Dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500, bantuan itu dapat meringankan bebanan dalam menyediakan kelengkapan dan keperluan persekolahan anak-anak. Sebagai seorang bapa, Azman tidak mahu anaknya tercicir dalam pendidikan yang adalah teras kehidupan. Dia mahu memberikan yang terbaik kepada anaknya. Berikutan itu, usaha Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang sangat disyukuri serta dihargainya.

Azman ialah salah seorang penjaga kepada 20,000 murid dan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh Pahang yang layak menerima BAP. Pemilihan penerima bantuan itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang mengenal pasti mereka yang layak.

Agihan bantuan itu dilakukan sejak Disember lalu iaitu sebelum sesi persekolahan 2018 bermula dan dijangka berakhir pada hujung bulan ini yang melibatkan implikasi kewangan program BAP sebanyak RM4 juta.

Berdasarkan rekod, sejak ditubuhkan pada 1983, Yayasan Pahang selaku organisasi yang diamanahkan untuk memartabatkan masyarakat yang berilmu pengetahuan hingga ke taraf dunia memberi bantuan serta manfaat kepada 1.3 juta orang dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.1 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM378 juta adalah untuk biasiswa (307,867 penerima), RM250 juta untuk program pendidikan sukan, kebudayaan atau kemasyarakatan (1.1 juta penerima ) dan RM521 juta lagi bagi pinjaman pendidikan melibatkan 307,867 penerima.

Hakikatnya, peruntukan besar dalam pelbagai program membuktikan kerajaan negeri menitikberatkan soal pendidikan anak negeri ini.

Hal demikian kerana kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob sentiasa menjadikan bidang pendidikan sebagai antara agenda utama dalam pentadbirannya bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menurut Adnan, program BAP adalah lanjutan daripada bantuan persekolahan yang pernah dilaksanakan oleh Yayasan Pahang.

“Jika sebelum ini kita memberikan bantuan seperti beg dan pakaian sekolah, kali ini kita beri bantuan wang tunai sebanyak RM200 bagi menampung perbelanjaan persekolahan. Diharapkan semua penerima dapat memanfaatkan bantuan ini dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap merasmikan program BAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Bentong baru-baru ini.

Bagi Adnan yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang, pendidikan adalah faktor pen­ting bagi membentuk modal insan berkualiti dalam memastikan anak-anak mampu bersaing dan menentukan setiap keluarga menikmati masa depan yang lebih baik.

“Sediakan tabung untuk persekolahan anak-anak. Pelajaran anak-anak penting kerana dapat mengubah masa depan. Ubah sikap, jangan pentingkan hiburan, fesyen atau membeli-belah. Tanggungjawab pelajaran anak-anak adalah tanggungjawab kita,” katanya.

Mudah-mudahan menerusi dorongan diberikan kerajaan dan digabungkan dengan komitmen semua pihak, hasrat untuk melihat anak-anak Pahang termasuk dari Kampung Kechau Tui mempunyai kehidupan yang lebih baik hasil pendidikan mereka boleh dicapai.