Dilontarkan beberapa persoalan ini, ekoran terdapat kecenderungan di akhir-akhir ini pihak-pihak yang kelihatan semakin hilang pedoman atau tidak pedulikan aspek jati diri dalam menelusuri kehidupan, baik atas nama peribadi mahu pun mewakili kelompok bangsa dan agama.

Malah, ada kecenderungan negatif yang semakin menggambarkan sesetengah rakyat Malaysia tidak mampu menyerlahkan jati diri sebagai warga dari sebuah negara bernama Malaysia yang mementingkan nilai dan budaya tinggi dalam kehidupan.

Majoriti rakyat Malaysia yang cintakan damai dan keindahan bermasyarakat turut rasa ‘terganggu’ dengan perkembangan ini. Ramai yang tetap sayangkan harmoni dapat dinikmati secara berterusan seperti musim-musim berlalu.

Barangkali segala ungkapan ini dianggap klise. Mungkin ada yang menganggap soal budaya, adat, susila rasa tidak perlu dipedulikan lagi pada zaman teknologi siber atau digital dan hyper connectivity ini.

Pada hal, acuan inilah sebenarnya yang telah meletakkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia umumnya berada pada nilai ketamadunan tinggi kepada kaca mata masyarakat antarabangsa. Dan apa yang lebih penting dihargai ialah, berpaksikan acuan inilah yang mengharmonikan suasana dan memajukan pemikiran ke arah kecemerlangan hidup di tanah air berdaulat ini.

Pada masa dahulu, orang Melayu membina maruah dan jati diri agama dan bangsa melalui penyertaan di dalam UMNO. Parti itu lahir sebagai wadah menjamin hak dan ke­istimewaan Melayu agar sentiasa terpelihara manakala ada juga sebahagian kecil masyarakat Melayu menyertai Pas. Dan Pas ketika itu bertindak sebagai ‘penimbal’ agar agenda menjaga kepentingan Islam dan Melayu itu tidak terbabas.

Kaum bukan Melayu tetap mempunyai kebebasan tersendiri sama ada dalam aspek anutan agama atau memelihara bahasa dan budaya ibunda masing-masing. Mereka menyertai parti-parti politik yang mewakili kaum tanpa tersimpan ‘prejudis’ atau memperjuangkan kepentingan kaum secara keterlaluan, sejajar dengan struktur kenegaraan yang ada. Lalu, kehidupan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk itu pun terus damai, harmoni, sejahtera.

Tidak timbul sebarang pengaruh atau desakan untuk ‘rakus berkuasa’. UMNO bersama-sama sahabat dalam Perikatan merangkumi MCA dan MIC mencari ‘kuasa’ untuk mensejahterakan semua. Momentum ini berterusan sehingga terbentuk pula Barisan Nasional (BN) pada 1973.

Sebaliknya, akhir-akhir ini ada pihak mahu mencari kuasa untuk benar-benar ‘berkuasa’. Yakni seboleh-bo­lehnya untuk merubah segala struktur asas atau apa yang sudah tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini khususnya dalam hal-hal yang bersabit dengan ke­sucian Islam serta kedudukan hak dan keistimewaan orang Melayu. Pelbagai tindakan dilakukan sebagai percubaan ‘mengukur’ reaksi dan emosi orang Melayu.

Sejak sekian lama, UMNO mendominasi kuasa politik Malaysia. Parti keramat orang Melayu itu tidak pernah kehilangan arah dalam memikul amanah untuk membangunkan agama, bangsa dan tanah air, sekali gus membawa pendekatan inklusif bagi menjaga kepentingan semua kaum dan keturunan di Malaysia.

Perbuatan memaki hamun, mencerca, mendusta, memutar belit fakta, mengungkit dan memburuk-burukkan asal keturunan, mengadu-domba dan membuat cemuhan yang keterlaluan, tidak melambangkan jati diri mana-mana kaum atau keturunan. Perkembangan ini langsung tidak membantu menjadikan suasana kehidupan rakyat Malaysia selesa dan mesra.

Harus ingat, antara paksi kekuatan bagi Malaysia adalah cantuman rasa harmoni, toleransi dan muhibah dalam kala­ngan rakyat pelbagai kaum dan keturunan. Ini dengan mendasari kefahaman mendalam terhadap kontrak sosial yang sudah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.