Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Perginya sultan disayangi rakyat

TUANKU ABDUL HALIM MUADZAM SHAH mencemar duli melawat dan menyampaikan 3
TUANKU ABDUL HALIM MUADZAM SHAH mencemar duli melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Zurina Nayan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di rumahnya di Kampung Kubang Jawi, Alor Setar, Kedah, pada 2007. UTUSAN/KAMAL BASIR

KEMBALINYA ke rahmatullah semalam seorang sultan yang di­sayangi rakyat jelata.

Mengenang Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 90, baginda akan sentiasa diingati dengan pertutu­ran yang lemah-lembut dan bersopan santun.

Dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti dan tingkah laku berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas, Almarhum yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012 (dilantik bermula 13 Disember 2011 selama lima tahun) merupakan raja yang pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua.

Sebelum itu baginda dilantik Yang di-Pertuan Agong kelima bermula 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Sepanjang pemerintahan ba­ginda lebih 50 tahun, keprihatinan terhadap masalah rakyat, pembangunan negeri dan tinggi keperibadian menjadikan ba­ginda sentiasa disayangi.

Lewat tahun 1980-an, pembangunan Kedah begitu rancak - peralihan dari sektor berasaskan ekonomi pertanian kepada industri moden. Banyak kilang didirikan di Kedah seperti Gurun, Sungai Petani, Kulim dan Mergong. Antara kilang terawal menanam modal ialah Perwaja Steel Sdn. Bhd. di Gurun dan Sharp Roxy (M) Sdn. Bhd. di Bakar Arang, Sungai Petani.

Menjelang 1990-an, sektor industri terus berkembang pesat dengan menyaksikan kilang pembuatan motosikal negara iaitu Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) bertapak di Gurun.

Projek-projek pembangunan lain dan upacara-upacara pen­ting yang berlaku dan dirasmikan oleh baginda termasuklah majlis perasmian Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (Kulim High-Tech Park) pada Oktober 1992 dan pengisy­tiharan Alor Setar sebagai bandar raya pada 21 Disember 2003.

Sudah menjadi kebiasaan bagi Tuanku Abdul Halim sanggup meluangkan masa mencemar duli untuk menghadiri majlis-majlis tertentu seperti hari penyampaian hadiah dan konvokesyen yang diadakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Antara sekolah yang baginda hadir pada majlis-majlis tersebut tanpa ketinggalan setiap tahun sejak 30 tahun lalu ialah Kolej Sultan Abdul Hamid, Maktab Mahmud, Sekolah Keat Hwa dan Sekolah Menengah Badlishah Kulim.

Tuanku Abdul Halim juga seorang sultan yang amat me­nitiberatkan ketepatan masa. Menurut bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Shaari Daud (dilantik ke jawatan itu pada 1969) dalam buku bertajuk Making Return Kembali Bertakhta terbitan 2013, baginda akan tiba di pejabat tepat pada pukul 8 pagi setiap hari.

Ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong, baginda akan meng­hubungi Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada pukul 7 pagi setiap hari untuk mendapatkan laporan tentang hal ehwal negeri.

Biasanya, Shaari terpaksa memohon maaf dan meminta baginda menghubungi beliau semula pada pukul 8 pagi kerana belum ada pegawai yang sampai seawal itu.

Bekas Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Omar Mohamed dalam buku yang sama mengungkapkan, Almarhum memandang berat hal ehwal pentadbiran negeri termasuk menekankan tentang penjimatan perbelanjaan kerajaan demi kebaikan rakyat.

“Baginda akan bertanya apabila dirasakan sesuatu ketera­ngan itu kurang jelas atau per­belanjaan tidak munasabah. Ada juga kadang-kadang Tuanku memberi pendapat dan panda­ngan baginda sangat bernas.

Dalam pada itu, seorang rakan sekolej baginda di Kolel Sultan Abdul Hamid, Datuk Syed Azizan Syed Hassan dalam buku berkenaan menceritakan:

“Di dalam kelas Tuanku duduk di tengah-tengah, ba­ginda tidak bercakap banyak, hanya bercakap mengenai soal pelajaran dan sekali-sekala bertanyakan soalan. Buku yang baginda suka baca ialah kara­ngan Shakespeares.

“Bagaimanapun, baginda tidaklah serius sangat. Baginda seorang yang budiman dan boleh menerima gurau senda yang tidak kasar,” kata Syed Azizan.

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan bersama baginda ialah ketika menaiki basikal bersama-sama dari kolej ke Istana Anak Bukit dan kemudiannya berkhemah semalaman melihat tuntong bertelur di tepi sungai Bukit Pinang.

“Ketika itu baginda bergaul mesra dengan semua rakan ba­ginda tanpa mementingkan pangkat dan kedudukan. Sifat inilah yang membuktikan Tuanku memang benar-benar berjiwa rakyat,” kata Syed Azizan.

Tuanku Abdul Halim dan rakyat berpisah tiada.

Pada 30 Jun 2007, akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, baginda terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kedah dan Perlis.

Baginda terpaksa berjalan kaki kira-kira 45 minit untuk ke stadium tersebut apabila kenderaan rasmi yang membawa baginda terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Perlawanan akhir antara pa­sukan berjiran Kedah dan Perlis itu berkesudahan dengan Kedah menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada 1956, baginda bertemu jodoh dengan Tuanku Sultanah Bahiyah. Baginda berdua dikurniakan tiga orang puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Puteri Intan Safinaz. Pada tanggal 25 Disember 1975, baginda juga bernikah dengan Yang Mulia Che Puan Hajjah Haminah Hamidun. Selepas kemangkatan Tuanku Sultanah Hajjah Bahiyah pada 26 Ogos 2003, Sultan Abdul Halim ber­kenan memasyhurkan Che Puan Hajjah Haminah sebagai Sultanah Kedah yang baharu pada 9 Januari 2004.

Sultan Abdul Halim seorang raja yang merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat biasa. Baginda turut menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan penjawat awam. Ini kerana baginda pernah menjadi pegawai tadbir di Kedah selepas tamat pengajian dalam bidang pentadbiran di United Kingdom.

Baginda juga dikenali sebagai raja yang kuat berpegang kepada ajaran Islam. Baginda sentiasa berada di masjid-masjid besar dan kecil di seluruh negara dan Kedah untuk solat berjemaah bersama rakyat dari semua lapisan masyarakat.

Mendunglah puri 
tanah tercinta

Runduk dek bayu 
sebendang padi

Merataplah seisi rakyat jelata

Berangkat Tuanku 
ke negeri abadi.

Awan pilu di pergunungan

Berarak lalu pudarlah seri

Jasamu Tuanku 
dalam kenangan

Limpah daulatmu 
serata negeri.

Semoga roh Almarhum ba­ginda dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan golongan beriman. Al-fatihah.

28 November 1927 - 11 September 2017

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain