Pemergian beliau pada usia 91 tahun bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap rakyat Singapura, bahkan penduduk di negara jiran terma­suk Malaysia yang pernah bersatu di bawah satu payung pemerintahan.

Terkenal dengan jolokan Bapa Pengasas Pemodenan Singapura, Kuan Yew menempa banyak pencapaian mengagumkan apatah lagi menjadikan sebuah negara kecil berasaskan industri pelabuhan tanpa sumber asli menjadi antara negara termaju, selamat dan berdisiplin di dunia.

Dilahirkan pada 16 September 1923 dalam sebuah keluarga Cina yang kaya, Kuan Yew tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pendidikan terbaik. Memulakan pengajian di Sekolah Dasar Teluk Kurau sebelum memasuki Institut Raffles dan Kolej Raffles, namun proses pembelajarannya terganggu akibat Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di Singapura dari 1942 hingga 1945.

Sepanjang zaman pemerintahan Jepun, Kuan Yew terlibat dalam dunia pasaran gelap de­ngan menjual gam kanji yang dikenali sebagai stikfas bagi meneruskan hidup.

Beliau juga menjadi penyun­ting bahasa Inggeris di bahagian propaganda Jepun, Hodobu sekitar 1943 dan 1944 kerana kemahirannya berbahasa Inggeris, Cina dan Jepun.

Selepas perang tamat, beliau melanjutkan pengajian di Kolej Fitzwilliam, Cambrigde, England dalam jurusan undang-undang.

Meskipun mempunyai pilihan untuk memulakan kerjaya di England sebagai peguam, beliau mengambil keputusan pulang ke Singapura pada 1950 untuk beker­ja di firma guaman, Laycock & Ong selain menjadi penasihat undang-undang kesatuan perdagangan dan pelajar.

Kelibat Kuan Yew dalam dunia politik bermula apabila menjadi ejen pilihan raya bagi Parti Progresif yang pro-British semasa pilihan raya Majlis Perundangan pada 1951. Mengorak langkah lebih jauh dalam bidang politik, beliau menu­buhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 12 November 1954, dengan bantuan golongan kelas pertengahan berpendidikan Inggeris selain sokongan kesatuan peniaga pro-komunis, sekali gus memenangi kerusi Tanjung Pagar dalam pilihan raya pertama Singapura pada 1955.

Beliau mengetuai parti PAP memenangi 43 daripada 51 kerusi dewan perundangan dalam Pilihan Raya Umum 1957 dan dua tahun kemudian dilantik Perdana Menteri Singapura yang pertama menggantikan jawatan Ketua Menteri yang dipegang oleh Lim Yew Hock.

Peka dengan situasi politik di Tanah Melayu, Kuan Yew menyo­kong idea Tunku Abdul Rahman un­tuk menggabungkan Tanah­ Me­la­yu, Singapura, Sabah dan Sarawak sebagai satu gagasan. Singapura memperoleh kemerdekaan daripada British dan menjadi sebahagian Malaysia pada 16 September 1963 di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman.

Namun rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 yang menyaksikan 23 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera, menjadi titik perpe­cahan Singapura dari Tanah Melayu apabila ideologi Malaysian Malaysia yang dibawa oleh Kuan Yew, tidak diterima.

Akhirnya tarikh 7 Ogos 1965 menjadi lipatan sejarah baharu buat Singapura apabila Kuan Yew menandatangani perjanjian untuk berpisah dari Malaysia.

Kuan Yew tidak menunggu lama untuk membawa Singa­pura ke pentas antarabangsa apabila menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1965. Singapura bersama Malaysia dan tiga negara jiran lain, Thailand, Fili­pina dan Indonesia kemudiannya menubuhkan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 8 Ogos 1967.

Di bawah pentadbirannya, beliau melancarkan kempen meme­rangi rasuah dan sikap tidak bermoral serta memberi amaran kepada syarikat akhbar agar tidak bertindak subversif.

Singapura di bawah beliau juga berjaya menarik pelaburan asing melalui insentif cukai serta tawaran tenaga mahir dan buruh murah serta memodenkan sistem pengangkutan dan komunikasi.

Rekod Keluaran Negara Kasar (GNP) Singapura dari 1960 hingga 1980 meningkat 15 kali ganda hasil transformasi ekonomi yang dilakukannya sehingga mendapat perhatian dan pujian daripada pemimpin China, Deng Xioaping.

Kuan Yew turut memperkenalkan kempen merancang keluarga “Stop at Two” ekoran bimbang dengan jumlah penduduk berlebihan yang boleh memberi impak buruk kepada ekonomi negara pulau itu. Sebagai insentif, penduduk diberi potongan cukai dan keutamaan pembelian rumah.

Semasa era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia, hubung­an kedua-dua negara jiran ini sering kali dilihat ‘bergelora’. Kedua­-dua pemimpin hebat rantau itu kerap bercanggah pendapat berhubung pelbagai isu termasuk perjanjian tertunggak antara Malaysia-Singapura dan dasar luar republik itu yang pro-Barat selain perjuangan Malaysian Malaysia.

Kuan Yew pernah melabelkan bekas Perdana Menteri Malaysia itu sebagai pemimpin yang degil dan ultra Melayu dan mengharapkan pemimpin lain yang menggantikan Tun Hussein Onn.

Kuan Yew meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura pada 28 November 1990 dan digantikan oleh Goh Chok Tong namun beliau kekal dalam Kabinet Singapura sebagai Menteri Kanan dari 28 November 1990 hingga 12 Ogos 2004.

Pada 12 Ogos 2004, apabila anak lelakinya Lee Hsien Loong mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Kuan Yew dilantik Menteri Mentor dan terus memainkan pe­ranan penting dalam pemba­ngunan negara republik itu sehingga ke akhir hayatnya.