Selepas 16 tahun usia kajian tersebut dijalankan ternyata per­kara yang paling merisaukan benar-benar berlaku apabila sta­tistik terkini daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan sebanyak 55.2 peratus atau 2,238 orang yang ditangkap kerana rasuah melibatkan mereka yang ber­umur di bawah 40 tahun.

Ini sekali gus menunjukkan hasil kajian itu bukan sahaja be­nar-benar berlaku tetapi jika tidak diambil sebarang tindakan pencegahan dari awal, perkara yang sangat membimbangkan itu boleh berlaku semula melibatkan generasi akan datang.

Rentetan itu, menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat, suruhanjaya itu merasakan wujudnya satu ke­perluan untuk memerangi rasuah dengan lebih giat melibatkan semua peringkat umur terutama­nya mereka yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Bagi menjayakan usaha ter­se­but, maka esok (Sabtu) kita de­ngan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) akan menganjurkan program Walk Stop Talk: Six hours Quarter Million Me­ssages (WST:SHQMM) yang bermaksud berjalan, bercakap dan berhenti dalam tempoh enam jam dengan sebanyak suku juta me­sej rasuah akan disampaikan.

“Program ini akan berlangsung secara serentak di seluruh negara melibatkan sebanyak 810 ahli Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) daripada 27 kampus IPG yang akan mengedarkan risalah kepada orang ramai bagi memberi kesedaran tentang bahayanya rasuah,” katanya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Tuan Ruslan, program ter­sebut yang bertujuan untuk menyemai sifat bencikan rasuah kepada semua golongan masyarakat juga akan melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyediakan lokasi pelancaran program tersebut di Dataran DBKL.

Tambah Tuan Ruslan, bagi me­nye­rikan lagi perjalanan program ter­sebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dijemput merasmikannya.

“Program ini akan berjalan secara serentak di seluruh negara, kesemua peserta SPR yang terlibat akan menyampaikan maklumat berkaitan rasuah dan mengedarkan sebanyak 250,000 atau suku ju­ta risalah kepada orang ramai.

“Sasaran ini akan menjadi pe­­nanda aras kepada kita bagi men­dapatkan pengiktirafan pi­hak The Malaysia Book of Records,” katanya.

Menyentuh lebih lanjut, Tuan Rus­lan berkata, sejak SPR diwujudkan lima tahun lalu di IPT, seba­nyak 1,296 ahli jawatankuasa te­lah didaftarkan di 108 IPT melibatkan universiti awam, universiti swasta, IPG dan Institut Pendi­dikan Mara (IPMa).

Berikutan itu, katanya, program tersebut dapat melatih ba­kal pendidik untuk mengetahui de­ngan lebih mendalam mengenai peranan dan tanggungjawab mereka sebagai ejen perubahan, mendidik dan bersama pihak bertanggungjawab dalam membanteras rasuah.

“Punca berlakunya rasuah di­se­babkan kuasa dan mempunyai peluang untuk berbuat demikian. Contohnya penguat kuasa, me­reka boleh melakukan rasuah ke­­­rana mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Disebabkan itu, SPRM melihat betapa pentingnya semua pi­­hak terutamanya generasi mu­da diberi kesedaran mengenai bahaya rasuah supaya apabila mereka mempunyai kuasa pada satu masa nanti, gejala memberi rasuah bagi ‘melicinkan’ sesuatu kerja tidak berlaku lagi,” katanya.

Tuan Ruslan berkata, undang-undang dan hukuman di negara ini yang menetapkan pesalah ra­suah boleh dihukum penjara ti­dak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan telah mencukupi sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, jelasnya, bagi memastikan negara bebas daripada gejala, rasuah semua pihak perlu memainkan peranan besar kerana jenayah rasuah bermula dari peringkat akar umbi.

Jelasnya, ini kerana golongan tersebut sentiasa berurusan de­ngan pelbagai pihak dan kecende­rungan berhadapan dengan situasi untuk menawarkan rasuah juga adalah tinggi.

“Rasuah berlaku apabila ada pihak yang menawarkan dan ada pihak yang menerima. Justeru, kesedaran untuk tidak memberi dan menerima rasuah perlu lahir daripada diri sendiri.

“Sekiranya wujud keadaan se­­demikian mereka seharus­nya de­ngan segera melaporkan per­kara terbabit kepada SPRM,” katanya.

Tuan Ruslan berkata, atas faktor itu SPRM akan berusaha sebaik mungkin bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya rasuah supaya amalan memberi rasuah dipandang dengan penuh kebencian.