Akibatnya, hati masyarakat keseluruhan diributkan media massa dengan taufan kekeliruan yang memujakan perkara zahir semata-mata, sekali gus melumpuhkan umat dari berupaya memainkan peranan sewajarnya di pelbagai medan dalam dunia. Dalam suasana sebegini, iktibar daripada pengalaman insan luhur silam dalam kalangan ahli sufi dan ahli hukama’ dalam menghadapi cabaran zaman ini perlu melibatkan usaha golongan cerdik pandai, hartawan, dan empunya kuasa untuk menyusun strategi supaya umat mampu bangkit semula di saf hadapan dalam medan keilmuan dan pendidikan.

Perjuangan sebegini tidak melibatkan penubuhan le­bih banyak sekolah tahfiz mahupun pengajian kitab agama semata-mata, tetapi menuntut pengorbanan masa, jiwa raga untuk mengembalikan golongan cerdik pandai, hartawan, dan empunya kuasa untuk mengenali dan mengetahui kembali cara-gaya berfikir yang dibentuk oleh Islam secara keseluruhannya iaitu apa yang dipanggil oleh para sarjana Muslim semasa sebagai pandangan ‘Alam Islam’ - iaitu cara gaya berfikir perihal hakikat kewujudan supaya segala keputusan dan tindakan yang besar akan menatijahkan keadaan yang tertib dan adil.

Sesungguhnya, musuh sebenar umat Islam ialah suatu cara berfikir asing yang telah menguasai jiwa sanubari umat, iaitu, cara berfikir yang membataskan kesedaran dan perkiraan kepada dunia ini semata-mata atau cara berfikir yang menyempitkan fahaman-fahaman besar yang telah lama mempengaruhi tindak-tanduk umat Islam. Dalam erti kata lain, cabaran sebenar umat bukanlah bangsa-bangsa Barat itu sendiri tetapi individu Muslim yang tanpa disedari mencampur-adukkan gaya berfikir dan kaedah para pemikir dan kebudayaan Barat dengan pandangan ‘alam Islam yang menyebabkan kekeliruan.

Oleh itu, sistem pen­didikan di negara khususnya di pengajian tinggi mestilah berupa­ya memainkan pe­ranan lebih mantap dalam me­ngasah diri para penuntut ilmu kepada martabat insani yang lebih tinggi, meng­hu­bungkan mereka ke­pada tradisi ilmu dan pandangan alam tradisi keilmuan agama masing-masing supaya ti­dak tertawan akal fi­kirannya, sekali gus mem­bentuk insan seimbang yang mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dunia.

Kita harus boleh menerima hakikat institusi-institusi pengajian tinggi kita kini mungkin telah tersasar dari tujuannya, dan sedang mengalami pelbagai masalah ilmu dan akhlak yang mendalam. Universiti-universiti kita kebanyakannya bermatlamat untuk melahirkan warganegara yang baik dan berdaya pasaran semata-mata, bukan untuk melahirkan ‘insan al-kuliyy’ (universal man) seperti yang diungkapkan semula oleh Tan Sri Profesor Dr. Syed Naquib al-Attas sejak 50 tahun dahulu, sebagai contoh.

Mungkin yang paling mendasar dalam sistem pendidikan tinggi kita ialah universiti-universiti tiada lagi mencerminkan sifat ‘insan al-kulliyy’ seperti yang dicitakan dalam tamadun Islam dari awal sejarahnya. Ini ke­rana pada asalnya sesebuah universiti itu melambangkan seseorang insan dengan segala ‘fakulti’ (al-quwwah) yang menyempurnakan insan. Malah istilah ‘universiti’ itu sendiri boleh dikatakan dipengaruhi oleh konsep ‘kuliyyah’ dalam tamadun Islam yang bertujuan untuk melahirkan ‘al-insan al-kulliyy’.

Bagaimanapun, oleh kerana proses sekularisasi sebagai rencana falsafah yang semakin rancak sejak zaman yang digelar ‘pencerahan’ (enlightenment) di Barat pada abad ke-18, tumpuan pendidikan telah beralih kepada kepen­tingan individu dan pemikiran kritis yang berasaskan syak (doubt). Akibatnya, seorang guru hari ini boleh me­ngajar isi kandungan atau kemahiran sesuatu bidang tetapi tidak boleh menjadi contoh yang boleh diteladani.

Dari kaca mata ilmu biologi pula, seorang manusia me­rupakan sejenis kehidupan yang menempuhi penyesuaian dan berkembang biak menuruti hukum evolusi. Dari kaca mata ahli ekonomi pula, liku-liku kehidupan seorang manusia ditadbir mutlak oleh dorongan kepentingan orang-perseorangan. Tetapi bagaimanakah kesemua ini berkaitan antara satu sama lain? Dan bagaimana kesimpulan setiap disiplin ilmu ini menyumbang kepada kefahaman tentang diri kita dan tempat kita di alam semesta?

Oleh sebab inilah sejak sekian lama dalam tamadun Islam, konsep ‘adab’ berperanan besar dalam mencorak matlamat, proses, dan kaedah pendidikan khususnya dalam kalangan ahli sufi dan ahli hukama’ bermula dari Baginda Nabi SAW sendiri. Kita juga wajar memastikan persoalan falsafah pendidikan dari sudut pandang Islam dengan memberi perhatian kepada agama lain juga di Malaysia supaya berupaya menilai segala pemikiran, pendekatan dan pelaksanaan dari pendekatan moden Barat dalam sistem pendidikan kita dengan adil, serta meng­asingkan unsur-unsur yang tidak relevan untuk matlamat ketamadunan kita demi mencapai kemakmuran dan kejayaan seperti yang difahami dalam tamadun Asia.

Penulis berpendapat untuk sistem pendidikan melonjak ke taraf lebih tinggi, kita perlu merujuk kepada para ilmuwan pemikir yang berpandangan jauh yang telah sekian lama merenung, membicarakan, menghasilkan penulisan-penulisan penting mengenai pendidikan tinggi serta berpengalaman menterjemahkan persoalan-persoalan ini di medan amali, untuk menyumbang ke arah melahirkan generasi akan datang yang lebih luhur akal budinya.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).