Semua ini adalah contoh pelanggaran peraturan yang biasa berlaku. Keadaan sebegini boleh dilihat di mana-mana. Mereka yang melakukannya pula bukan sahaja tidak menunjukkan rasa bersalah, tetapi turut tiada rasa malu terhadap perilaku tidak sopan tersebut. Ini menimbulkan persoalan sama ada melanggar peraturan itu satu perkara mudah atau adakah perbuatan itu menimbulkan rasa seronok?

Hakikatnya, kehidupan manusia penuh dengan peraturan. Keadaan ini telah membentuk sikap manusia yang berbeza-beza terhadap peraturan. Ada yang tekun mematuhi peraturan pada setiap masa. Orang sebegini kadangkala dipandang sinis dan dianggap sebagai "lurus bendul." Anggapan sebegini sebenarnya bukanlah anggapan positif tetapi lebih kepada anggapan berbentuk ejekan.

Ada pula yang bersikap acuh tak acuh atau sambil lewa terhadap peraturan. Insan sebegini mematuhi peraturan "mengikut mood" atau dengan kata lain, mematuhi peraturan bila perlu sahaja. Misalnya, jika ada polis, barulah dia mengikut peraturan. Jika tidak, semua peraturan akan dilanggar.

Tidak ketinggalan juga mereka yang "ketegar" terhadap peraturan. Bagi orang sebegini, peraturan tidak relevan atau tidak sesuai mengikut prinsip hidupnya. Oleh itu, asal sahaja ada peraturan, akan dilanggarnya. Bagi individu ini, melanggar peraturan adalah satu kemegahan.

Secara umumnya, ada peraturan yang bertulis dan ada juga yang tidak bertulis. Peraturan bertulis merujuk kepada peraturan-peraturan yang disepakati ahli masyarakat dan jika tidak dipatuhi, hukuman tertentu akan dikenakan. Contoh peraturan bertulis adalah berkaitan lalu lintas, peraturan kerja di pejabat, undang-undang dalam negara, hukum-hukum agama dan sebagainya.

Peraturan tidak bertulis pula lebih umum sifatnya. Peraturan jenis ini berkait rapat dengan adat tradisi atau budaya masyarakat setempat. Bagi peraturan jenis ini, jika berlaku ketidakpatuhan, hukumannya lebih berbentuk hukuman sosial. Peraturan tidak bertulis ini amat berkaitan dengan hal-hal adab seperti adab dalam hubungan kemasyarakatan seperti hubungan kejiranan, suami-isteri, pelajar-guru ataupun adab tingkahlaku seperti adab makan, adab menimba ilmu dan sebagainya.

Apakah pula tujuan peraturan? Matlamat peraturan ada kaitannya dengan konsep maslahah. Amnya, maslahah membawa maksud "mencari manfaat dan menolak kerosakan atau kebinasaan." Dalam pandangan hidup Islam, maslahah membawa makna yang lebih besar iaitu "mencari manfaat dan menolak kerosakan seperti yang ditentukan oleh Yang Maha Kuasa."

Ini bermakna kebaikan yang dicari dan keburukan yang cuba dielakkan hendaklah selari dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT. Konsep maslahah memberi keutamaan kepada masyarakat dengan kata lain, keutamaan diberikan kepada masyarakat dan bukannya individu.

Oleh itu, mematuhi peraturan bertujuan membawa manfaat dan mengelakkan kebinasaan. Sebagai contoh, orang yang tidak merokok akan memberi manfaat kesihatan kepada dirinya dan dapat pula menghindarikan diri daripada keburukan iaitu penyakit. Bukan sahaja kepada diri sendiri, kesihatan orang lain (ahli masyarakat) dapat dipelihara. Malah, udara turut terjamin kebersihannya.

Ini bermakna peraturan mempunyai matlamat yang murni. Malah sebenarnya manusia amat memerlukan peraturan. Al-Quran sendiri menunjukkan pelbagai bentuk peraturan (hukum) yang perlu dipatuhi oleh manusia misalnya berkaitan minum arak, zina, berhutang, solat dan sebagainya. Peraturan atau hukum ini dibentuk oleh Allah SWT bukan dengan matlamat yang sia-sia. Paling utama adalah untuk menyusun masyarakat agar menjadi masyarakat yang bertamadun dan hidup dalam keharmonian.

Dengan itu, ungkapan bahawa "pe­raturan dicipta untuk dilanggar" adalah tidak tepat sama sekali. Ungkapan ini amat sering disebut dan kadangkala dinyatakan dengan penuh bangga. Jika merujuk kepada segala peraturan yang dicipta Allah SWT itu, adakah ini bermakna Allah SWT mencipta segala peraturan tersebut semata-mata untuk manusia mengingkari atau melanggarnya?

Segala peraturan itu dicipta Allah SWT kerana Dia Maha Mengetahui bahawa manusia memerlukan peraturan tersebut. Tanpa peraturan, kehidupan manusia samalah dengan kehidupan di alam haiwan. Jadi, adakah kita mahu merendahkan diri sehingga ke tahap itu?

Oleh itu, peraturan sepatutnya dihormati dan tidak diingkari. Setiap seorang daripada kita mempunyai tanggungjawab terhadap peraturan itu.

Malah, mematuhi peraturan memerlukan pengorbanan tertentu. Dalam hal ini, kita perlu berkorban untuk tidak melakukan sesuatu yang mungkin amat kita se­nangi, demi kebaikan diri mahupun orang lain.

Sesuatu peraturan yang diwujudkan perlu dipantau dan dikuatkuasakan. Oleh itu, penguat kuasa amat diperlukan bagi memastikan peraturan dipatuhi.

Walau bagaimanapun, tugas penguat kuasa boleh diminimumkan jika ahli masyarakat dengan sendirinya mempunyai kekuatan dalaman atau kekuatan diri untuk mematuhi peraturan.

Kekuatan dalaman inilah yang nampaknya tidak melata dalam masyarakat sehinggakan segala peraturan yang ada dilanggar tanpa rasa gundah. Dalam hal ini, pendidikan, latihan diri, contoh teladan dan kata nasihat diperlukan untuk membentuk kekuatan dalaman atau kekuatan diri agar kita menjadi insan yang hormat dan patuh kepada peraturan.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).