Luahan rasa dinukilkan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO  itu selepas pelancaran buku The End Of UMNO? di Bangunan Sulaiman di ibu negara menaruh keyakinan organisasi media perlu bebas daripada pengaruh kerajaan atau parti politik. 

Saya tidak mahu panjangkan 'isu’ mengenai akhbar ini yang menjadi perhatian Tengku Razaleigh kerana sudah menjadi rahsia umum kedudukan dan perkembangan terkini akhbar yang antara  tertua  di  negara ini itu yang dilaporkan oleh media tempatan dan luar negara.

Hari ini, barangkali dalam kalangan orang muda cuma mengenali Utusan Malaysia (dulunya Utusan Melayu) - sebagai salah satu akhbar arus perdana di negara ini. Tetapi hakikatnya Utusan Melayu melampaui peranan sebagai sebuah akhbar.

Utusan sebenarnya menyimpan satu sejarah yang amat panjang. Ia institusi perjuangan orang Melayu, tidak kira perjuangan kiri atau kanan. Tarikh 29 Mei lalu genaplah umur Utusan Malaysia (Utusan) yang ke-79 tahun.


Sosialis, radikal, nasionalisme

Ramai mungkin tidak menyangka akhbar ini pernah dikuasai oleh golongan sosialis, radikal dan nasionalis - dengan warna-warni semangat nasionalisme dan kemerdekaan suatu masa dahulu.

Kata bekas Ketua Pengarang Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin, sebelum Utusan Melayu ditubuhkan, tidak ada akhbar yang dimiliki oleh orang Melayu dan memperjuangkan nasib orang Melayu. Ketika itu Warta Malaya dimiliki oleh orang keturunan Arab dan isu-isu mengenai orang Melayu menjadi terpinggir.

Tetapi apabila penjajah mengusulkan Malayan Union yang akan merampas kuasa raja-raja Melayu, Utusan Melayu bangun berjuang menentang Malayan Union. Perjuangan menentang Malayan Union membuatkan Utusan Melayu terbuka kepada orang daripada kaum Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan India (DKI).

Bapa kewartawanan Melayu, Abdul Rahim Kajai antara orang yang aktif menulis dalam mentafsirkan takrif sebenar Melayu ini. Makanya, muncullah sekumpulan anak Melayu (lebih kurang 20 orang) yang berusaha menubuhkan sebuah akhbar Melayu tulen yang menjadi milik 100 peratus orang Melayu.

Antara mereka dalam kumpulan ini adalah Yusof Ishak yang kemudian menjadi Presiden pertama Singapura. Akhirnya pada 15 Jun 1938, Utusan Melayu Press Limited berjaya ditubuhkan. Akhbar Utusan Melayu pula diterbitkan setahun kemudian iaitu pada 29 Mei 1939.  Yusof ketika itu menjadi Pengarah Urusan dan Pengarang Utusan yang pertama.

Malayan Union, Ganyang Malaysia

Apabila British memperkenalkan Malayan Union yang akan merampas tanah air ini secara total, Utusan menjadi akhbar yang paling kehadapan menentang cadangan ini.

Sebagai akhbar Melayu, akhbar ini juga disertai nasionalis-nasionalis bangsa. Selain Rahim Kajai, antara mereka yang masuk Utusan adalah Ishak Muhammad/Pak Sako (nasionalis & sasterawan) dan A. Samad Ismail (nasionalis & tokoh wartawan). 

Beberapa lagi tokoh yang menyertai Utusan adalah Othman Wok (akhirnya menjadi menteri kabinet pertama Singapura), Aziz Ishak, Salim Kajai, Usman Awang (Sasterawan Negara), Melan Abdullah (Tokoh Wartawan Negara), Said Zahari (nasionalis) serta ramai lagi.

Allahyarham Melan misalnya terlibat dalam penubuhan Barisan Bertindak Rakyat Malaysia untuk menentang Presiden Indonesia, Sukarno yang hendak mengganyang Malaysia dalam Konfrontasi Malaysia-Indonesia, awal 1963.

Apa yang ramai tidak tahu adalah bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pernah menjadi peguam Utusan Melayu yang pertama sekitar 50-an. Mendiang juga banyak membela pekerja dan kakitangan Utusan. 

Hal ini jugalah yang jadi faktor kepada hubungan baik antara Kuan Yew dan Yusof. Malah salah seorang wartawan Utusan, A. Samad Ismail (Pak Samad) menjadi antara pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) bersama dengan Kuan Yew. Kuan Yew juga pernah menjadi peguam dalam kes Pak Samad yang ketika itu ditahan oleh pihak penjajah.

Yusof tersingkir

Namun, hubungan Kuan Yew dan Pak Samad tidak berpanjangan apabila berlaku pertembungan ideologi antara mereka berdua. Pak Samad meninggalkan PAP pada 1957. Selepas Perang Dunia Kedua, Utusan Melayu mula dipenuhi golongan sosialis, nasionalis, anti feudal dan radikal.

Suatu ketika, UMNO pula di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman semakin berasa tidak puas hati dengan Utusan Melayu. Utusan yang pada asalnya menjadi akhbar pendorong kepada penubuhan UMNO dilihat semakin condong  menyokong haluan kiri. Ia disemarakkan lagi apabila Said Zahari menjadi Pengarang Berita Utusan Melayu.

Dalam buku bertajuk Di Depan Api di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu mencatatkan: “Said (Zahari) telah membakar perasaan pembaca dengan isu-isu rakyat yang bersifat politik, ekonomi.”

Disebabkan sikap Utusan yang semakin kiri, Tunku pada masa itu menasihatkan Yusof untuk mengawal akhbar itu daripada terus bersikap anti-kerajaan. Bagaimanapun, Yusof gagal menasihati Said.

Akhirnya Yusof tersingkir pada 1959 dari akhbar yang diasaskannya sendiri. Penyingkiran Yusof seterusnya suatu peluang yang amat besar kepada Said untuk mengawal hala tuju Utusan Melayu ke arah yang lebih prososialis dan pro-Indonesia. Disebabkan ini, pada 1961 Tunku menghantar Pegawai Penerangan UMNO, Ibrahim Fikri menjadi Ketua Pengarang dan Pengarah Utusan yang baharu.

Ibrahim ketika itu bertindak tegas dengan memindahkan Said ke Singapura serta-merta. Akibatnya, ramai kakitangan Utusan menentangnya dan mereka pun melancarkan mogok mulai 21 Julai 1961. Mogok itu sendiri diketuai Said . Tujuan mogok adalah hendak menghalang kemasukan wakil  UMNO menguasai Utusan daripada golongan kiri.

Bagaimanapun, Zainuddin dalam penjelasannya kepada Utusan sebelum ini menyanggah bahawa mogok Utusan Melayu ada kena mengena dengan perjuangan menuntut kebebasan akhbar. Sebaliknya mahu membersihkan Utusan Melayu daripada perjuangan Melayu Raya (menyatukan Malaysia dan Indonesia). Mogok berjalan selama tiga bulan, tetapi akhirnya menemui kegagalan.

Alif, Ba, Ta

Utusan Melayu pada asalnya diterbitkan dengan bertulisan jawi, tapi diberhentikan penerbitannya pada 31 Disember 2003. Kemudiannya diterbitkan seminggu sekali sebagai sisipan dalam Utusan Malaysia. Tetapi sekarang  sudah tidak dicetak lagi dan hanya diterbitkan secara digital. Utusan Malaysia (bertulisan rumi) pula diterbitkan pada 1 September 1967.

Masa berlalu. Daripada slogan “Besar, Berani, Berpengaruh” atau dengan lain perkataan identiti bentuk besar atau broadsheet, Utusan Malaysia di era Malaysia Baharu 2018, akhirnya beralih ke akhbar tabloid atau kompak.

Perjuangan Utusan sering dikaitkan sebagai Alif, Ba, Ta iaitu Alif untuk agama, Ba untuk bangsa dan Ta untuk tanah air.

Di atas titik peluh dan titisan air mata pejuang terdahulu, pemain-pemain dalam Utusan harus terus beristiqamah memperkasa dan memartabatkan Utusan Melayu.