Ironinya, semua ini masih berlaku tatkala majoriti rakyat melaungkan keperluan untuk berubah setelah bersama-sama membuat keputusan besar dengan menukar kerajaan dalam pilihanraya umum lepas.

Sudah tentu laungan untuk perubahan ini tidak akan membawa sebarang makna jika setiap anggota masyarakat gagal memainkan peranan mereka dengan baik selain membuang tabiat buruk dan sikap tidak bertanggungjawab terutamanya semasa berada di jalan raya dan di tempat awam.

Jika tidak, kita akan terus melihat pemandu atau penunggang motosikal melanggar undang-undang dan peraturan lalu lintas se­perti meletak kenderaan sesuka hati, memandu melebihi had kelajuan, tidak mematuhi lampu isyarat dan berhenti di dalam petak kuning.

Ini adalah tabiat yang sukar dibuang dan akan menjejaskan aliran lalu lintas serta membahayakan nyawa pelaku dan pengguna jalan yang lain.

Ketika kita sedang bergerak ke era baharu, sudah tiba masanya untuk semua pihak melakukan perubahan tingkah laku dan mem­bantu mewujudkan ma­sya­ra­kat yang benar-benar bertamadun sejajar dengan hasrat membentuk Malaysia baharu.

Usaha gigih juga perlu dibuat bagi menangani pelbagai isu sosial termasuk masalah “Mat Rempit” dan “Mat Lajak”.

Kita perlu menghalang anak-anak muda daripada menunggang motosikal dan basikal yang diubah suai bagi melakukan aksi berbahaya di jalan awam. Ini bukan sahaja membahayakan nyawa mereka tetapi juga pengguna jalan raya lain.

Saya percaya salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memperbanyakkan kempen pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah dan ia perlu melibatkan pelajar dan ibu bapa mereka.

Pada masa sama, penekanan perlu diberikan kepada ibu bapa agar meluangkan lebih banyak masa untuk mendisiplinkan dan membesarkan anak-anak. Mereka juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak melanggar undang-undang lalu lintas atau terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan penyakit sosial lain.

Seluruh rakyat perlu membantu membina Malaysia yang ba­haru kerana perubahan polisi semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan impian kita menjadi kenyataan.

Walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan yang baik, kita ti­dak berjaya membangunkan ma­sya­rakat yang mempunyai kese­daran sivik yang tinggi.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila masih ada di antara kita yang membuang sampah di ­me­rata-rata tempat walaupun pelbagai kempen anti pembuangan sampah telah dilaksanakan.

Kita perlu ingat bahawa usaha meningkatkan imej negara bukan terletak hanya pada bahu kerajaan tetapi menjadi kewajipan setiap warganegara yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi untuk menjayakannya.

Setiap lapisan masyarakat mes­ti bertanya pada diri sendiri sama ada mereka telah melakukan yang terbaik untuk menjayakan pelbagai kempen mempromosi nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian saya, sikap orang ramai masih belum berubah kerana sifat-sifat yang baik seperti belas ihsan, sopan santun, sabar, merendah diri, to­leransi dan hormat menghormati belum menjadi cara hidup kita. Lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk menyemai nilai-nilai murni ini dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.

Ramai pelajar sekolah pada hari ini misalnya tidak tahu me­ng­ucapkan ‘terima kasih’ apabila menerima pemberian seperti ha­diah kecemerlangan akademik. Secara umumnya, masih ramai yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni ini walaupun telah mempelajarinya di sekolah.

Disebabkan itu, menjadi perkara biasa jika kita melihat kereta diletakkan sesuka hati manakala sampah dibuang di tempat awam. Masih ada juga pihak yang masih cenderung merosakkan harta awam, memotong barisan dan tidak meng­ucapkan perkataan ‘maaf’ selepas membuat kesilapan.

Sikap negatif lain termasuk bercakap dengan kasar kepada pelanggan, merokok di kawasan larangan, meludah di tempat awam serta tidak menghormati orang tua, orang kurang upaya dan wanita hamil.

Sehubungan itu, kempen untuk mempromosikan nilai-nilai murni perlu memastikan ia diamalkan dalam kehidupan seharian. Kempen sebegini perlu bermula dari sekolah di mana nilai-nilai murni perlu disemai dan diamalkan.

Pendidikan Moral di sekolah perlu diperkukuhkan dengan penekanan terhadap kepentingan pembelajaran dan pengamalan 36 nilai-nilai murni di sekolah. Menghafal 36 nilai-nilai murni hanya untuk lulus subjek Pendi­dikan Moral tidak sepatutnya berlaku kerana ia sepatutnya menjadi amalan seharian.

Kempen untuk memupuk ke­sedaran awam mengenai nilai-nilai murni ini sangat penting kerana anak-anak muda sudah mula melupakannya.

Berdasarkan tingkah laku dan sikap ramai rakyat Malaysia, kita tidak mempunyai pilihan selain meningkatkan usaha untuk me­mupuk sikap bertanggungjawab dan kesopanan masyarakat da­lam kalangan rakyat dan menja­dikannya cara hidup.

Janganlah nanti rakyat Malay­sia dianggap hanya mampu be­­kerja keras untuk menukar ke­rajaan tetapi gagal untuk memenuhi tanggungjawab sivik me­reka untuk memastikan rakyat mengamalkan nilai-nilai murni.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis sosial.