Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir semalam dalam usia 75 tahun adalah antara tokoh penting dalam UMNO dan kerajaan semasa era Per­dana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau pernah memegang ja­watan sebagai Setiausaha Agung UMNO dan salah seorang dari tiga Naib Presiden UMNO bersama dua tokoh lagi iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dan suatu ketika, Allahyarham kelihatan berpotensi menjadi bakal calon Timbalan Presiden UMNO. Bekas Menteri Pertanian dan pernah menjadi Menteri Besar Kedah ketujuh itu adalah anak Melayu pertama dilantik pe­ngurus cawangan Bank Stan­dard Chartered.

Sanusi ialah seorang politikus yang mempunyai banyak idea. Semasa menjawat jawatan Menteri Pertanian, beliau ba­nyak ­melakukan pembaharuan termasuklah kempen minum air kelapa, minuman koko dan sebagainya. Ideanya kreatif. Sanusi adalah satu-satunya menteri yang fasih bercakap dalam banyak bahasa termasuk Mandarin, Tamil, dan Urdu. Beliau juga seorang yang gemar membaca dan disifatkan sebagai ulat buku.

Kecenderungannya itu turut diterjemahkan melalui usaha­nya melahirkan sebuah kampung buku di Kedah yang kemudian ‘menimbulkan kontroversi’. Di salah sebuah rumah miliknya di Kuala Lumpur turut dijadikan perpustakaan yang dipenuhi dengan buku-buku miliknya. Khabarnya, arwah akan menghabiskan masanya membaca sebagai aktiviti hariannya.

Semasa Anwar mencabar Tun Ghafar Baba merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, Sanusi bersama dengan Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah adalah antara pemimpin yang kuat menentang hasrat Anwar. Sanusi dan Pak Lah turut berkempen di seluruh negara bagi memberi sokongan kepada Ghafar.

Usaha beliau gagal kerana angin dan gelombang menyokong Anwar masa itu terlalu kuat. Selepas Anwar berjaya menyingkirkan Ghafar, hubu­ngan beliau dan Anwar menjadi dingin, malah menjadi seteru politik pula. Bila kes pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri menjadi gawat, Sanusi telah tampil membantu Dr. Mahathir dan UMNO bagi mempertahankan tindakan parti dan kerajaan.

Sepanjang aktif dalam politik, Allahyarham adalah penyokong kuat nombor satu kepada pimpinan Dr. Mahathir. Beliau begitu setia dan tidak pernah dalam situasi apa pun menentang Dr. Mahathir. Waima, walaupun semasa pentadbirannya sebagai menteri besar (1996-1999), Allahyarham tidak dapat mengekalkan Kedah apabila pada pilihan raya di bawah eranya menyaksikan kekalahan teruk, dengan BN menang hanya 22 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) dan tujuh Parlimen.

Keputusan merosot itu menyebabkan pucuk pimpinan UMNO waktu itu menukar menteri besar dengan calon pilihan parti. Apa pun, hubungan beliau dengan Dr. Mahathir adalah lebih dari seorang pengikut dan mentor, malah seperti sahabat dan rakan yang setia. Ia tak terpisahkan. Pada Jun 2017, Allahyarham diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sebuah parti baharu yang diketuai Dr. Mahathir.

Sanusi adalah seorang politikus unik dan kreatif pernah UMNO lahirkan. Peranan dan sumbangannya banyak untuk parti dan kerajaan. Namun detik hitam yang tidak mungkin dilupakan Sanusi ialah apabi­la UMNO diharamkan oleh mahkamah semasa beliau me­n­­jawat jawatan sebagai Setiausaha Agung pada 1988.

Semangat Melayu begitu te­bal dalam diri Allahyarham. Pembangunan bangsa Melayu pernah diluahkan beliau bahawa ia tidak boleh dilaksanakan sekiranya ciri-ciri bangsa itu diabaikan sama sekali dalam proses pembangunan itu. Keperibadian bangsa adalah komponen amat penting agar jati diri bangsa itu sentiasa utuh dan satu bangsa yang bermaruah akan terbina.

Antara ingatannya ketika di­temubual akhbar ini pada April 2013 ketika ditanya tentang ke­ghairahan orang Melayu berpolitik, Sanusi yang semasa itu baru pulih dari penyakit jantung, menjawab:

“Saya melihat orang Melayu ni suka kepada perkara seasonal (bermusim). Mereka tidak suka kalau diminta buka kedai dan jaga hari-hari, mereka tak suka tapi kalau meniaga pasar malam seminggu tiga empat kali mereka suka.

“Contoh lain kalau kita te­ngok orang Melayu, kita boleh kira berapa ramai yang datang ke masjid sembahyang lima waktu. Tapi sembahyang Jumaat semakin ramai, kalau sembahyang hari raya setahun sekali lagi penuh masjid.

“Orang Melayu juga memi­lih untuk bersatu hanya pada musim-musim tertentu sahaja. Sejarah Malaysia membuktikan penyatuan orang Melayu awalnya terjadi bila hak mereka ter­gugat semasa Malayan Union diperkenalkan. Mereka berasa terancam semasa orang lain mengusik tentang keistimewaan mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Itu yang berlaku sekarang apabila bangsa lain mencabar kedudukan mereka, maka mereka akan bangkit.

“Pada keadaan biasa mereka lebih memilih untuk duduk se­cara berpuak-puak. Tidak hai­ranlah walaupun satu bangsa, Melayu selalu saja iri hati antara satu sama lain, selalu menuduh satu orang lebih Melayu dari yang lain bahkan tergamak me­nunjuk siapa masuk syurga dan siapa tidak berdasarkan puak mereka.

“Sifat seasonal ini juga tidak mengenal usia. Pada anak-anak muda Melayu, mereka tidak bersatu di universiti dalam pem­belajaran mereka tetapi me­milih bersatu bila ada orang mengaku ingin memansuhkan hutang mereka. Oleh itu dalam memilih pemimpin yang tegas dan fokus bekerja dalam kala­ngan orang Melayu adalah pen­ting jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah-masalah yang ada.

“Pemimpin terpilih mestilah pemimpin masyarakat yang berjiwa rakyat, tidak hanya modal pandai bercakap dan popular tetapi mereka yang benar-benar mahu menyelesaikan masalah Melayu. Pemimpin ini juga mesti jujur dan bebas dari sifat seasonal dalam memimpin, iaitu mampu memimpin dengan baik pada sepanjang masa, bukan pada waktu ingin menyelesaikan masalah peribadi atau menjelang musim pilihan raya mahupun mesyuarat pemilihan jawatan dalam organisasi mereka sahaja.”

Dan Allahyarham turut menarik perhatian mengenai perihal masalah orang Melayu yang disebutkannya mempunyai dua sifat yang jarang ada pada orang lain. Pertama, sifat mengamuk yang kata Allahyarham, dikongsi dengan orang Korea dan ke­dua, melatah yang dikongsi de­ngan orang Eskimo.

“Jadi, ini yang berlaku lepas 2008 (BN buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya mo­den hilang majoriti dua pertiga) kerana kita geram nak mengamuk, kemudian kita melatah. Jadi, apabila mereka mengamuk, mereka akan menyesal kemudian,” kata Allahyarham beberapa tahun lalu.

Al-Fatihah. Semoga ar­wah­ ditempatkan dalam ka­langan orang beriman.