Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Perjalanan rohani menuju Ilahi

PENGERUSI Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (empat
PENGERUSI Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (empat dari kanan) hadir pada majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin sempena Operasi Haji 2017 di Masjid Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. UTUSAN/ZAINI HUSIN

HARI ini adalah Isnin dan ta­rikhnya, 17.7.17. Betul nom­bor cantik. Tarikh ini adalah hari berlepasnya petugas media Tabung Haji (TH) bersama petugas lain ke Tanah Suci Mekah. Hakikatnya pemergian ke­semua petugas ini adalah untuk memberikan khidmat terbaik kepada 30,200 jemaah haji Malaysia yang akan berlepas secara berperingkat bermula 24 Julai ini. Alhamdulillah pada tahun ini, penulis bersama rombongan media yang akan memberikan liputan harian Musim Haji 1438 Hijrah di akhbar ini dan Utusan Online.

Biarpun petugas TH ini mempunyai misi dan amanah, jemaah haji yang akan berlepas kelak juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dipatuhi iaitu mem­betulkan niat dan kepatuhan yang tinggi kepada Allah SWT. Yang jelas, kita telah pun memenuhi panggilan Allah SWT pada waktu ini de­ngan bakal menempuh perjalanan yang panjang, tempoh masa yang lama, berpisah dengan ahli keluarga serta harta benda yang ada pada kita. Tujuannya adalah satu iaitu menjalankan tugas mulia melalui ibadah dan ritual sesuai dengan syarat yang dituntut dalam ibadah dilaksanakan kelak.

Kepada jemaah haji, perlu me­nginsafi bahawa apa juga jenis ibadah dalam agama Islam yang mulia ini, ia pasti mempunyai hikmah yang tinggi. Begitulah juga dengan ibadah haji dan umrah. Justeru, pemergian jemaah haji pada saat menelusuri ibadah rukun Islam yang kelima ini, pematuhan dalam pengawalan ‘penyakit hati’ dan membina kesabaran yang tinggi, selain ­penyerahan diri kepada Allah SWT ini wajar dilakukan dengan pe­nuh keikhlasan.

Maka dalam hal ini, beribadah semata-mata untuk Allah SWT dan menghadapkan hati kepada-Nya dengan keyakinan bahawa tidak ada yang disembah dengan hak, kecuali Dia dan Dia adalah satu-satunya pemilik nama yang indah dan sifat yang mulia adalah dituntut. Tiada sekutu bagi-Nya, tidak ada menyerupai bagi-Nya dan tidak ada tandingan-Nya.

Oleh itu, kepada jemaah haji, janganlah hendak­nya pemergian ke tanah suci itu semata-mata ‘mahu pergi’ dan ‘mahu merasai apa itu ibadah haji’. Ingatlah apabila berada di Madinah dan Tanah Suci Mekah kelak, haruslah membiasakan diri dengan disiplin ketika melaksanakan ibadah haji mahupun ibadah lain. Ia harus konsisten.

Hal lain, jadilah orang yang sa­bar. Kadangkala, ujian daripada Allah SWT itu datang mengejut. Sifat ego, panas baran dan bermasam muka akan hanya me­ngu­rangkan nilai ibadah yang dikerjakan. Dalam keberadaan di tanah suci kelak, lahirkanlah juga rasa solidariti dan kekeluar­gaan sesama jemaah. Jangan be­zakan gelaran, pangkat mahupun warna kulit. Juga, mohonlah keampunan daripada Allah SWT. “Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : “Satu umrah sampai umrah yang lain adalah sebagai penghapus dosa antara keduanya dan tidak ada balasan bagi haji mabrur kecuali jannah.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW juga bersabda: “Barang siapa berhaji ke Baitullah ini kerana Allah SWT, tidak melakukan kekejian, nescaya dia akan kembali seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat al Bukhari)

Dengan kekuatan ayat itu, maka tidak hairanlah pada suatu ketika dahulu berduyun umat Islam khususnya nenek moyang kita dari Malaysia menaiki kapal haji - ‘Malaysia Kita’ dan ‘Malaysia Raya’, mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk tiba ke Tanah Suci Mekah. Diuji dengan ribut, laut yang bergelora, sakit di atas kapal dan belum lagi dikira jumlah kematian sebelum dapat tiba ke lembah ibadah yang hebat itu. Syukuri kita terpilih menjadi Tetamu Allah SWT ini.

Allah SWT berfirman: “Agar supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka.” (Surah Al-Hajj: 28), di mana Allah SWT menyebut manfaat yang mutlak (iaitu secara umum tanpa ikatan) dan mubham (tanpa penjelasan). Antaranya manfaat terbesarnya adalah menyaksikan tauhid-Nya iaitu mereka (jemaah haji) ­ber­i­badah benar-benar kerana Allah SWT. Mereka datang dengan niat mencari damainya dan bukan kerana perasaan riak dan bukan juga kerana disuruh sesiapa untuk berada di Tanah Suci ini.

Maka marilah kita menginsafi perjalanan ibadah ini untuk satu damai yang abadi. Kita me­lafazkan ucapan talbiah de­ngan nada yang kuat, ber­semangat,bersungguh-sungguh. Pasakkan di dalam hati, kemudian laksanakan rukun haji dengan tertib, akhirnya kelak perbanyakkan berdoa memohon keampunan daripada Allah SWT.

Ambillah kesempatan sebaik­nya sewaktu berada di Tanah Suci Mekah ini. Berkumpul di ‘rumah Allah’ dengan jutaan manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia (dari Timur, Barat Selatan dan Utara Mekah), berusahalah untuk berlapang dada dan mengenali antara satu sama lain. Belajarlah sebanyak mungkin ilmu dari pembimbing haji dan ustaz TH yang akan bersama-sama jemaah.

Ingatlah segala ilmu itu datangnya dari bumi yang suci itu. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah SWT memperoleh kebaikan, nescaya Dia akan menjadikan faqih (mengerti) terhadap agama.” (Riwayat al Bukhari, Kitab Al-Ilmi 3 bab:14).

Nasihat kepada seluruh jemaah haji dan diri penulis, ja­nganlah kita merasa takbur dan malas dalam menuntut ilmu. Ilmu tidak akan diperoleh dalam kalangan manusia yang takbur, pemalas, lemah dan pemalu. Ilmu itu memerlukan kehendak dan kemahuan yang tinggi. Di Tanah Suci Mekah, ilmu itu begitu banyak. Allah SWT berfirman: “Dan Allah tidak malu dari kebenaran.” (Surah Al-Ahzab:53).

Akhir kalam, kepada bakal ‘bang Haji, kak Hajah’ yang pada waktu ini sedang dilamun pelbagai perasaan takut, gembira, sedih, syukur dan mungkin juga akan mengalirkan air mata semasa berada di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, ingatlah bahawa di Tanah Suci, kita adalah sama. Itulah sebuah perjalanan rohani menuju Ilahi.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain