Berikut adalah analisis mengikut metodologi Merrepak berkaitan konsep ayat di atas:

Situasi pertama: Anda sedang memandu dan berbaris untuk membelok ke kanan di simpang lampu isyarat. Malangnya tidak dibenarkan melakukan pusingan U di situ. Tetapi berduyun-duyun kereta di hadapan anda membuat pusingan U.

Bila diperhatikan, jalan yang hendak dipusing U tersebut ada tiga lorong. Bermakna risiko untuk berlaga telah dikurangkan. Untuk mematuhi peraturan jalan raya, ia memerlukan anda melakukan pusingan di hadapan sejauh tiga kilometer.

Kita faham larangan pusingan U disebabkan risiko berlaga dari kereta yang datang dari arus depan. Tetapi pusingan U itu diguna meluas kerana pilihan lain jauh. Jadi mengapa pihak berkuasa masih berkeras? Bukankah kita rakyat sebagai pengguna berhak untuk diberi kemudahan, maka itu pihak berkuasa sepatutnya menyediakan lorong khas membuat pusingan U.

Sesuatu jalan akan mendapat perhatian jika ia disiarkan di media massa atau jika ada pegawai berkaitan yang tinggal di kawasan tersebut. Kasihan sungguh. Apalah nasib kita yang tiada kedua-duanya? Selalulah risau kena saman, bukan risau berlanggar.

Jadi dalam situasi di atas, apakah ia menepati 'peraturan dibuat untuk dilanggar’?

Situasi kedua: Diwujudkan kumpulan khas WhatsApp untuk jiran tetangga. Ada lebih 200 jiran di dalamnya. Mulanya tiadalah diletakkan sebarang peraturan. Maklumlah semua sudah dewasa, terpelajar dan ada bertaraf pesara JUSA. WhatsApp kejiranan adalah untuk bercerita hal kejiranan. Kalau ada isu bekalan air terputus, maka diutuskan notis di dalamnya. Bila ada kematian, disampaikan juga.

Masalahnya, jiran-jiran yang ghairah berpolitik. Maka diutuskan pernyataan yang berkaitan parti. Lalu ditegur oleh jiran yang prihatin. Jika anda dibiarkan menyiarkan hal parti anda, pastinya jiran lain dari parti lain akan membalas. Maka, berbalas-balas. Siapa hendak jamin akan wujud keharmonian jiran dalam keadaan begini?

Peraturan? Tiada peraturan kerana ada sang bijak pandai dalam kejiranan merungut mengatakan mengapa serba-serbi mahu dikawal, mahu dihalang.

Kononnya tiada demokrasi. Tapi bila jiran mula bergaduh, manusia ini yang paling senyap dan menyepi. Hipokrit?

Dalam situasi di atas, peraturan tidak wujud pun. Jadi bagaimana?

Situasi ketiga: Lebuh Raya Persekutuan dari Kuala Lumpur melalui Petaling Jaya dan Shah Alam sehingga ke Klang, disediakan lorong motorsikal. Difahamkan pada masa ini, ada beberapa bahagian yang sedang dinaik taraf. Tidak apa. Fokus di sini ialah lorong khas motorsikal. Perasankah anda betapa semakin banyak motorsikal menggunakan laluan kenderaan empat roda di Lebuh Raya Persekutuan?

Secara peribadinya, bila lihat ada motorsikal menghampiri dari belakang, saya akan beri laluan sebaik-baiknya. Bukan kerana mahu merebut anugerah pemandu mithali. Tetapi lebih kerana ngerinya ingatan melihat mayat penunggang motorsikal bergelimpangan atas jalan raya di simpang Kampung Kerinchi, bukan sekali tetapi dua kali!

Jadi anda yang menunggang motorsikal kena fikir sendirilah. Lorong khas sudah disediakan dan secara automatiknya, motorsikal tidak dibenarkan dibawa atas jalan biasa di Lebuh raya Persekutuan. Kalau mati, belum tentu insurans akan dinikmati waris anda.

Dalam situasi di atas, peraturan sudah ada, lorong khas disediakan tetapi penguatkuasaan bagaimana?

Situasi keempat: Satu kes serius yang agak mengecewakan ialah kes seorang pemilik rumah yang didakwa di mahkamah kerana membunuh perompak di dalam rumahnya. Mengikut laporan, beliau berdepan dengan hukuman gantung jika didapati bersalah.

Benar, membunuh itu suatu kesalahan. Pihak berkuasa tidak mahu kita menggunakan peraturan rimba iaitu menghukum penjenayah mengikut keputusan diri kita sendiri. Itu kita faham. Misalnya, seorang pencuri berjaya ditangkap. SOP ialah pencuri hendaklah diserah kepada polis. Bukan kita membelasahnya sampai mati. Hendak pukul, pukullah tapi jangan sampai mati.

Tetapi dalam kes khusus ini, perompak sudah berada di dalam rumah, apakah harus kita lakukan jika kita tidak boleh mempertahankan diri? Perompak sudah tiada hak sebagai manusia bila dia masuk ke rumah kita dengan niat untuk merompak. Setuju?

Bercakap dari pengalaman pernah menjadi mangsa penjenayah, saya dapat merasai rasa ketakutan dan cemas bila didatangi penjenayah. Untuk berdepan dengannya memerlukan keberanian luar biasa kerana kita tidak tahu apa senjata dia.

Kita bagi penumbuk, dia keluar pisau. Kita keluar pisau, dia keluar pistol. Oleh kerana ini bukan babak dari filem, saat itu anda akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan diri. Sama ada kita mati atau penjenayah mati.

Manusia yang taksub ikut buku adalah mereka yang tidak pernah merasai detik-detik cemas, ngeri dan takut ketika berdepan dengan penjenayah. Mereka tiada pengalaman. Mereka tiada rasa kasihan.

Malang, jika kita selepas menumbangkan penjenayah, terpaksa pula menghadap manusia sedemikian. Dalam situasi di atas, anda mahu tunggu penjenayah lukakan anda dahulu atau sebaliknya?