ABDULLAH HUSSAIN menunjukkan beberapa novel yang pernah dihasilkannya dalam satu temu bual di kediamannya di Petaling Jaya pada 2011. – UTUSAN/RIDUAN RIZAL

Itu diakui sendiri oleh anaknya, Thariq ketika timbulnya kontroversi pada 2011 apabila ada pihak yang mahu novel Interlok karyanya diharamkan daripada digunakan oleh pelajar Tingkatan Lima sebagai komponen kesusasteraan bagi subjek Bahasa Malaysia kerana didakwa mengandungi unsur rasis.

Menurut Thariq, ayahnya hanya berminat menjadi sasterawan dan tidak berminat untuk menjadi ahli politik dan sebab itu beliau merasa kecewa apabila ada pihak cuba mempolitikkan novel berkenaan.

“Ia langsung tiada unsur politik, apatah lagi bertujuan me­nyakiti hati mana-mana kaum di negara ini. Sebaliknya ia adalah realiti kehidupan kaum Melayu, Cina dan India.

“Saya cuma kasihankan ayah saya kerana beliau tertekan de­ngan isu tersebut, sedangkan sebelum menulis novel tersebut, beliau telah pun membuat kajian terlebih dahulu,” katanya

Novel yang diterbit pada 1971 adalah karya Abdullah yang me­maparkan tema integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India se­awal 1900-an sehingga merdeka.

Pandangan Thariq turut di­kongsi oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan yang pernah memberi komen menyifatkan Abdullah ialah seorang penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri.

“Novel Interlok merupakan gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan dan pengisahan yang melibatkan penghijrahan kaum pekerja dari luar, termasuk orang dari India, memang terakam dalam karya-karya ilmiah. Kewujudan kasta yang dimaksudkan itu bukan suatu bentuk penghinaan, malah merupakan realiti di India.

“Semua pihak perlu membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah, apatah lagi jika berkaitan dengan perhitungan politik sempit pula,” katanya.

Dalam pada itu, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pula menyifatkan pemergian Allahyarham sukar dicari ganti dan sangat-sangat dirasai terutama dalam ka­langan sasterawan seangkatannya.

“Arwah seorang yang sangat produktif. Beliau sangat menghormati golongan sasterawan seangkatan beliau malah juga daripada golongan yang muda,” katanya yang mengenali Abdullah sejak 1950-an lagi.

Abdullah menerima Anugerah Sasterawan Negara, anugerah ter­tinggi dalam bidang itu pada 1996 dan Anugerah SEA Write daripada kerajaan Thailand pada 1981.

Sepanjang hidupnya, beliau menghasilkan lebih 25 novel, tiga kumpulan cerpen, sembilan terjemahan, sebuah autobiografi dan enam biografi.

Dua adiknya, Allahyarham Datuk Ibrahim pula seorang pelukis tersohor manakala Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ismail pula seorang pejuang bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Sementara itu, dalam ruangan biografi Sasterawan Negara yang terdapat dalam laman web Klik Web DBP, Abdullah disifatkan sebagai seorang penulis yang cukup prolifik lagi konsisten.

Beliau juga ialah seorang penulis Malaysia yang kaya dengan pelbagai pengalaman sehingga membolehkannya menghasilkan karya dengan pelbagai tema dan latar belakang yang berbeza-beza dalam karya-karyanya.

Malah kita juga dapat menik­mati dalam bahasa Melayu karya penulis antarabangsa yang diterjemahnya seperti Orang Tua dengan Laut (Ernest Hemingway), Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Mutiara (Johan Steinbeck) dan Lorong Midaq (Naguib Mahfouz).

Di samping itu, Allahyarham menghasilkan biografi tentang P. Ramlee dan Pendeta Za’ba, yang masing-masing ialah seniman dan ahli bahasa Melayu terulung. Abdullah juga menulis biografi tokoh sastera, Harun Aminurrashid.

Namun, sumbangannya yang cukup bererti dalam kesusaste­raan Melayu adalah dalam bidang cerpen dan novel. Antara novel berkenaan adalah Intan, Noni, Imam dan Konserto Terakhir.

Abdullah dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Pada 1926, Abdullah mula belajar di Sekolah Melayu Sungai Limau dan Sekolah St. Mic­hael, Alor Setar.

Pekerjaan awalnya ialah penolong penjaga stor dalam sebuah perusahaan lombong bijih di Pahang pada 1939. Beliau kemudiannya berhijrah ke Pulau Pinang dan be­kerja di beberapa syarikat akhbar di sana sehingga 1940 yang menyaksikan beliau mula menggilap bakat menulisnya dengan menghasilkan dua novel terawal iaitu Kasih Isteri dan Dia … Kekasihku.

Semasa tentera Jepun menduduki Tanah Melayu dan Si­ngapura pada 1943, Abdullah sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) di Singapura selama tiga bulan.

Selepas itu beliau ke Aceh, tempat asal orang tuanya. Sema­sa di Banda Aceh, beliau ikut mendirikan surat khabar Acheh Shimbun dan menjadi koresponden beberapa akhbar lain.

Setelah Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, Abdullah terlibat dalam kepimpinan pe­ringkat daerah di Indonesia dan turut terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan republik itu daripada Belanda.

Mulai 1961, Abdullah pindah dan bekerja di Kuala Lumpur. Beliau bertugas di syarikat Oxford University Press sebagai pembantu pengarang kanan yang terlibat menterjemahkan beberapa karya sastera dunia.

Pada 1968, Abdullah mula bertugas di DBP sebagai Penolong Pengarang dan jawatan terakhir sebagai Karyawan Tamu DBP dari 1993-1994 serta dari 1995-1996.

Allahyarham seorang yang bersuara lembut dan pada saat-saat akhir hayatnya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda kerana uzur.

Beliau yang pernah ditanya mengapa novelnya banyak me­maparkan watak pelbagai kaum telah menjelaskan itulah realiti masyarakat negara ini dan kerana beliau sedar perpaduan kaum hanya dapat dicapai melalui penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu.

Hasil kesungguhan dan ke­gigihan beliau berkarya membolehkan novel Imam terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95 dan sebelum itu novel sama menang Hadiah Novel Nasional (mengingati Pak Sako) 1992/94 yang dianjurkan bersama oleh Utusan Melayu dan Public Bank Berhad.

Sempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau te­lah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk pada 1995.

Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.