Sebenarnya Bro dah banyak kali baca dalam laman-laman sosial bagaimana sesetengah perempuan komen sesuatu perkara ikut suka hati sahaja sehingga kadang kala terserah kejahilan mereka. Dalam hal lain, Bro rasa okey tetapi dalam bab melibatkan agama, janganlah emosi tak tentu hala.

Perempuan terlibat kena berhemah, fikir dulu nak komen atau nak cakap apa supaya orang tak kutuk kita. Tetapi biasalah perempuan, kalau nafsu satu badan, segala-galanya akan terpacul daripada mulut, akal entah tercampak ke mana! Sepatut­nya, kalau mereka tidak mahu sesuatu yang baik, diam sahaja, tidak payah dok bagi alasan tak munasabah yang budak sekolah rendahpun akan ketawa.

Bila bagi alasan tu pula penuh dengan ayat-ayat emosi atau dalam bahasa kasar, ‘lantak akulah, kau orang menyibuk, apa hal’, inilah perempuan. Sepatutnya bila ada isu-isu berkaitan diri kita tidak payahlah emosi, guna bahasa yang baik dan sopan, tak rugipun.’ Tak ada faedahpun guna bahasa yang sudahlah jelas-jelas terkeluar daripada tata susila seorang perempuan.

Paling Bro bimbang kalau perkara itu ada kaitan dengan agama, kena jagalah sikit bahasa dan hujah dangkal kita tu. Bila dah terkeluar ayat-ayat `puaka’ tersebut, bukan kata maruah perempuan itu dipertikaikan malah orang mula nak jatuh hukum.

Yang seronoknya bila itu terjadi, pandai pula puak perempuan kata, jangan cepat menjatuh hukum, habis tu yang perempuan pi cakap benda pelik-pelik, apa hal? Bro tak kisahpun, kalau seseorang perempuan tu nak terjun bangunan ke atau tak nak pakai apapun kat tengah-tengah pekan, itu hak dia, tapi mulut kena jaga la.

Bagaimanapun seperti biasa Bro nak tegaskan, Bro bukannya nak jatuh hukum, cuma nak nasihatkan semua perempuan, jagalah tutur kata atau dalam ayat lain, jagalah mulut tu sikit. Tak semua perkara kita boleh anggap itu soal peribadi, ada perkara yang menyentuh ramai orang terutama jika itu melibatkan soal hukum hakam agama.

Bro bagi nasihat secara ikhlas sebab Bro kasihan kepada perempuan-perempuan seumpama itu. Tak nak buat tak apa, tiada masalah, Bro pun ramai juga kawan-kawan perempuan macam tu tetapi mereka sentiasa jaga tutur kata. Yang masalahnya dah tak nak buat lepas tu bagi komen `tak cerdik’ pula.

Kena ingatlah sekarang zaman teknologi maklumat, laman sosial dah jadi `senjata’ sama ada untuk menyebarkan kebaikkan atau keburukan, walaupun Bro tahu ramai perempuan lepas perasaan dalam laman itu, tak apalah, itu memang sudah jadi perangai semula jadi mereka, lepaskan perasaan kat mana yang sempat, biarpun dalam tandas sekalipun, namun berhati-hatilah.

Bro kasihan sebenarnya kepada perempuan yang tak pandai jaga mulut ni, Bro takut esok mereka sakit sebab hati tak bersih. Bila dah emosional mulalah segalanya terlupa, kalau gajah ada depan matapun mereka akan ‘sembur’ juga. Oleh itu belajar-belajarlah jaga mulut dan perbuatan. Nak tulis dalam laman sosial tu pilihlah ayat yang betul dan sopan. Silakan sahaja pertahankan pendirian dan hujah masing-masing tetapi jaga tata susila seorang perempuan. Ingatlah perempuan penuh kelembutan, perempuan tetap perempuan tidak boleh jadi lelaki. Okeylah jumpa lagi

Bro - jaga mulut dan hati.