Apabila negara menghadapi permasalahan ekonomi, politik dan sosial maka pemberontakan dan pembunuhan sukar untuk dielakkan. Suasana demikian menyebabkan korupsi dan penya­lahgunaan kuasa menjadi semakin berleluasa kerana sistem pemerintahan dan pentadbiran negara tidak dapat dilaksanakan secara sempurna. Ini adalah dilema yang wujud di negara-negara Islam masa kini.

Kewujudan banyak pergerakan radikal dalam negara Islam sepatutnya dikaji secara menyeluruh. Faktor kebangkitan kumpulan tersebut sepatutnya diberi tum­puan.

Corak atau sistem pemerintahan dan pentadbiran negara-negara Islam yang terbabit perlu dikaji agar pergerakan radikal dapat disekat.

Sesuatu yang berlaku pasti mem­punyai sebab musabab­nya yang perlu dikaji oleh pemim­pin negara berkenaan supaya ke­silapan dan kecuaian dalam pemerin­tahan dan pentadbiran dapat diperbaiki.

Konsep muhasabah diri sebagai pemimpin dan pembela ­rakyat sepatutnya dijadikan amalan dalam kehidupan mereka. Seper­timana sabda Rasulullah SAW: “Tiada seorang daripada umatku yang menjadi wali (pemimpin), lalu tidak menjaga mereka (rak­yatnya) sebagaimana ia menjaga dirinya, melainkan orang itu tidak akan tercium baunya syurga.”

Cara pemimpin di kebanyakan negara Islam yang bergolak me­ngendalikan urusan rakyat dan negara tidak mencerminkan sistem pemerintahan Islam se­pertimana dikehendaki Allah dan rasul. Kekayaan negara dijadikan hak milik peribadi dan para pelabur asing. Apabila kemewahan dan kekayaan menjadi impian pemimpin maka usaha untuk mem­bela rakyat semakin dilupakan. Ketika ini sikap terlalu bongkak dan rakus menyulami hati nurani sehingga mereka buta melihat hakikat yang wujud dalam negara. Suara rakyat dikete­pikan dan tindakan yang keras dilakukan ke atas rakyat yang menentang corak pemerintahan mereka.

Apabila pemimpin meletakkan diri sebagai individu yang mempunyai kuasa mutlak maka ketika ini kekejaman dan penindasan menjadi ciri-ciri dalam sistem pemerintahan. Jika wujud suasana sedemikian maka usah bermimpi untuk membentuk negara Islam yang ideal kerana ciri-ciri sistem pemerintahan dan pentadbiran lebih dikuasai oleh ideologi ciptaan manusia yang mengetepikan keadilan, kemanusiaan dan kesaksamaan di antara rakyat dan pemimpin.

Apabila pemikiran pemimpin sudah dikuasai oleh ideologi sekular yang mementingkan kuasa dan kemewahan maka amat sukar untuk rakyat menyuarakan harapan dan penderitaan mereka. Ketika ini prinsip ketaatan kepada pemimpin dan sikap tolak ansur tidak mungkin wujud dalam minda kebanyakan rakyat terutama golongan miskin.

Kekejaman pemimpin terhadap rakyat dibalas dengan tindak­an radikal. Justeru slogan jihad untuk menuntut keadilan dan kemanusiaan menjadi semakin berpengaruh dalam kalangan rakyat.

Kemewahan dan kenikmat­an kehidupan duniawi yang keterlaluan bukan sahaja boleh ­meruntun hati rakyat malah juga boleh menggugat kedudukan pemimpin dan kerajaan. Umar al-Khattab sering mengingati gabenor dan pentadbir negara dengan katanya: “Sesungguhnya itu (pewalian) bukanlah hasil titik peluh ayahmu atau ibumu atau titik peluh mu sendiri, maka beri­lah kepuasan kepada muslimin sebagaimana engkau memberi ­kepuasan kepada dirimu sendiri dan janganlah sekali-kali bersenang-lenang dan mengenakan pakaian sutera dan gaya orang musyrik.”

Negara Islam yang mengalami pergolakan politik menghadapi tindakan daripada rakyat sejajar dengan apa yang pemimpin lakukan kepada mereka. Jika permasalahan rakyat dikendalikan secara kejam maka tindakan daripada rakyat adalah berbentuk radikal dan ganas.

Rasulullah SAW mengingatkan perkara ini dengan sabdanya, “Sebaik-baik pemimpin-pemim­pin mu ialah mereka yang kamu cintai dan mencintai kamu, kamu berdoa untuk mereka dan mereka berdoa untukmu. Dan seburuk-buruk pemimpin-pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan membenci kamu dan yang kamu laknat dan melaknati kamu.”

Pelbagai cara digunakan oleh pemimpin negara-negara Islam bergolak untuk membanteras keganasan sehingga meminta kuasa besar dunia mencampuri urusan politik negara mereka.

Sikap begini menambahkan semangat penentangan terhadap kerajaan dan pemimpin. Ideologi radikal semakin berpengaruh dalam kalangan golongan muda demi menjatuhkan kerajaan.

Suasana begini memberi peluang kepada gerakan radikal ­seperti Daesh menambahkan kemelut dalam negara.

Perlu diingatkan bahawa kerajaan dan pemimpin yang amat prihatin kepada rakyat dan negara sentiasa kekal kedudukannya kerana teguran daripada rakyat dijadikan sebagai cara untuk bermuhasabah diri dan memper­betulkan kesilapan.

Sikap lunak dalam pemerintah­an dan gigih membantu rakyat dan mengendalikan urusan negara secara ikhlas dan amanah mampu untuk membanteras sebarang ideologi radikal dan ganas dalam negara.

Oleh itu, fahamilah bahawa pemimpin yang baik dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dituntut oleh Islam supaya mentaatinya sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Sekalipun hanya seorang hamba yang dijadikan pemimpin yang memerintah kamu tetapi sesuai dengan kitabullah maka hendaklah kamu dengar dan mentaatinya.” (Hadis riwayat Muslim ).

Apabila negara dipimpin oleh pemimpin begini maka amanlah negara dan rakyat hidup dengan harmoni.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).