Bro hairan dengan perempuan seumpama ini. Paling menyampah yang buka tudung tu beri macam-macam alasan bagi `menghalalkan’ tindakannya. Okaylah dia yang sendiri nak pakai tudung lepas tu dia sendiri yang menanggalkannya, lantaklah! Tapi tak payah bagi alasan.

Dunia tak kiamatpun dan tiada siapapun peduli dengan perempuan yang berperangai macam tu. Sendiri buat sendiri tanggung. Kalau dah rasa diri boleh menjadi lebih baik dengan tidak bertudung, silakan saja, namun jangan buat perangai bukan-bukan lepas tu tular dalam laman sosial.

`Penyakit’ perempuan suka buat perangai bukan-bukan, lepas tu muatnaik dalam laman sosial bukan isu baharu, dah lama dah. Cuma yang Bro hairan apa sebenarnya mereka nak buktikan? Nak tunjuk kata mereka berani, siapa nak hairan!

Tetapi Bro lebih beranggapan perempuan macam ini ada ada masalah krisis identiti dan kurang kasih sayang. Malah jauh daripada itu nak jadi popular melalui cara yang salah. Bro tak kisah kalau ia tak ada kaitan dengan hukum hakam agama, tetapi kalau sudah ada kaitan dengan agama jagalah sikit mulut tu, jangan jadi `mulut puaka’.

Tindakan berhujah dengan menggunakan logik akal dalam hal-hal berkaitan agama ini hanya menampakkan kebodohan kita sendiri. Semua orang ada kelemahan, semua orang ada buat kesilapan tetapi janganlah tonjol sangat kejahilan kita tu, simpan-simpanlah sikit.

Bro nak nasihatkan kepada perempuan yang ada masalah krisis identiti ini, berhati-hatilah dalam tindakan dan kata-kata. Kalau kalian nak tunggang terbalik, apa orang lain peduli, tetapi jangan menjemput orang lain turut terpalit dengan dosa.

Maksud Bro ialah apabila orang tengok kita buat perangai bukan-bukan orang tegur dan mungkin ada antaranya menggunakan bahasa tak sopan, tak pasal-pasal dapat dosa. Oleh itu janganlah berperangai macam `puaka’, mulut pun berpuaka juga. Banyak-banyaklah ingatkan Tuhan.

Kena ingatlah apa juga yang kita lakukan biarpun sebesar zarah sekalipun pasti ada pembalasannya. Jadi tak payahlah bangga sangat dengan perangai pelik dan sikap buruk yang kita ada.

Bro tak kata semua perempuan sama, tetapi yang dok merosakkan imej perempuan ialah perempuan yang tak tahu menjaga tatasusila dan adab sopan sebagai seorang perempuan. Bro percaya ramai perempuan pun rimas dengan perangai sesetengah perempuan yang tak senonoh ini.

Oleh itu, Bro mintalah perempuan yang nak cari publisiti murahan atau nak tarik perhatian melalui perangai buruk, rajin-rajinlah bermuhasabah diri. Kalau tak pandai nak duduk, berdiri saja depan cermin tengoklah diri kita dari atas kepala hingga ke hujung kaki. Fikirkanlah adakah apa yang kita lakukan betul atau tidak, salah atau tidak, benar atau tidak.

Bro sentiasa percaya dalam sudut hati masing-masing mengakui apa yang mereka lakukan tidak betul tetapi disebabkan nafsu dan `pendek akal’ maka mereka rasa seronok pula terjebak dalam keadaan dilihat mengalami masalah krisis identiti.

Akhir kata, sekali lagi Bro nak nasihatkan perempuan `berperangai puaka’, janganlah ikut nafsu dalam perbuatan kita kerana lambat laun ia akan memakan diri. Bro doakan mereka akan diberi hidayah supaya tidak terus melakukan perkara-perkara yang hanya mendedahkan mereka sebenarnya memang ada masalah sehingga menyebabkan orang lain menyampah. Jumpa lagi.

Bro - Sentiasa tengok cermin.