Menganggap kegiatan kartel ini sebagai satu `perancangan tidak sihat’ yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada kerajaan jika terus dibiarkan, beliau menyeru agar kerajaan segera mewujudkan satu mekanisme untuk menangani masalah ini.

Ahad lalu (6 Januari 2019), akhbar Mingguan Malaysia menyatakan (dalam laporan muka depannya) bahawa ‘Kartel tender membarah teruk’.

Pendedahan terbaharu yang mengejutkan ini mengingatkan saya kepada pendedahan pada Jun 2018 lalu oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengenai tender ubat bernilai RM3.7 bilion. Beliau menyatakan bagaimana 20 syarikat yang mempunyai kaitan rapat dengan tokoh politik tertentu telah mengawal rantaian bekalan ubat-ubatan dengan menjadi ‘ejen tender’ bagi syarikat farmaseutikal antarabangsa.

Menggesa agar kerajaan menyiasat kes ini hingga ke akar umbi, Charles menyatakan bahawa disebabkan kegiatan kartel ini, harga ubat-ubatan di negara ini kini lebih tinggi daripada harga di negara lain, sekali gus menghalang akses orang awam mendapatkan ubat-ubatan dengan harga patut.

MENGENALI KARTEL

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kartel’ ini dan apakah negara kita pada masa ini ada undang-undang khas untuk membanterasnya?

Dalam bahasa mudah, ‘kartel’ bermakna perjanjian atau kesepakatan antara pedagang-pedagang untuk tidak bersaing antara sesama mereka. Perkara yang disepakati antara mereka termasuklah antara lain, penetapan harga (price fixing), penipuan bidaan (bid rigging), penetapan pengeluaran (output restrictions) dan perkongsian pasaran (market sharing).

Intipati ‘kartel’ adalah muafakat antara pedagang untuk bergabung tenaga atau berpakat meningkatkan keuntungan kolektif mereka menerusi aktiviti yang bertentangan dengan konsep persaingan adil (fair competition).

Istilah `kartel’ tidak disebutkan secara khusus dalam Akta Persaingan 2010 kita (Akta 712). Bagaimanapun, aktiviti penipuan bidaan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4 akta tersebut. Seksyen 4(1) itu menyatakan bahawa suatu perjanjian mendatar atau menegak antara perusahaan (a horizontal or vertical agreement between enterprises) adalah dilarang sekiranya “ia mempunyai matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran bagi barangan atau perkhidmatan”. Ini bermakna walaupun ‘kartel’ tidak disebutkan secara khusus dalam Akta 712, kewujudannya itu tersirat dalam Seksyen 4(1).

Di bawah Seksyen 4(2) pula, penipuan bidaan “disifatkan mempunyai matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran bagi barangan atau perkhidmatan”.

Portal rasmi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyatakan bahawa penipuan bidaan adalah dilarang kerana ia memudaratkan persaingan adil (fair competition).

Di bawah Seksyen 14, MyCC diberi kuasa menjalankan siasatan jika ia `mempunyai sebab’ mengesyaki suatu perusahaan itu melanggar mana-mana larangan di bawah akta ini atau mana-mana orang telah melakukan apa-apa kesalahan di bawah akta ini. Siasatan hendaklah dilaksanakan oleh pegawai MyCC (Seksyen 17). Selepas siasatan dijalankan (walaupun ia belum selesai), MyCC ada kuasa memberi arahan “langkah interim” (Seksyen 35). Antara langkah interim ini adalah menghentikan mana-mana perjanjian yang disyaki melanggar larangan di bawah akta ini.

Pada Mei 2015 lalu, MyCC telah menyiasat sebanyak 51 kes membabitkan pelanggaran akta ini semenjak ia dikuatkuasakan pada Januari 2012. Mengikut Ketua Pegawai Eksekutif MyCC pada masa itu, daripada jumlah itu sebanyak 18 kes telah diselesaikan dengan kaedah pesalah membayar penalti atau membuat akujanji tidak mengulangi kesalahan tersebut. Antara kes yang paling banyak direkodkan adalah kes penetapan harga secara sulit oleh perusahaan dan persatuan dalam bidang perkhidmatan, makanan, perkapalan serta farmasi, katanya lagi.

Kartel pertama yang dikenakan tindakan oleh MyCC di bawah akta ini adalah Cameron Highlands Floriculturist Association (CHFA). Pada 2012, kartel ini didapati melakukan penetapan harga bunga yang dijual kepada pemborong dan pengedarnya di negara ini. Pada mulanya ia dikenakan penalti RM20,000 tetapi akhirnya digugurkan setelah kumpulan ini mematuhi segala arahan MyCC untuk mematuhi akta ini dan memberi akujanji semua ahlinya tidak akan melakukan amalan antipersaingan yang bertentang dengan akta ini.

Pada Januari 2015, MyCC mengenakan denda sebanyak RM252,250 ke atas pengilang-pengilang air batu kerana disyaki membuat penetapan harga jualan produk mereka. Sebelum itu, MyCC telah mengeluarkan arahan langkah interim terhadap mereka.

Pada 31 Mac 2018, akhbar ini menyiarkan berita MyCC menyiasat 80 kes membabitkan kegiatan kartel menetapkan harga barangan di pasaran semenjak tujuh tahun lalu. Mengikut Ahli MyCC, Datin Seri Ruzaina Wan Haniff, kebanyakan kes disiasat selepas agensi itu menerima aduan orang ramai manakala selebihnya adalah hasil pemerhatian pihaknya terhadap penentuan harga barangan. Pihak yang terlibat (terdiri daripada persatuan peniaga berkenaan) dikenakan tindakan, termasuklah dikenakan denda di bawah akta ini.

Pada akhir Oktober 2018 lalu, MyCC mengenakan penalti berjumlah RM33,068.85 ke atas tujuh pusat tuisyen dan pusat penjagaan harian di kawasan SS19, Subang Jaya kerana terlibat dalam aktiviti penetapan harga. Pengusaha-pengusaha tersebut telah membuat perjanjian pada Mei 2017 menetapkan dan menyeragamkan yuran perkhidmatan tuisyen dan penjagaan harian mereka. Kesemua mereka dikehendaki menghentikan kegiatan penetapan harga dengan serta-merta.

Persoalannya apakah Akta 712 sudah cukup mantap dan sempurna untuk membanteras kegiatan kartel, atau apakah ia perlu diperkasakan lagi dengan kita mewujudkan Peraturan Kartel (Cartel Regulations)? Selain itu, langkah tegas untuk menjenayahkan kegiatan kartel ini (criminalizing cartel activity) perlu dipertimbangkan seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan Australia pada tahun 2009 .

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.