Dalam satu wawancara eks­klusif dengan portal berita UMNO-Online tahun lalu, yang dipetik Utusan Malaysia dalam satu rakaman video, Napsiah tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk berkongsi dengan rakyat negara ini me­ngenai pahit jerih UMNO dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

“Di beberapa negara, banyak parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara mereka telah jatuh...UMNO ini hanya lambang, tak ada nyawa tetapi ahli-ahlinyalah yang memberikannya kekuatan, keindahan.

“Kita sebagai ahli (UMNO) jangan sia-siakan perjuangan orang dulu-dulu yang sampai ada yang kutip kelapa nak bagi (bayar) yuran menghidupkan UMNO,” kata Allahyarham yang menerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2017.

Napsiah meminta orang Melayu khususnya anak muda hari ini supaya terus me­ngenang perjuangan UMNO de­ngan me­mastikan kekukuhannya berterusan.

“UMNO ini terlalu banyak jasanya kepada orang Me­layu, kepada kita semua, jadi saya berharap agar perjuangan UMNO tetap diteruskan dan menghayati dengan menghi­dupkannya, memastikan ke­wujudannya,” katanya.

Anak jati Kuala Pilah Negeri Sembilan yang dilahirkan pada 21 April 1943 itu menyuarakan rasa sedih apabila ada segelintir pihak mempertikaikan tentang perjuangan UMNO hari ini.

“Bukan senang kita nak mer­deka, bukan senang orang-orang dulu nak hidupkan UMNO dan berjuang untuk UMNO. Mereka berikan apa sa­haja kepada UMNO untuk me­nghidupkan perjuangan dan mahu membebaskan Tanah Melayu dari penjajah,” katanya dalam temubual itu.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Tunku Kurshiah dan kemudian ke Sekolah Tunku Mohamad Kuala Pilah sebelum menyambung pengajian ke Australia di Telopea Park High School, Canberra dari 1961 hingga 1963.

Napsiah mendapat Ijazah dalam bidang Sains Zoologi dan Botani pada 1966 dari Australian National University. Pada 1972, Napsiah memperoleh Master Sains Nutrisi dan Pendidikan dari Cornell University, New York.

Allahyarham mendirikan ru­­mahtangga dengan Abdul Aziz Yahaya pada 1968. Ibu kepada empat orang cahaya mata itu memulakan kerjaya sebagai pegawai tadbir di Jabatan Pembangunan Peneroka, Felda sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Pertanian Serdang pada 1972.

Atas rasa cinta ingin berkhidmat kepada nusa bangsa, beliau melepaskan jawatannya sebagai Profesor Madya pada 1982 untuk melibatkan diri sepenuh masa dalam politik.

Napsiah diberi kepercayaan menjadi Ahli Parlimen Kuala Pilah pada 1982, selain pernah mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Pilah.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Menteri Perusahaan Awam, Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Ma­syarakat, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Exco Kerajaan Negeri Sembilan serta Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Nasional (LPPKN).

Napsiah juga merupakan pe­ngasas dan pengerusi Institut Pengurusan Wanita (WIM) serta Ketua Eksekutif Kolej WIM.

Kecekalan dan ketabahan Allahyarham teruji apabila suami tercinta kembali ke rahmatullah pada tahun 1985. Beliau meneruskan tekad dalam perjuangan biarpun pernah difitnah atas statusnya sebagai ibu tunggal namun semangatnya untuk berbakti kepada rakyat tidak pernah pudar apatah lagi merealisasikan perjuangan UMNO.

Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Ketua Wanita UMNO Pusat, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan dan Bahagian Kuala Pilah.

Beliau terus aktif sebagai Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia dalam perjuangan bangsa berteraskan UMNO sebagai platform yang mesti dipertahankan.

Salam takziah. Al-fatihah kepada keluarga Allahyarham. Se­moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.