Sememangnya menjadi sifat orang beriman untuk memberi bantuan kepada mereka yang di­timpa kesusahan dan kesulitan. Dalam insiden di Pulau Pinang, puluhan ribu penduduk menjadi mangsa. Bukan sahaja rumah kediaman dan kenderaan ditenggelami air, ada yang terpe­rangkap berjam-jam lamanya di bumbung rumah tanpa bekalan makanan sementara menunggu ketibaan pasukan menyelamat.

Di sebalik musibah itu, pujian harus diberi kepada anggota pasukan keselamatan negara yang berkhidmat bukan sahaja menyelamatkan mangsa-mangsa banjir tetapi juga menghantar bantuan kemanusiaan. Adakala­nya, ia turut membahayakan nyawa mereka. Setakat ini dilaporkan kira-kira 3,375 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam misi tersebut. Ini tidak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut membantu.

Pada 1 November lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan arahan pembekuan cuti kepada pegawai dan anggota yang bertugas di ne­geri-negeri yang terjejas akibat banjir. Serentak itu, kesemua 27,260 anggotanya termasuk pa­sukan bantuan dan sukarela bersiap digerakkan ke lokasi-lokasi bencana jika keadaan memerlukan.

Demikian besarnya jasa dan khidmat anggota keselamatan negara. Ini bertepatan dengan perintah Allah SWT yang bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran...” (Surah al-Maidah: 2)

Ketepikan segala perbezaan ideologi politik. Hendaknya semua pihak bekerjasama dan berjalan seiring menghulur bantuan mengikut kemampuan masing-masing.

Tolong menolong dalam kebaikan adalah sifat terpuji. Rasulullah SAW adalah seorang yang mudah dan bersemangat menolong orang lain. Jalan–jalan kebaikan itu pula amat banyak. Dalam kes banjir, membantu dengan menyediakan air minuman atau air mineral pun amat berharga di saat saudara dan rakan-rakan kita ditimpa musibah. Bantuan dari segi kewangan, sudah tentu lebih bermakna kepada mangsa terlibat.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa melepaskan seorang mukmin suatu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah SWT akan melepaskan da­rinya kesusahan dari kesusahan-kesusahan hari kiamat. Dan barang siapa yang meringankan atas seorang yang dalam kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkan atasnya di dunia dan akhirat...” (Riwayat Muslim)

Sememangnya di akhirat kelak kita amat memerlukan rahmat dan bantuan Allah. Justeru, usaha membantu mereka yang terjejas akibat banjir ini diharap menjadi asbab mendapat bantuan Allah di akhirat seterusnya dikira sebagai amal jariah.

Dalam masa sama, Allah me­rahmati orang yang pengasih. Kasih sayang itu bukan terhad kepada makhluk seagama tetapi juga bukan Muslim. Ia sebagaimana yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa surau Taman Free School di Pulau Pinang. Tindakan menumpangkan mangsa-mangsa keturunan Cina untuk berteduh dengan niat menyelamatkan nya­wa mereka daripada banjir sememangnya patut dipuji. Ia juga mencerminkan tingginya sifat pe­rikemanusiaan sesama insan.

Apabila ditimpa musibah, hadapilah ia dengan kesabaran serta mengharapkan pahala daripada Allah SWT. Hendaklah kita berdoa dan beristirja’ iaitu mengucapkan: Inna lillah wainna ilaihi raajiun.

Daripada Ummu Salamah se­sungguhnya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang Islam yang ditimpa musibah lalu dia mengucapkan apa yang diperintahkan Allah iaitu: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan sesungguh­nya kami akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berikanlah aku pahala kerana musibah yang ku­hadapi ini dan gantikanlah de­ngan yang lebih baik. Nescaya Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik.” (Riwayat Muslim)