Tetapi itulah, dalam semua ubat-ubat tersebut, ­bolehkah kita tahu sama ada ia benar-benar berkesan, tidak memudaratkan diri atau betulkah ia perlu diambil?

Dan pada masa sama, penjual ubat pula terutamanya yang berniaga secara atas talian (online), ada pula yang kuat auta. Kasihan mak cik-mak cik yang terlalu berharap sakit lututnya akan terus sembuh dan tidak perlu lagi solat atas kerusi hanya dengan sapu 'ubat mujarab itu' dalam tempoh seminggu.

Dalam pada itu, ada pula wanita yang menderita kerana semakin hodoh wajahnya setelah makan pil mencerahkan muka, dan ada yang terus masuk hospital masalah jantung bila makan ubat supplement untuk sihat.

Ini pun satu hal juga. Memper­dayakan dengan macam-macam testimoni yang dikerahnya kawan-kawan sendiri atau saudara mara untuk menulis yang baik-baik saja dalam aplikasi WhatsApp lantas ditayangkan sebagai testimoni yang berjaya. Seronokkah memberi orang lain harapan palsu? - Itu perihal ubat jual dibeli secara online.

Seorang rakan memberitahu, dia sukar untuk tidur sehingga terpaksa ambil ubat tidur, tetapi yang pelik­nya, dia tak tidur-tidur juga. Malah matanya, makin terang dan bulat di tengah-tengah malam. Jadi, dia membuat andaian sendiri, bila susah tidur, tak semestinya makan ubat tidur, boleh terus tidur.

Ada seorang lagi rakan sekerja saya berkata, bila dia demam, dia tidak perlu bergantung kepada ubat-ubatan. Pa­nadol pun tidak payah makan. Dia boleh sembuh dengan melalui ‘kawalan minda’. Yalah, saya angguk-angguk kepala mengiyakan saja. Dalam hati, tinggi betul ilmu dia ini.

Itu sakit yang kita boleh nampak. Sakit yang tidak kelihatan bagaimana pula?

Sakit yang tidak nampak ini pun ada macam-macam juga. Kalau hendak cerita tak cukup ruang yang sempit ini.

Kadang-kadang ia lagi parah dan berbahaya daripada yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Sebab itu, kita selalu juga dikejutkan dengan kejadian-kejadian bunuh ibu, bunuh anak, bunuh jiran atau apa-apa yang berakhir dengan tragedi, kerana orang yang melakukannya tidak mengaku sakit dan tidak makan ubat.

Dan antara sedar atau tidak, ramai yang memerlukan 'ubat'. Tetapi menganggap diri sentiasa kuat, betul atau baik. Hakikatnya tidak. Jadi tidak perlulah cari ubat. Ini pun satu penyakit juga.

Menganggap diri sentiasa betul adalah penyakit yang sangat berbahaya dan perlu segera cari ubat. Berbahaya kerana ia melibatkan orang sekeliling. Lainlah kalau dia tidak bercampur dengan orang lain. Tempiasnya dia saja yang tanggung.

Kadang-kadang ubat itu ada dalam diri sendiri dengan mengakui kesilapan, bermuhasabah diri, memperbetulkan sikap dan lama kelamaan ia boleh sembuh sendiri.

Ubat yang berkesan selalunya pahit untuk diterima atau ditelan. Dan adakalanya juga yang menjadi ubat dan penawar itu adalah orang di sekeliling atau orang paling dekat. Pernah dengar orang sekarang kata - Nak sangatkan, nah ambil ubat?