Akibatnya, banyak orang Syria terkandas termasuk pelarian yang telah memperoleh visa untuk memasuki AS, malah ada antara mereka terpaksa berpatah balik ke Damsyik untuk menemui nasib berkemungkinan mengerikan.

Pada masa ini, arahan Trump itu telah digantung oleh Hakim Persekutuan AS kerana ia bersifat diskriminasi dan bercanggah dengan perlembagaan. Diskriminasi kerana larangan itu mempunyai sasaran mengikut anutan agama. Rayuan presiden ditolak mahkamah. Trump berang kerana baginya, arahan itu semata-mata untuk menghalang pengganas menyerang AS.

Sebelum ini pihak Trump ada menyatakan bahawa orang Kristian dari Syria mungkin dibenarkan masuk. Langkah ini lebih menampakkan diskriminasi. Namun, Trump beranggapan orang yang menjadi pengganas adalah umat Islam, bukannya Kristian.

Tetapi kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar Assad tidak menunjukkan reaksi. Berbeza dengan Iran yang mengumumkan bahawa mereka akan melakukan tidak balas dengan menghalang orang AS masuk. Selain Syria dan Iran, negara-negara yang dikenakan tindakan larangan memasuki AS ialah Iraq, Yaman, Sudan, Somalia dan Libya.

Umumnya, orang yang lari dari Syria adalah atas tiga sebab. Mereka sama ada lari daripada suasana perang, atau melepaskan diri daripada Daesh, atau keluar daripada kekejaman rejim Assad. Atau ketiga-tiganya sekali. Golongan yang menentang kerajaan Assad ini mendapat sokongan AS ketika kuasa besar itu dipimpin Presiden Barack Obama. Maknanya AS adalah musuh Syria dan orang ini melarikan diri daripada kerajaan negaranya.

Sebagai golongan pro-Washington tentulah mereka mahu melarikan diri ke AS atau sekutu-sekutunya seperti Turki, Jerman dan Perancis. Apabila Trump menyekat mereka daripada lari dari AS, maka ia merupakan suatu pengkhianatan.

Jika mereka kembali juga ke Syria, pelarian ini boleh menghadapi tindakan kejam daripada rejim Assad. Setelah Damsyik kembali menguasai Aleppo, terdapat laporan golongan penentang Assad yang dianggap pemberontak dibunuh begitu saja.

Sememangnya terdapat orang Syria yang lari se­mata-mata kerana hendak menyelamatkan diri dari­pada peperangan. Ini ke­rana bukan saja Daesh dan rejim Assad yang ke­jam, pihak pemberontak didokong Barat dilaporkan me­lakukan kekejaman, wa­laupun tidak seteruk dila­kukan rejim Assad, atau tidak sedahsyat Daesh.

Keseluruhan daripada mereka adalah orang Islam, Arab dan Syria. Ia adalah perang saudara. Apabila pintu AS tertutup, maka mereka tidak ada jalan lain kecuali ke Jerman. Kalau tidak Jerman, maka mereka terpaksa pergi ke Turki.

Apa yang Trump ada sebut mengenai perkara yang berkaitan dengan Syria ialah azamnya untuk mengalahkan pengganas sepenuhnya. Walaupun dapat difahami bahawa golongan pengganas yang dimaksudkan itu ialah Daesh dan al-Qaeda. Tetapi takrifan kerajaan AS itu lebih luas meliputi Hamas dan juga Ikhwanul Muslimin.

Potensi

Sedangkan takrifan mudah bagi istilah pengganas atau teroris adalah mereka yang melakukan serangan cedera atau maut terhadap orang awam. Jika ikut istilah ini, sesebuah kerajaan yang juga melakukan serangan terhadap orang awam seperti Israel juga boleh dikira sebagai pengganas. Begitu juga Syria atau kuasa-kuasa besar yang melakukan perbuatan demikian.

Bagaimanapun jika dilihat pandangan dunia Trump, melalui arahan eksekutifnya itu, maka baginya orang seagama dengan pengganas adalah teroris juga. Maka bukan saja Daesh, al-Qaeda, Hamas, Ikhwanul Muslimin dan kumpulan Islam Syria adalah pengganas tetapi seluruh umat Islam juga dianggap teroris kerana potensinya.

Tetapi dalam pada itu apabila ada orang menyatakan pada Trump bahawa Vladimir Putin adalah pembunuh kerana dasar-dasar pemimpin Rusia itu di Ukraine, Presiden AS itu menjawab negaranya juga melakukan perbuatan sama. Walaupun tujuan Trump adalah untuk membela Putin, tetapi ia mendedahkan kuasa besar juga mengakibat kematian orang awam.

Maka dalam usaha membanteras pengganas, Trump telah meluluskan operasi tenteranya yang pertama iaitu di Yaman. Ada laporan menyatakan bahawa pihak tentera seperti tidak setuju dengan serangan. Ternyata serangan itu gagal dan mengakibatkan kematian orang awam.

Ada penganalisis yang melihat dari sudut ketenteraan bahawa usaha membanteras Daesh dan al-Qaeda memakan proses yang perlahan tetapi AS berada dalam laluan menuju kejayaan. Walaupun Presiden Obama gagal dalam usaha pendemokrasian dunia Arab melalui Arab Spring sejak lapan tahun lalu, tetapi usaha menentang Daesh berjalan dengan baik terutama pada tahun akhir pentadbirannya iaitu 2016.

Obama mengakhiri kepresidenannya dengan banyak wilayah Daesh dapat dikuasai kembali oleh kerajaan Iraq dan Syria. Apa yang pakar ketenteraan bimbang ialah cara Trump membuat keputusan boleh memberi kelebihan pada Daesh dan al-Qaeda.

Hubungan rapat antara Trump dan Putin mencorak kembali keadaan politik di Syria. Harapan Obama dan Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan untuk menjatuhkan Assad sudah berkecai. Erdogan lebih menumpukan pada usaha untuk melindungi Turki daripada ancaman Daesh dan Kurdis.

AS di bawah Trump pula lebih tertumpu untuk menumpaskan bukan saja pengganas Daesh dan al-Qaeda tetapi juga kumpulan Islam di Syria. Maka Assad terselamat dan gerakan pro-demokrasi jelas telah dikhianati oleh AS. Lebih-lebih lagi apabila Trump menghalang masuk orang Syria.

Sungguhpun Trump dan Putin akan berbaik-baik dengan Assad tetapi Presiden AS itu bersikap memusuhi Iran. Beliau bercadang hendak memansuhkan perjanjian Teheran-Washington ketika AS diperintah Obama. Tentera AS berada di keliling Iran sama ada di Arab Saudi, Iraq dan Turki.

Banyak pihak bimbang kemungkinan boleh berlaku pertempuran antara AS dan Iran di bawah Trump. Namun begitu, Rusia, Syria dan Iraq mempunyai hubungan baik dengan Iran. Pihak yang mahu AS mengenakan tindakan keras terhadap Iran ialah Israel. Trump pula berbaik dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Apa yang jelas, Trump akan memporak-perandakan tata keseimbangan Timur Tengah yang selama ini dipelihara oleh presiden-presiden Amerika terdahulu seperti Obama, George W Bush, Bill Clinton, George H.W. Bush dan Ronald Reagan.