Untuk tujuan itu, masyarakat Islam digalak memperluaskan aktiviti sedekah dan berwakaf un­tuk kemaslahatan seluruh u­mat Islam. Misalnya menyumbang dana wakaf dan sedekah kepada pertubuhan bukan kerajaan dipercayai bagi menyalurkan bantuan kepada masyarakat Islam di seluruh dunia yang diuji oleh Allah SWT dengan musibah kebuluran, peperangan dan pengusiran daripada kampung halaman sendiri. Ini termasuklah menyumbang kepada tabung untuk membantu masyarakat Islam tertindas di Rohingya, pelarian perang Syria dan Palestin serta membantu masyarakat Islam minoriti seperti di Kemboja dan Vietnam yang masih meraih simpati dan bantuan semua.

Sungguhpun begitu itu, usah dilupakan golongan memerlukan di kariah setempat yang kemungkinan turut memerlukan bantuan kewangan dan bantuan lain diperlukan dari semasa ke semasa. Dalam hal ini inisiatif dilakukan pihak masjid dan surau yang melancarkan tabung jiran prihatin boleh dicontohi supaya masyarakat cakna dan mengambil tahu apa yang berlaku di kejiranan mereka. Selain itu madrasah, sekolah-sekolah tahfiz, rumah kebajikan dan rumah ke­nangan di seluruh negara turut memerlukan bantuan para dermawan yang budiman.

Nikmat beroleh rezeki tambahan seperti bonus kepada penjawat awam, pesara, pegawai masjid dan ketua kampung selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bolehlah disimpan sedikit untuk beribadah pada bulan Ramadan. Ini kerana ramai yang mengambil kesempatan bulan Ramadan untuk melakukan kebajikan. Malah bagi golongan sibuk dengan pekerjaan seharian kemungkinan jarang dapat berjemaah dan solat tarawih bolehlah memberi makan orang berbuka puasa sehingga turut beroleh pahala berlipat kali ganda.

Selain itu, jika ada lebihan pendapatan kaum Muslimin yang belum menunaikan fardu haji, digalakkan untuk menambah jumlah tabungan di Tabung Haji. Ini penting bagi mengelak peluang ke Tanah Suci tergendala akibat masalah kewangan yang sepatutnya boleh diatasi.

Masyarakat Islam juga boleh mula menabung sejak awal tahun untuk melakukan ibadah korban yang disyariatkan. Dengan cara ini ibadah korban boleh dilakukan setiap tahun secara konsisten sama ada buat diri sendiri dan anak-anak di bawah tanggungan. Untuk itu juga bagi yang sudah biasa me­nyembelih satu bahagian lembu bolehlah meningkatkan kebajikan dengan menabung lebih banyak untuk berkorban menyembelih seekor kambing mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada itu usah dilupakan untuk menambah potongan zakat pendapatan dan zakat wang simpanan yang kemungkinan bertambah dengan sebab kenaikan gaji dan pendapatan tahunan. Ini penting supaya golongan asnaf turut merasa nikmat tambahan rezeki golongan berkewajipan membayar zakat.

Masyarakat Islam turut di­ingatkan supaya tidak kedekut dan bakhil dengan rezeki pemberian Ilahi. Belanjakan dan infakkan harta ke jalan yang diredai Allah SWT kerana Allah suka melihat rezeki pemberiannya digunakan sebagaimana hadis riwayat Imam al-Tarmizi tanpa melupakan golongan memerlukan.

Allah SWT berfirman maksud­nya: “Dan infakkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata (menyesali), “Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian) ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang yang soleh. Dan Allah tidak akan me­nunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Munafikun ayat 10-11).

Apapun yang penting segala yang dilakukan tidak sampai menyusahkan diri sendiri dan membiarkan anak dan keluarga terabai. Ibarat kata pepatah ‘kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan’. Kemungkinan terdapat yang gagal memahami konsep infak sebenar sehingga beria-ia menginfakkan hartanya untuk kepentingan jemaah dan badan tertentu tetapi keluarga dan ibu bapa sendiri tidak dipedulikan. Untuk tujuan itu juga kaum Muslimin bolehlah mengkhususkan pemberian dan sumbangan kewangan kepada keluarga dan sa­nak saudara terdekat kerana mereka memiliki hak golongan miskin yang perlu dibantu juga hak kerabat mempunyai pertalian darah.

Perlu juga diingatkan betapa nikmat rezeki, gaji dan hasil pendapatan diusahakan bukanlah untuk berbelanja melebihi ke­perluan sehingga boros dan berlebih-lebihan. Lebih buruk lagi jika turut digunakan untuk tujuan dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan Ilahi. Pendekatan wasatiyyah dalam berbelanja adalah yang terbaik selain segala sumbangan berbentuk kewangan yang disertai niat ikhlas sahaja yang akan diterima oleh-Nya.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi 
Pe­­­­­ng­ajian Islam Kontemporari, Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.