Tumpang lalu turut tumpang semangkuk sedih. Lionel Messi, 31, dan Christiano Ronaldo, 33, kedua-duanya pemain terbaik dunia akhirnya kempunan sepanjang hayat untuk mendakap piala segala raja dalam sukan.

Nampaknya, nama mereka dalam bola sepak masih belum sebisa pemegang Ballon d’or FIFA si Ronaldo dan Ronaldinho dari Brazil. Kasihan.

Mengambil iktibar pasukan favourite Piala Dunia yang kalah atau masih bergelut untuk ke suku akhir di Rusia waktu ini, Tumpang lalu juga amat berharap kerajaan dapat mele­nyapkan drama persepsi yang kurang memihak kepadanya. Contoh paling dekat dengan hati rakyat berkisar siaran Piala Dunia melalui RTM.

Ini susulan kesediaan stesen itu menyiarkan 27 perlawanan Piala Dunia 2018 menerusi RTM secara langsung. Namun, mengundang kemarahan pula apabila dihidangkan dalam kumpulan 14 siaran tertunda melibatkan game penting Argentina-Pe­rancis Sabtu lalu. Ini mengundang macam-macam persepsi peminat sehingga muncul posting kurang menyenangkan termasuklah “macam manifesto jer...kalau cukup pun 27 live tu setakat game cikai...ermmm.”

Mahu tidak mahu Tumpang lalu perlu coretkan luahan itu di sini dengan akur untuk membiasakan diri dalam era Malaysia Baharu sekarang yang tidak lagi gemarkan persepsi yang buruk-buruk membadai kerajaan. Istilah you must loyal to the government of the day menjadi kunci pega­ngan Tumpang lalu kini dalam bidang kewartawanan tetapi dalam situasi check and balance.

Sebab itu juga Tumpang lalu agak terkilan masih ada friend Facebook Tumpang lalu yang me­ngutuk rakan-rakan seperjuangan Tumpang lalu yang bergambar sakan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas selesai lawatan kerja Perdana Menteri di Jakarta baru-baru ini.

Apa salahnya mereka teruja mahu bergambar dengan negarawan itu. Tun milik rakyat Malaysia dan keterujaan rakan-rakan seperjuangan Tumpang lalu itu berlandaskan prinsip kepada pendirian diri terhadap government of the day tadi.

Mengenai persepsi, ada baik­nya kerajaan hari ini menangkis dengan cepat impak negatifnya. Persepsi yang bukan-bukan berkisar ‘tiada pembelaan terhadap orang Melayu, Islam dan institusi raja’ harus segera dirungkaikan.

Berdasarkan sekelumit pe­ngalaman Tumpang lalu dalam era sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), persepsi negatif terhadap kerajaan banyak berpunca daripada orang sekeliling kerajaan atau pemimpinnya. Kadang-kala bukannya sangat pasal ketua jabatan tetapi dek style dan pe­rangai ‘orang kepercayaan’, benda yang positif yang turun dari atasan menjadi rosak dek ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Mana-mana menteri kanan kerajaan hari ini yang mengetuai kementerian-kementerian utama umpamanya Kementerian Pendi­dikan (Dr. Maszlee Malik), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Salahuddin Ayub), Kementerian Kewangan (Lim Guan Eng) atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) harus bersiap-siaga dengan bahana persepsi. Bantulah kerajaan Tun melepasi ‘jerangkap samar’ persepsi ini memandang­kan dalam sebulan setengah ini macam-macam terdengar perkara ‘kurang molek’ yang mendebarkan orang Melayu.

Diakui faktor paling besar yang merentasi pemikiran rakyat adalah persepsi. Persepsi tak semestinya benar dan tak semestinya salah. Tetapi apa yang dipercayai oleh rakyat.

Seorang penulis, Stan Moore menukilkan: “Hanya kerana kebenaran tidak kelihatan, tidak bermakna hal itu palsu. Hanya kerana kenyataan tidak dirasai, tidak bermakna perkara itu tidak wujud”.

Ini maknanya persepsi. Tetapi apa yang rakyat melihat dan mendengar itulah yang dicakapkan.

Jadi, persepsi harus ditangani dengan cermat dan bijaksana oleh mana-mana pihak bermula hari ini andai benar ingin menang dalam PRU-15 nanti.

Rakyat akan membuat kesimpulan tersendiri apa yang mereka lihat.

Di pihak UMNO pula, parti itu baru menyelesaikan pemilihannya dengan mengangkat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan mengisi jawatan nombor satu dan dua. Kini masa untuk bergerak ke hadapan - kata orang muda, jalan terus.

Walaupun masih ada segelintir orang UMNO termasuk yang terbaharu, bekas Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin beranggapan hasrat untuk melihat sekurang-kurang 70 peratus muka baharu berwibawa pada pelbagai peringkat tidak kesampaian sehingga membawa tindakannya keluar parti, namun setidak-tidaknya UMNO telah melalui proses demokrasi pemilihan pimpinannya.

Di atas kertas, boleh sahaja untuk Mas Ermieyati berjuang sebagai suara pengimbang dalam UMNO untuk kepentingan rakyat di Dewan Rakyat yang hairannya tidak pula dilakukan oleh bekas peguam itu sebelum PRU-14. Ini sehingga menjadikan tiara Puteri tidak nampak gemerlapan di bawah tadbirannya dahulu. Tapi apa nak dikatakan, hasrat Ermieyati untuk keluar UMNO ‘tertunai’ dengan menjadikan keputusan pemilihan parti sebagai ‘kambing hitam’.

Sungguhpun Mas Ermieyati anggap UMNO sudah ‘tergelincir’, namun kalau dia ikhlas, inilah masanya untuk beliau letakkan UMNO kembali ke treknya. Tapi itulah dia.

Imej UMNO harus dipulihkan lagi dengan kaedah-kaedah ter­tentu. Isu-isu yang bersifat peri­badi harus dijawab oleh tuan punya badan sendiri sama ada benar atau tidak sebelum dia dibantu oleh orang lain. Jawab juga sama ada isu rasuah, skandal. Dia harus menjawab mengubah cara dan membetulkan supaya dapat dilihat oleh rakyat sebelum orang lain membantu. Sebab itu perse­psi perlu dijawab. Bukan semua persepsi salah.

Oppss! Berbalik kepada siaran Piala Dunia tadi, kalaulah boleh Menteri Komunikasi dan Multmedia, Gobind Singh Deo pastikan baki siaran perlawanan selepas ini semuanya secara langsung.

Tak lama lagi, dah masuk separuh akhir. Masih sempat lagi YB. Tambah-tambah lagi Tumpang lalu tidak melanggan Astro, cuma Unifi. Nak nangis ada.

Bolehkan YB? Asalkan jangan siaran tertunda.