan kita cepat ter­kedu tetapi ambillah iktibar supaya langkah-langkah lebih serius dan menyeluruh diambil bagi menjamin aspek keselamatan pusat-pusat tahfiz di seluruh negara.

Sesuatu yang mesti diakui oleh semua pihak ialah tiada keseragaman urus tadbir piawaian keselamatan dan penguatkuasaan yang tegas bagi menyelaras Sekolah-sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz dan pondok agama di negara ini.

Perkara ini rata-rata kurang diberi perhatian kerana sikap kita sendiri yang baharu bergegas ber­tindak setelah ditimpa musibah. Perkara pokok ialah buang sifat tersebut terlebih dahulu.

Di Malaysia, pendidikan tahfiz diletakkan begitu dekat dengan pentadbiran kerajaan. Ia adalah institusi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan maahad tahfiz dinaikkan taraf sebagai satu bahagian di Ja­batan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1997.

Dalam konteks tragedi kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan mengambil kira faktor pencegahan dan penguatkuasaan, kita memerlukan input berkaitan pendekatan dan kaedah serta kemahiran-kemahiran agensi terbabit untuk bekerja dengan golongan sasar.

Pendekatan dan model pe­nguatkuasaan bertunjangkan ‘tiada kompromi’ demi keselamatan dituntut setiap agensi terlibat bagi mengelak tragedi berulang. Yang membimbangkan pelbagai pihak ialah sejauh mana keselamatan bangunan yang menempatkan pe­lajar diberi keutamaan?

Kita sedia maklum bahawa tapak bangunan sekolah tahfiz yang dibina kebanyakannya sudah beroperasi terlalu lama dan mengikut Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 jelas menyatakan tiada seorang pun boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan. Malah tiada sebarang tindakan diambil terhadap sekolah yang beroperasi secara haram berikutan masih tidak mempunyai sijil kelayakan menduduki.

Perlukah ada dasar Maahad Tahfiz Negara? Sehingga kini kaedah atau cara yang berkesan masih menjadi persoalan rumit namun cadangan penambahbaikan berikut disarankan penulis:

a) Audit pegawai serta agensi yang terbabit ke atas piawaian keselamatan.

b) Audit Maahad Tahfiz yang beroperasi dan kuatkuasakan prosedur keselamatan di semua sekolah termasuk sekolah kerajaan.

c) Mewajibkan latihan kecemasan dan kawad keselamatan kepada pelajar.

d) Pastikan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menjalankan pemeriksaan keselamatan setiap bulan sekali. Spesifikasi mestilah dipatuhi oleh pusat tahfiz tanpa kompromi dan wajib ditepati.

e) Pihak berkuasa tempatan (PBT) menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas terhadap mana-mana sekolah Tahfiz yang beroperasi tanpa kelulusan.

f) Wujudkan jawatankuasa Kabinet untuk sediakan laporan tahfiz serta audit pencapaian tahfiz dan kadar hafazan tahfiz.

g) Ibu bapa memantau dan bertindak melaporkan jika ada kegagalan dari segi infrastruktur di maahad.

h) Sekolah mendengar dan memahami permasalahan pelajar.

Berdasarkan cadangan di atas, pemerkasaan komuniti setempat dalam usaha membantu mening­katkan kesedaran komuniti untuk memikul tanggungjawab dan mengambil peranan aktif dalam keseluruhan proses penambahbaikan perlu dititikberat juga.

Bagi memperkasakan institusi pendidikan tahfiz al-Quran, dialu-alukan cadangan kerajaan melalui JAKIM bagi merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN). Pendekatan terbaik de­ngan menjemput pengelola madrasah tahfiz agar turut memberikan pandangan dan cadangan kepada pembangunan DPTN dalam usaha memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur di Malaysia.

Sehubungan itu, saranan membentuk jawatankuasa baharu bagi menyelaras Sekolah-sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz dan pondok agama dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di­sambut baik.

Ketika ini terdapat 941 maahad tahfiz swasta dengan 612 berdaftar dengan pihak berkuasa negeri dan Kementerian Pendidikan dengan selebihnya tidak berdaftar. Seramai 150,000 pelajar berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia.

Seperkara yang menarik lagi ialah berkenaan cadangan Pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, kemudian akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan jika perlu. Antara syornya ialah berkaitan isu sekolah agama swasta termasuk maahad tahfiz dengan cadangan pindaan akta itu bagi membolehkan aspek pendaftaran sekolah agama swasta dimasukkan ke dalam akta berkenaan.

Pembentukan jawatankuasa, a­gensi, pasukan dan jabatan di peringkat negeri dan daerah oleh kerajaan suatu bukti jelas tentang kepentingan agenda ma­syarakat dalam memperincikan pusat tahfiz.

Dengan demikian, setelah kerajaan menyedari permintaan yang tinggi oleh masyarakat, diharap agenda tersebut mempunyai im­plikasi perubahan besar terhadap pendidikan tahfiz di Malaysia.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).