Dalam kejadian lain, dua lelaki yang sedang meman­cing di atas Jambatan Sungai Endau maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 159.5, Jalan Kuantan-Johor Bahru baru-baru ini.

Menurut siasatan awal, pemandu kenderaan pacuan empat roda yang sedang menghala ke Endau itu dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Malah, pelbagai kes pemandu mabuk melanggar orang awam dan kenderaan selalu dilaporkan di media massa dan hal ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa dan pengguna jalan raya itu sendiri.

Undang-undang menetapkan bahawa pengguna jalan raya yang memandu dalam keadaan mabuk salah di sisi undang-undang. Keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain.

Selain membawa maut atau kecederaan parah kepada diri sendiri, orang lain juga boleh mengalami keadaan yang sama. Oleh itu, pengguna jalan raya mesti memahami kepentingan mematuhi peraturan jalan raya agar tidak menyusahkan diri sendiri dan membebankan pihak lain.

Ketika ini pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dituduh di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengenakan hukuman denda maksimum RM6,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Sementara itu, bagi kesalahan memandu dalam kea­daan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh juga dihukum penjara maksimum 12 bulan.

Pemantauan ke atas pemandu mabuk mesti diperhebat terutama di kawasan bandar. Pengaruh gaya hidup dan persekitaran memperlihatkan kes-kes pemandu mabuk sering dikesan di kawasan-kawasan bandar dan sudah semestinya pemantauan oleh pihak berkuasa mesti diper­tingkat.

Menurut statistik bermula 2016, jumlah kematian di jalan raya negara ini sudah melebihi 7,000 orang setahun. Ini bermakna secara puratanya, seramai 20 orang mati akibat kemalangan jalan raya dalam sehari. Jumlah ini agak membimbangkan kerana sebelum ini, jumlah kematian tidak pernah mencecah angka tersebut.

Dalam pada itu, faktor kecuaian pengguna jalan raya menjadi penyebab utama kemalangan dan kematian di jalan raya manakala penunggang dan pembonceng motosikal menjadi golongan terbesar yang terbabit dalam kemalangan dan kematian.

Oleh yang demikian, pemantauan oleh pihak berkuasa ke atas salah laku pengguna jalan raya mesti dipertingkat agar dapat menurunkan kadar kemalangan dan kematian. Usaha mengesan dan mengenakan tindakan ke atas pemandu mabuk, memandu melebihi had laju dan me­langgar peraturan lain mesti dipertingkat dari semasa ke semasa.

Pendekatan 5E iaitu pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, persekitaran dan penilaian mesti dititikberatkan dengan harapan masalah ini dapat dikurangkan. Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) yang akan diperluas di sekolah rendah dan menengah bermula 2020 nanti diharap dapat membentuk generasi muda berpengetahuan dalam hal-hal keselamatan di jalan raya, mempraktikkan apa yang dipelajari dan menjadi pengguna jalan raya yang sentiasa beretika.

Apa pun, kesedaran individu sebagai pengguna jalan raya sangat penting untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. Fahamilah bahawa jalan raya itu milik bersama, fikirkan keselamatan diri dan pengguna yang lain dan jangan bertindak mementingkan diri sehingga menyusahkan orang lain.