Kita boleh berubah ke arah kebaikan pada bila-bila masa sebelum peluang untuk berubah itu sudah ditutup pintunya oleh Allah SWT. Ingatlah pesanan Imam al-Ghazali, “yang paling dekat dengan kita di dunia adalah mati dan yang paling jauh daripada kita di dunia adalah masa lalu”.

Ada orang yang takut untuk berubah kerana dihantui masa lalunya yang selalu gagal. Ada orang pula yang tidak cukup-cukup meraih kejayaan hidup duniawinya, bagaikan dia akan hidup menongkat dunia ini untuk selama-lamanya. Dalam kehidupan ini kita pasti melalui satu demi satu fasa kehidupan.

Permulaan hidup kita bermula sejak dilahirkan. Selepas itu kita bersekolah rendah semasa di alam kanak-kanak, seterusnya bersekolah menengah dan belajar di pusat pengajian tinggi ketika di alam remaja. Selepas tamat pengajian kita masuk alam dewasa.

Kita mula berkerja, berkahwin, mendapat anak, mendapat menantu, bercucu, bersara dari pekerjaan dan akhirnya meninggal dunia. Itulah secara lumrah fasa kehidupan kita, kecuali kepada insan yang ditakdirkan Allah mati sebelum menemui fasa kehidupan yang lumrah tersebut. Hidup kita ini seperti perjalanan melalui lebuh raya menuju destinasi sasaran.

Walaupun, lazimnya perjalanan yang panjang melalui lebuh ra­ya amat selesa, tetapi kita tetap kena berhenti untuk rehat dan rawat, apatah lagi apabila perjalanan yang lazimnya selesa itu adakalanya tidak selancar biasa, kerana ada halangan atau mu­sibah yang berlaku. Demikianlah jugalah ibaratnya dengan perjalanan kehidupan yang kita lalui, mesti ada fasa perhentian.

Iaitu berhenti sebentar untuk melihat diri dan merawat diri (muhasabah diri). Supaya kita tidak sibuk menuding jari ke arah orang dan meletakkan kesalahan orang lain sahaja atas kegagalan kita mencapai matlamat hidup, yang menjadi sasaran kita, tahun demi tahun. Ingatlah, “kalau satu jari kita menunjuk kepada orang, tiga jari lagi akan menuding kepada kita.”

Kita tidak mampu melihat diri kita sendiri dengan menggunakan kedua-dua belah mata kita. Kita perlukan bantuan cermin untuk melihat diri kita sendiri, begitulah ibaratnya diri kita, hanya mata orang lain yang dapat melihat kita dan menilai siapa kita di matanya. Oleh yang demikian, untuk melakukan perubahan diri ke arah positif, kita perlu mendengar dan menerima pandangan orang lain dengan hati terbuka.

Menilai

Selain mengambil tindak balas positif terhadap respons orang lain, kita juga perlu “fasa perhentian” un­tuk memberi ruang kepada diri berfikir sebelum memulakan lang­kah baharu dengan semangat yang baharu menuju ke sasaran destinasi.

Hal ini adalah kerana tiap-tiap peringkat atau fasa kehidupan itu mempunyai makna dan pengalaman hidup yang tersendiri.Gunakan akal untuk berfikir dan menilai baik dan buruk sebelum membuat pilihan tindakan dalam kehidupan.

Usahlah kita menjadi orang malas berfikir atau orang yang berasa dia sudah berfikir atau lebih buruk lagi menjadi orang yang berasa lebih baik mati daripada berfikir.

Kalau kita hendak mengubah kehidupan dan mengubah cara ke­hi­dupan yang tidak elok kepada elok, kita kena tukar cara berfikira. Kualiti kehidupan kita sama dengan kualiti fikiran kita. Kalau fikiran kita negatif hasil kehidupan negatif. Peruntukkan masa untuk diri kita, fikir tentang diri dan menilai kejayaan dan kegagalan dalam pencapaian hidup .

Sedangkan orang yang berjaya ialah orang yang berfikir de­ngan mata hati dan bekerja keras melaksanakan segala peran­cangan hidupnya sebagai mana matlamat dan hala tuju yang ditetapkannya. Orang berjaya adalah orang yang melakukan apa orang tidak berjaya tidak suka lakukan. Ingat formula untuk menjadi hebat adalah melakukan tindakan luar biasa, hasil daripada fikiran luar biasa dan menghasilkan kehidupan luar biasa. Maknanya kita perlu lakukan pengorbanan dalam kehidupan.

Ada dua bentuk pengorbanan untuk mencapai kejayaan hidup. Pertama, buang atau lepaskan sesuatu tidak berapa bernilai untuk mendapat sesuatu lebih bernilai. Kedua, disiplin diri untuk tentukan diri buat apa yang patut kita buat. Contoh berkorban mengubah tabiat makan untuk mendapat hasilkan kesihatan yang baik. Berkorban mengubah tabiat beribadah untuk meningkatkan tahap ketakwaan.

Berkorban mengubah tabiat berbelanja dan menyimpan wang untuk menentukan kewangan dan masa hadapan kita terjamin. Tabiat adalah kebiasaan tindakan dalam kehidupan. Untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kita mesti ubah tabiat negatif kepada positif itu berulang-ulang kali secara konsisten.

Kajian sainstifik menunjukkan jika melakukan sesuatu perkara lebih 30 kali akan mengubah perangai kita ke arah positif, kerana minda bawah sedar akan menerimanya sebagai tindakan positif yang akan meresap sebati ke dalam jiwa kita.

Tinggalkan perkara tidak elok dan gantikan dengan sesuatu lebih elok itulah maknanya berkorban. Disiplinkan diri, (kita memberi arahan kepada diri kita sama ada suka atau tidak) untuk melakukannya berulang kali mengikut masa yang ditetapkan dan cara yang kita mahukan. Biasanya apa yang kita hendak lakukan secara disiplin itu adalah sesuatu yang kita sangat suka, sebab itulah kita sanggup berkorban untuk mendapatkannya.

Janganlah kita mengikut sahaja laluan kehidupan yang telah ditakdirkan Allah kepada kita, sebaliknya kita perlu melakar laluan kehidupan kita sendiri dengan berpandukan minda ypositif berlandaskan minda orang berjaya dan minda orang beriman. Minda orang berjaya, apabila berhadapan dengan masalah, bukan hendak membesarkan masalah, tetapi membesarkan pemikiran kita, untuk bagaimana hendak berhadapan dengan masalah.

Seterusnya bagaimana kita menggunakan minda untuk mengawal emosi dengan fokus kepada kebaikan dan kekuatan dalam berhadapan masalah. Pesan Imam al-Ghazali, yang paling tajam di dunia lidah, maka gunakan lidah untuk mempertahankan kebenaran bukan kemunafikan. Minda orang beriman mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku dan berhenti menyalahkan orang lain, situasi takdir yang telah ditetapkan-Nya.

Fokuskan kepada peningkatan nilai diri, bukan nilai barang yang ada dan nilai barang yang belum kita ada, kerana nafsu tidak mengenal erti puas terhadap kebendaan. Tingkatkan nilai diri dan imej diri di mata manusia dan di sisi Allah dengan melakukan perubahan diri, menghentikan langkah kemaksiatan dan memulakan langkah ketakwaan.

Semakin banyak keinginan terhadap duniawi, kita akan berasa diri kita lebih miskin dan hal ini diakui oleh Imam Ghazali melalui pesanannya, “yang paling besar di dunia ialah nafsu. Apabila kita fokus kepada apa yang tiada, kita tetap rasa tidak cukup kerana keinginan keduniaan kita. Manusia bernilai di sisi Allah SWT ada tiga kategori. Pertama, dengan Allah bertakwa. Takut dengan larangan Allah dan buat suruhan Allah. Kedua, manusia berakhlak. Ketiga, buat sebaik mungkin, setiap yang kita usahakan dan sasarkan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.