Menerusi sistem tersebut antara lain setiap jemaah dikenakan caj keseluruhan sebanyak RM90.10 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM5.10. Kedua-dua caj itu dimasukkan dalam harga pakej umrah sedia ada. Kadar tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai. Pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan orang ramai mendakwa Imams tidak menepati objektif asal penubuhan dan lebih berorientasi mengaut keuntungan atas angin. Netizen yang rancak membincangkan isu berkenaan di alam siber pula bertindak lebih kejam dengan menuduh tindakan itu sebagai satu ‘rompakan terbuka pada siang hari.’

Antara yang turut lantang membantah ialah Pemuda UMNO sendiri yang mempersoalkan berapa banyak ‘untung atas angin’ yang bakal masuk ke syarikat yang mengendalikan Imams itu. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula secara terbuka meminta biarlah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sahaja diberikan amanah untuk menguruskan apa-apa perkara berkaitan umrah dan haji. Agensi itu lebih tahu dan sangat berpengalaman dalam mengendalikan urusan berkaitan ibadah umrah.

Isu itu walaupun belum berakhir, reda seketika apabila Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengumumkan Imams dibatalkan serta-merta bagi me­ngelakkan ‘kekeliruan.’

Pembangkang bagaimanapun mendakwa mereka memperoleh ‘sebutir peluru percuma’ untuk ‘menembak’ kerajaan lebih-le­bih lagi menjelang pilihan raya umum akan datang

Isu lain yang turut mendapat perhatian negara ialah kes mahkamah Cikgu Azizan atau Azizan Manap, 44, guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan. Beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencederakan murid­nya pada Oktober lalu. Beribu-ribu guru dan orang ramai hadir ke mahkamah tersebut bagi memberi sokongan kepada Cikgu Azizan. Mahkamah Majistret Se­remban bagaimanapun membebas tanpa melepaskan Cikgu Azizan daripada pertuduhan itu.

Laman web www.pendidik2u.my mendakwa Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda murid tersebut kerana kesalahan disiplin termasuk menghidu gam dan mempeng­aruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah. Keluarga murid terlibat bagaimanapun mendakwa laporan polis dibuat ekoran kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius akibat insiden berkenaan. Mereka mendakwa mempunyai bukti kecederaan dialami anak bongsu daripada lima beradik tersebut ter­masuk gambar dan laporan per­ubatan.

Ibu bapa mangsa mendakwa tidak pernah dimaklumkan pihak sekolah bahawa anak mereka mempunyai masalah disiplin selama ini. Kes-kes ibu bapa me­nyaman guru kerana ‘menyentuh’ anak mereka bukan pertama kali berlaku. Dalam persekitaran du­nia pendidikan yang semakin mencabar, ibu bapa menjadi sangat sensitif terutama apabila ia melibatkan isu atau masalah disip­lin anak-anak.

Jika trend sebegini berterusan, guru khususnya guru disiplin tidak perlulah ‘berlebih-lebih’ atau bersusah-payah lagi mendidik mereka. Tak perlu lagi ‘menyentuh’ apatah lagi ‘menjentik.’ Kalau sudah dinasihati dan tidak makan nasihat, gunakan pendekatan lain yang le­bih efisien dan tidak memeningkan kepala. Laporkan sahaja kes-kes menghisap dadah, membuli, menghidu gam dan kes-kes jenayah lain kepada polis. Biarlah ibu bapa terlibat berurusan pula dengan polis! Guru pun ada kehidupan sendiri.

Kalau ibu bapa sendiri tidak tahu menghargai, mendidik pun biarlah berpada-pada!

Selain daripada dua insiden di atas, insiden pembunuhan kejam ala filem jenayah Hollywood yang berlaku di Taman Pelangi, Johor Bahru benar-benar menakutkan.

Adegannya lebih kurang begini: Suspek yang merupakan ahli kumpulan kongsi gelap menaiki kende­raan mewah BMW 520i menikam mangsa ketika mangsa berhenti mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak. Mangsa kemudian dilanggar. Suspek selepas itu mengundurkan kenderaan dan menggilis lagi mangsa sehingga mati. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu hanya mampu menjerit-jerit ketakutan tanpa mampu berbuat apa-apa. Tidak ada sesiapa pun yang berani membantu dalam keadaan sedemikian. Pembunuhan secara terbuka itu sangat membimbangkan.

Walaupun polis menyifatkan kes pembunuhan itu ‘kes terpencil’ percayalah, mereka yang menonton insiden itu sama ada secara ‘live’ di tempat kejadian atau menerusi rakaman video yang tular di media sosial, tetap merasa trauma!

Mangsa pembunuhan kejam itu, Tan Aik Chai, dipercayai mempunyai senarai rekod jenayah narkotik yang panjang sejak 13 tahun lalu. Laporan portal Malay Mail menyebut lelaki ber­usia 44 tahun itu dikatakan disiasat dalam 18 kes yang melibatkan dadah di bawah Seksyen 39A dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Mujurlah siasatan kes pembunuhan kejam Ahad lalu itu sudah mula menunjukkan perkemba­ngan baharu sehari dua ini apabila polis menahan 14 orang dengan enam daripadanya telah direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Satu lagi kejadian yang turut mengganggu ketenangan hidup masyarakat ialah perbuatan sekumpulan mat rempit membelasah seorang pemandu ambulans yang sedang bertugas menghantar seorang pesakit dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping. Akibat sera­ngan tersebut mangsa menerima empat jahitan di bahagian kening.

Kesemua yang terlibat sudah ditahan polis dan akan dibawa ke muka pengadilan tidak lama lagi. Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran dan iktibar oleh mat-mat rempit lain agar jangan sampai ‘kes-kes terpencil’ sebegini menyebabkan kesemua mereka dicap sebagai ‘sampah’ dalam masyarakat.

Insiden-insiden yang berlaku itu bukanlah sesuatu yang ‘menggembirakan’ ketika tahun baharu 2018 akan tiba dalam beberapa hari sahaja lagi. Insiden ini sedikit sebanyak sudah pasti memberi ‘kesan’ kepada kehidupan masyarakat.

Jika sebelum ini hidup sudah dibebani dengan peningkatan kos sara hidup yang menjadi-jadi, kejadian jenayah seumpama itu menambahkan lagi tekanan.

Sama-samalah berdoa semoga tahun baharu 2018 menjadi tahun yang lebih baik untuk rakyat negara ini.