JOHAN JAAFAR
JOHAN JAAFAR

Memang tidak dapat dinafikan pemergian Allahyarham itu amat dirasai oleh ahli keluarga, sahabat-handai, pelajar-pelajar dan tidak terkecuali rakan-rakan seperjuangan beliau yang sama-sama bertungkus lumus berusaha me­letakkan bidang kesusasteraan Melayu pada kedudukan sewajarnya.

Sesungguhnya, Allahyarham pergi bertemu Allah selepas sebahagian be­­sar hidupnya dihabiskan untuk memartabatkan bidang kesusasteraan negara ini. Beliau menggunakan segala ­kelebihannya terutama dalam bidang penulisan novel dan cerpen semata-mata mahu melihat bidang kesusasteraan di Malaysia terus mengorak ke hadapan.

Kini tiada lagi kelibat tubuh yang bernama Shahnon Ahmad. Yang tinggal hanyalah semangat Allahyarham yang boleh dijadikan sebagai azimat untuk golongan pelapis meneruskan perjuangannya. Negara juga amat merasai kehilangan insan ulung ini.

Shahnon semasa hayatnya telah menghasilkan banyak novel serta cerpen yang mana kesemua karyanya itu mempunyai estetika yang begitu tinggi. Malah setiap karyanya itu mempunyai mesej-mesej tertentu yang ingin disampaikan kepada masyarakat terutama kaitannya dengan kepentingan Islam dan Melayu sama ada dari segi sosial, ekonomi mahupun politik.

Jika dijejaki latar belakang­nya dalam bidang penulisan, Allahyarham Shahnon mula menulis sekitar 1950-an yang antara mesej utamanya ialah tentang cabaran dihadapi oleh masyarakat Melayu ketika itu. Beliau menyingkap setiap penderitaan yang dialami oleh masyarakat Melayu khususnya di desa dalam bentuk tulisan.

Sejujurnya banyak pihak berpandangan beliau adalah seorang penulis dan dalam masa yang sama juga seorang pem­bela nasib orang Melayu. Oleh itu tidak hairanlah Allahyarham begitu sensitif terhadap segala kejadian dan peristiwa yang berlaku terutama dalam lingkaran kehidupan orang Melayu. Pada beliau, orang Melayu perlukan pembelaan.

Mengulas me­ngenai Shahnon, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, Allahyarham adalah saste­rawan besar terakhir bagi ge­nerasinya. Kekuatan Allahyarham dalam genre novel dan cerpen tidak boleh dipertikaikan.

Antara novel Allahyarham yang terkenal kata Johan adalah Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge serta Tunggul-Tunggul Gerigis.

“Allahyarham dinobatkan Sas­terawan Negara yang kedua pada tahun 1982 kerana sumbangannya dalam dunia sastera,” katanya di sini hari ini.

Menurut Johan, Allahyarham dikenali kerana prolifik­nya menghasilkan novel dan cerpen selain salah seorang pencetus gagasan sastera Islam pada tahun 1980-an.

Katanya lagi, beliau ibarat bintang cemerlang di langit sastera tempatan, sinar­nya akan kekal sebagai legasi seorang sasterawan tulen yang menggunakan sastera untuk memperjuangkan sesuatu.

“Shahnon tiada gantinya dalam sastera tanah air. Secara peribadi, saya banyak terhutang budi pada Allahyarham Shahnon. Beliau adalah idola, abang dan guru sastera saya.

“Sebagai pelajar aliran Ing­geris, selain Datuk Usman Awang dan Datuk A. Samad Said melalui karya-karyanya juga telah mencelikkan mata saya pada jendela minda sastera Melayu. Malah Shahnon banyak mempengaruhi saya dalam gaya berkarya saya pada peringkat awal,” katanya lagi.

Dalam pada itu, novel bertajuk Rentong yang dihasilkan pada 1965 telah berjaya ­menaikkan namanya. Novel tersebut telah mengangkat namanya sebagai seorang no­velis yang cukup hebat di negara ini. Dalam novel tersebut, Allahyarham mengupas tentang senario penduduk desa yang amat memerlukan pembangunan.

Novel ketiganya iaitu Ranjau Sepanjang Jalan yang diterbitkan oleh Utusan Melayu (M) Berhad pada 1966 juga adalah antara karyanya yang hebat dan masih dibaca hingga ke hari ini. Novel tersebut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat pembaca tidak kira latar belakang dan usia.

Novel itu kemudian dijadikan teks sastera untuk tingkatan enam bagi tempoh beberapa tahun. Novel ini juga pernah diangkat untuk dijadikan sebagai filem pada 1983. Seperti mana Rentong, novel Ranjau Sepanjang Jalan juga banyak mengisahkan tentang cabaran kehidupan petani dan pesawah di kampung.

Hakikatnya, jiwa kehidupan kampung Allahyarham amat kuat sehingga terhasilnya kedua-dua novel tersebut serta novel-novelnya yang lain.

Selain novel, Shahnon ju­ga mempunyai sekurang-ku­rangnya tiga koleksi cerpennya yang telah diterbitkan iaitu Anjing-anjing, Debu Merah dan Selesai Subuh.

Dalam bidang pendidikan pula, beliau memulakan karier sebagai guru di Grammer English School Kuala Terengganu pada tahun 1954. Pernah menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dari 1960 sehingga 1963.

Pada 1974 Allahyarham telah ditawarkan sebagai pe­nsyarah di Universiti Sains Malaysia (USM). Pada 1982, Shahnon telah dilantik sebagai profesor penuh di USM. Kemudian Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam, USM.

Bagi menghargai jasanya terhadap bidang kesusasteraan dan pendidikan, USM memberikan anugerah Profesor Emeritus kepada Allahyarham pada 11 September 1993.

Menyentuh tentang Shahnon kita tidak boleh lari daripada membicarakan pembabitannya dalam bidang politik.

Ini kerana Allahyarham pernah membuat kejutan dalam dunia politik tanah air apabila berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman bagi kerusi Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum 1999 dengan kelebihan 478 undi.

Abdul Hamid ketika itu memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Shahnon dalam pilihan raya tersebut mewakili Pas dan hanya menjadi Ahli Parlimen Pas selama satu penggal. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum 2004.

Dalam perkembangan ber­k­aitan, beliau pernah menggemparkan dunia penulisan pada tahun 1999 apabila menghasilkan novel bertajuk SHIT yang jelas mengkritik individu-individu yang memegang kuasa politik negara tetapi tidak menunjukkan contoh dan etika yang baik dalam pentadbiran negara.

Inilah keistimewaan yang ada pada diri Allahyarham. Melalui mata penanya, Shahnon akan menyampai segala mesej yang tersirat dalam jiwa nurani demi satu kebenaran.

Yang benar beliau akan katakan itu benar dan yang batil Allahyarham akan katakan itu batil. Bagi Shahnon, keredaan Allah adalah segala-galanya. Al-Fatihah.