Sebab itulah Allah memberikan kelebihan kepada manusia dengan anugerah akal untuk membolehkan manusia berfikir, menerima yang baik dan menolak yang buruk. Islam menggalakkan umatnya berfikir, sebab itulah yang membezakan manusia jernih dan manusia keladak adalah bagaimana mereka menggunakan akal untuk berfikir – sama ada mahu hidup dalam dunia yang bertopengkan haiwan atau manusia yang hidup mendapat keredaan Tuhan.

Dalam surah al-Mukminun ayat 80 Allah berfirman yang bermaksud, “Dialah yang menghidupkan dan mematikan; dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir? Jelaslah bahawa Allah menyuruh hamba-Nya berfikir tentang kejadian alam dan Yang Maha Kuasa.

Memang fitrah hidup manusia, selagi bernafas manusia tidak dapat lari daripada berfikir. Maka itu, ahli psikologi dan pakar kaunseling khususnya dari Barat pun, membuat banyak kajian tentang cara manusia berfikir, hingga muncul pelbagai teori dan konsep ‘gaya berfikir’ atau ‘gaya pemikiran’. Ahli psikologi Barat, Robert Sternberg berpendapat, ‘gaya berfikir’ atau ‘gaya pemikiran’ adalah cara yang paling kita gemari apabila hendak menggunakan kepintaran dan pengetahuan bagi menyelesaikan masalah atau melaksanakan sesuatu tugasan.

Keupayaan setiap orang untuk mengubah gaya berfikir sangat berbeza bergantung pada sikap. Ada orang yang sama sekali tidak boleh berubah, walaupun situasi di sekelilingnya sudah berubah. Hal ini berlaku kerana kita terlalu taksub dan selesa dengan cara berfikir setiap orang hingga kita enggan mencuba cara berfikir yang lain.

Dalam teori pemikiran Barat terlalu banyak gaya pemikiran yang wujud di dunia ini. Antara gaya pemikiran itu termasuklah pemikiran kreatif, pemikiran analitikal, pemikiran positif, pemikiran negatif, pemikiran objektif, pemikiran proaktif, pemikiran konstruktif, pemikiran emotif, pemikiran projektif, pemikiran pragmatik, pemikiran nilai, pemikiran sistematik, pemikiran historis, pemikiran intuitif, pemikiran hipotetikal dan pemikiran reaktif.

Setiap gaya berfikir mempunyai keistimewaan tersendiri, dan tidak pernah ada gaya yang ‘betul’ atau ‘salah’. Gaya pemikiran itu penting mengikut kesesuaian konteks. Tidak ada gaya berfikir yang boleh dianggap lebih baik daripada yang lain, kerana setiap satu mempunyai fungsi, tujuan, objektif, kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Seseorang itu boleh memilih gaya atau konsep berfikir tertentu atau memilih untuk bersikap tertentu berdasarkan gaya berfikir yang menjadi pilihan. Bahkan ketika bertindak atas sesuatu masalah kita boleh menggunakan lebih daripada satu gaya pemikiran yang menjadi pilihan kita.

Walau bagaimanapun, dalam membuat pilihan perlu kebijaksanaan dan kewarasan, dan fikirlah betul-betul kerana kesilapan berfikir akan memberikan kesan kepada hasil kehidupan kita. Dalam gaya atau konsep pemikiran “Reset Minda” diperkenalkan pemikiran yang menekankan untuk, “berfikir secara positif – akan menghasilkan emosi yang positif – emosi yang positif menghasilkan tindakan yang positif – tindakan yang positif akan menghasilkan hasil kehidupan yang positif.

Tetapi, sebaliknya jika kita berfikir secara negatif dan terlalu menggunakan perkataan negatif dalam kehidupan kita, seperti “kita tak berguna”, “kita tak boleh”, “kita bodoh” dan seumpamanya, lama-kelamaan kata-kata itu akan tersimpan dalam “minda separa sedar”.

Tuduhan

Walaupun tuduhan berkenaan tidak benar, tetapi diucapkan berulang kali, tuduhan itu akan tersimpan dalam “minda separa sedar” secara automatik bersama-sama perasaan marah, sedih, dan perasaan negatif lain yang kita rasai ketika itu. Pada waktu lain, apabila orang lain menggunakan kata-kata yang sama, perasaan yang sama mungkin akan menghantui diri kita. Oleh sebab kita didorong oleh perasaan negatif, kita juga cenderung untuk bertindak balas secara negatif.

Namun begitu, dalam pemikiran positif dan pemikiran negatif yang dikemukakan oleh Peiffer, dalam Positive Thingking (1989), berfikir positif bermaksud melihat kebaikan, kegunaan, keuntungan dan faedah kepada apa-apa sahaja. Melihat kepada keindahan, kesuburan dan kejayaan, dikenali juga sebagai gaya berfikir yang membina kerana kita sentiasa mahu melihat perkembangan yang menggalakkan, berusaha memperbaiki kelemahan dan memberikan fokus kepada apa-apa yang kita kejar dan harapkan pada masa hadapan, tanpa memikirkan masa lalu yang tidak memberikan apa-apa makna dan faedah untuk difikirkan lagi.

Pemikiran negatif pula bererti melihat kepada masalah, keburukan, bahaya dan risiko serta orang yang negatif hanya nampak keburukan, kelemahan, kesusahan dan kesulitan, kegagalan dan kerugian. Bagi Peiffer, walaupun buruknya situasi dan hasil pemikiran negatif ini, tetapi gaya pemikiran ini masih berguna dan boleh membantu dan penting kerana pemikiran negatif ini membantu mengimbangi gaya berfikir positif yang sentiasa berasa selesa dan tidak menyedari ada kemungkinan kesusahan yang bakal menerjahnya.

Gaya berfikiran negatif dapat membantu meramalkan kesulitan, bahaya, kerugian, kegagalan, dan risiko yang mungkin berlaku. Bagi Peiffer Pemikiran negatif ini juga, menyediakan pelan kecemasan dan menghindari masalah yang dijangka akan berlaku. Malah, gaya pemikiran ini juga membantu memperbaiki dan menghujahkan idea yang sedia ada supaya menjadi lebih bernas, tetapi pada masa yang sama memang tidak boleh digunakan gaya pemikiran negatif ini secara berleluasa kerana akan membunuh idea baharu yang sedang bertunas.

Pandangan Peiffer ini bertentangan dengan gaya atau konsep pemikiran “Reset Minda” yang memfokuskan kepada matlamat yang hendak digapai. Iaitu berfikir mengenai hal yang positif sahaja, kita hanya membenarkan pemikiran dan perasaan yang positif sahaja yang ada dalam minda dan hati kita.

Segala pemikiran dan perasaan negatif hendaklah dibuang jauh-jauh dari minda dan hati kita. Hal ini amat penting kerana fikiran dan perasaan negatif akan menghasilkan emosi negatif, emosi negatif akan menghasilkan tindakan negatif, tindakan negatif akan memberikan hasil kehidupan yang negatif. Pemikiran “Reset Minda” bertunjangkan ajaran Islam.

Dalam Islam, kita mempercayai rukun iman yang enam. Satu daripadanya ialah, percaya kepada qada dan qadar Allah, iaitu segala perkara yang baik dan perkara yang buruk semuanya datang daripada Allah. Tidak ada satu pun yang datang daripada Allah membawa keburukan (negatif) kepada hamba-Nya, biarpun dari ‘mata fizikal’ jelas nampak kenegatifannya tetapi dari ‘mata hati’ (keimanan) ada banyak keindahan dan kemanisannya di sebalik kejadian dan peristiwa negatif itu, (Buruk di mata kita tetapi tidak buruk di ‘mata’ Allah).

Tetapi sebagai hamba-Nya kita hendaklah berusaha mengubah nasib kehidupan kita daripada nasib dan kehidupan yang buruk kepada nasib dan kehidupan yang baik, dengan cara “Reset Minda”. Ubahlah cara kita melihat sesuatu kejadian atau peristiwa yang kita lalui dalam kehidupan kita – pandanglah dengan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’ dan positifkan fikiran dan perasaan kita.

Hal ini amat penting kerana berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran hamba-Nya. Jika baik fikirannya, maka baiklah jadinya, jika buruk fikirannya, maka buruklah jadinya”. Allah juga berfirman yang bermaksud, “Aku seperti yang hamba-Ku sangkakan. Jika engkau berprasangka baik, baiklah jadinya dan jika engkau berprasangka buruk, buruklah jadinya. Maka itu, bersangka baiklah dengan Allah, fikirkan yang positif sahaja, buang yang negatif, “Reset Minda”, dan ubah cara kita melihat sesuatu yang negatif kepada positif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.