Kepimpinan adalah sesuatu kegiatan atau seni ketua yang boleh mempengaruhi orang lain bagi tujuan menjalinkan kerjasama dengannya dalam sesebuah kelompok tersebut. Malahan, kepimpinan secara amnya, bermakna mempengaruhi atau suatu proses mempengaruhi manusia supaya mereka dapat bekerjasama secara sukarela ke arah mencapai matlamat bersama.

Selain itu, kepimpinan juga dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan kuasa. Setiap ketua perlu memiliki perancangan sendiri yang mantap dan setiap ketua mempunyai kuasa dalam mengetuai hala tuju sesuatu kelompok. Justeru, tanpa seseorang ketua yang mengetuai carta organisasi, maka tidak akan sempurnalah organisasi tersebut.

Gaya kepimpinan pula, antara lain, bergantung kepada sejauh mana seseorang pemimpin berperanan menentukan struktur tugas dan organisasi yang dipimpinnya. Gaya kepimpinan amat penting dalam mewujudkan kepuasan antara majikan dan pekerja. Malah gaya kepimpinan yang berkesan, berupaya menyuntik hubungan mesra antara majikan dan pekerja dalam sesebuah organisasi.

Ada beberapa gaya kepimpinan. Gaya kepimpinan autokratik lebih mementingkan pengeluaran dan keuntungan dalam organisasi. Malahan itu, gaya kepimpinan autokratik juga bermakna seorang ketua atau majikan yang mementingkan kuasa dalam pentadbiran. Bukan itu sahaja, pekerja juga dijadikan platform untuk mencapai objektif yang telah dirancang oleh ketuanya.

Sesetengah sarjana cenderung menyatakan gaya kepim­pinan ini sebagai directive leadership. Pemimpin gaya ini lebih cenderung untuk membuat keputusan sendiri berbanding berbincang dengan pekerja bawahannya. Majikan yang mengamalkan gaya kepimpinan ini menolak untuk berunding dengan pekerja bawahannya. Majikan tidak mesra dengan pekerjanya dan hanya memfokuskan kepada tugas sahaja.

Sementara itu, bagi gaya kepimpinan demokratik seseorang ketua atau majikan memberi peluang kepada pekerja bawahannya untuk melibatkan diri secara langsung di dalam sistem pentadbiran organisasinya. Bukan itu sahaja, pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan demokratik ini turut memberi peluang kepada setiap pekerjanya untuk memberi peluang kepada setiap pekerjanya untuk memberi pendapat dan panda­ngan sebelum sesuatu keputusan yang diambil.

Kepimpinan demokratik ini lebih bersifat bertimbang rasa dan lebih mendengar pandangan pekerja sebelum membuat keputusan. Pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan demokrasi lebih memfokuskan kepada hubungan antara majikan dan pekerja dalam mencapai sesuatu matlamat ataupun objektif organisasi.

Kepimpinan Laissez-Faire pula membawa maksud yang mana seseorang ketua mahupun majikan lebih memberi kebebasan kepada pekerjanya dalam membuat keputusan dan memberi pandangan untuk menentukan matlamat organisasi. Gaya kepimpinan Laissez-Faire adalah yang mana ketua ini lebih gemar memberi kebebasan sepenuhnya kepada pekerjanya untuk membuat keputusan mahupun sesuatu tindakan dalam organisasi tersebut.

Di samping itu, gaya kepimpinan ini tidak mementingkan prestasi mahupun keuntungan serta gaya kepimpinan ini tidak mengutamakan objektif sesuatu organisasi tersebut.

Pemimpin mahupun majikan yang mengamalkan gaya kepimpinan ini tidak menetapkan matlamat serta objektif yang perlu disasarkan oleh organisasinya. Malahan ke­pimpinan gaya ini menunjukkan seseorang pemimpin mahupun majikan tersebut mempunyai pengurusan organisasi yang lemah serta tidak mempunyai keyakinan diri sebagai ketua dalam organisasi tersebut.

Ada satu lagi gaya kepimpinan yang amat menarik. Gaya kepimpinan berperikemanusiaan adalah gaya kepimpinan yang lebih mengutamakan kebajikan pekerja di bawahnya. Malahan itu, pemimpin gaya ini lebih mementingkan keada­an persekitaran kerja yang lebih teratur dan selesa untuknya sebagai majikan dan pekerja dalam organisasi tersebut.

Kepimpinan gaya berperikemanusiaan juga menggalak­kan mewujudkan semangat kerjasama, hormat-menghormati antara majikan dan pekerja yang berada di bawah organisasi tersebut. Pemimpin gaya berperikemanusiaan akan memastikan tiada konflik yang akan berlaku di antara majikan dan pekerja serta di antara pekerja dan pekerja. Sekiranya konflik berlaku majikan akan mempertimbangkan dan menyelesaikan konflik tersebut.

Kesimpulannya, kepimpinan suatu kemahiran hidup yang perlu untuk menjayakan sesuatu organisasi mengikut matlamat dan objektif dengan mengambil kira faktor-faktor berkaitan. Setiap organisasi memerlukan pemimpin dan tanpa pemimpin organisasi tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

Sesungguhnya, jatuh bangunnya sesebuah organisasi terletak pada keberkesanan perilaku pemimpin dan gaya kepimpinannya dalam menerajui organisasi yang di­pimpinnya. Natijahnya, melalui komunikasi yang berkesan seseorang ketua boleh mempengaruhi pekerja bawahannya untuk membentuk sesebuah kelompok yang dinamik bagi mencapai matlamat organisasi.

DR. AMERJIT SINGH S. BHAG SINGH ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.