Itu kata-kata penuh ceria ‘anak Melayu’ Norway, Tan Sri Dr. Just Faaland ketika hadir menerima Anugerah Merdeka pada Oktober 2010 di Kuala Lumpur untuk kategori Sumbangan ­Ulung Kepada Rakyat Malaysia.

Kebanyakan anak muda khususnya orang Melayu sekarang mungkin tidak mengenali siapa beliau tetapi mereka banyak terhutang budi kepada Faaland yang menjadi antara cendekia­wan ekonomi dunia yang memperjuangkan nasib orang Me­layu sejak 1968.

Faaland yang dilahirkan di Tromso, Norway pada 25 Januari 1922 pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kumpulan Penasihat Universiti Harvard di Malaysia dari 1968 sehingga 1970 dan menjadi antara individu pelopor Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Amat menyedihkan bila ­menerima khabar arkitek penggubal DEB dan ekonomi bumiputera ini telah meninggal du­nia pada usia 95 tahun di Norway, Jumaat lalu.

Menurut anaknya, Jon Faa­land, bapanya sempat membaca buku Rancangan Malaysia Ke-10 sehari sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk me­nerima Anugerah Merdeka 2010.

“Selepas 40 tahun beliau berkecimpung secara profesional dalam bidang ekonomi serta perkembangan di Malaysia, kami sekeluarga kadang-kala terfikir adakah ayah masih lagi seorang berketurunan Norway ataupun orang Malaysia.

“Keserasian ayah dengan Malaysia dapat dilihat apabila selalu berinteraksi dengan ahli-ahli ekonomi dari negara ini,” jelas anaknya itu dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia sebelum ini.

Beliau mula menganalisis keadaan ekonomi Malaysia serta struktur susunan masyarakat yang dilihat tidak memberi ­kelebihan atau keadilan kepada kaum majoriti negara ini sebaik sahaja menjejak kaki di Kuala Lumpur pada 1968.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, beliau membantu Majlis Operasi Kebangsaan yang dipimpin Perdana Menteri ketika Itu, Tun Abdul Razak Hussein dan bekerja rapat dengan kerajaan serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk meningkatkan taraf hidup orang miskin dan terpinggir.

“Saya hanya tahu sedikit me­ngenai Malaysia. Saya tahu sejarah peperangan di negara ini dan betapa pentingnya eksport bijih timah serta getah untuk keutuhan ekonomi Malaysia ketika itu.

“Malaysia telah melangkah jauh dalam mengejar objektif-objektif DEB. Pengalaman kejayaan negara ini menjadi inspirasi dan satu model bagi negara-negara lain yang mempunyai rakyat pelbagai etnik. Namun, masih banyak perlu dilakukan untuk membina ‘Malaysia Bersatu’ dalam ekonomi kehidupan, mencari identiti bersama dan mengejar cita-cita negara,” kata Faaland pada 2010.

Anak kepada Josef Faaland and Elna f. Hansen ini bukan calang-calang orang kerana beliau menjadi antara penerima pingat Satria daripada the Royal Norwegian Order of St. Olav pada 1982, warga Norway pertama menerima anugerah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri daripada Malaysia pada 2002 malah diberikan anugerah kedoktoran daripada Universiti Bergen, Norway dan Universiti Malaya.

Selain menjadi penasihat ekonomi kepada Malaysia (1968-1970), beliau juga pernah menjadi penasihat ekonomi di Pakistan (1957-1960) dan Bangladesh (1972-1974). Memulakan alam persekolahan di pekan di Stabekk, Faaland melanjutkan pengajian tinggi di Sekolah Perdagangan Oslo, Universiti Oslo, Norway selepas tamat sekolah menengah pada 1940. Pengajiannya di universiti bagaimanapun terbantut seketika sehinggakan pernah dipenjarakan dalam satu operasi pihak berkuasa terhadap pelajar pada November 1943.

Ketika Perang Dunia Kedua, Faaland terselamat ketika penjajahan Jerman di dalam kem tahanan Sennheim dan kem Buchenwald. Selepas perang tamat, beliau mengahwini rakan sekelas dari Stabekk, Judith Lockert pada 1945 dan mereka dikurniakan seorang anak ­perempuan pada 1946 serta seorang anak lelaki pada 1949.

Faaland melanjutkan pelajaran di Oxford tidak lama selepas berkahwin sebelum mula bertugas di Institut Chr. Michelsen (CMI) bermula 1952. Beliau juga menjadi antara anak didik Profesor Ragnar Frisch yang menjadi penerima bersama Hadiah Nobel bidang ekonomi pada 1969.

Walaupun menjadi penyelidik pembangunan secara tetap di CMI sejak 1952, Faaland turut menjawat banyak jawatan lain dalam beberapa institusi antarabangsa termasuk Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Persida­ngan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Bank Pembangunan Asia.

Pada Oktober 2010, Faa­land dipetik menyarankan agar kerajaan meneruskan sema­ngat DEB dalam Model Baharu Ekonomi (MBE), selari dengan aspirasi kerajaan memastikan peluang adil kepada semua kaum di negara ini. DEB tidak dipersetujui sebulat suara ketika dicadangkan termasuk dalam kalangan ahli Kumpulan Penasihat Universiti Harvard sendiri tetapi Faaland berjaya meyakinkan bahawa itu adalah langkah terbaik untuk maju ke depan.

Perginya mendiang Faaland kehilangan besar bukan sahaja untuk orang Melayu dan Malaysia malahan dunia yang kehilangan antara cendekiawan ekonomi paling tersohor.