Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PERAGUT adakalanya berpura-pura bertanya nama jalan sebelum meragut
PERAGUT adakalanya berpura-pura bertanya nama jalan sebelum meragut beg tangan atau barang kemas mangsa. Gambar hiasan

SETIAP kali ada kelapangan, saya sering beriadah di taman rekreasi terutamanya di Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur yang terletak tidak jauh dari kediaman saya. Saya juga akan memandu sendiri kereta ke kawasan riadah tersebut selain berjumpa kenalan di restoran atau kedai kopi berhampiran jika tiada komitmen kerja di hujung minggu.

Namun sejak kebelakangan ini ramai yang menasihati saya agar lebih berhati-hati ekoran banyak kes ragut yang dilaporkan di akhbar termasuk yang melibatkan kematian mangsa. Saya hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih kerana sebelum ini sering memberikan nasihat serupa atas kapasiti sebagai Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan aktivis masyarakat.

Sebenarnya masalah ragut adalah jenayah serius dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira usia atau status dalam masyarakat. Selain menyebabkan kecede­raan dan kematian, kejadian ragut boleh mengakibatkan trauma kepada mangsa yang terselamat selain menimbulkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat.

Amat menyedihkan apabila kita sekali lagi dikejutkan dengan kes ragut yang menyebabkan kematian seorang warga emas yang ditikam di perut ketika cuba menghalang dua suspek daripada meragut rantai emas isterinya di Parit Buntar, Perak, baru-baru ini.

Yeap Bak Seng, 73, dan isterinya Teow Siew Gaik, 67, dilaporkan sedang berjoging berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Wawasan, sebelum dua orang lelaki menaiki motosikal muncul dan cuba merampas rantai emas Siew Gaik.

Pergelutan berlaku antara mangsa dan dua lelaki ber­kenaan sebelum salah seorang suspek menikam mangsa dengan senjata tajam, dipercayai pisau. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes tragis terbaharu ini serta kejadian ragut yang menyebabkan kematian mangsa sebelum ini seharusnya menjadi peringatan kepada kita supaya lebih menghargai nyawa berbanding barang kepunyaan yang lain.

Kita harus sentiasa ingat bahawa wang ringgit, barang berharga dan dokumen peribadi boleh diganti tetapi bukan nyawa. Gunakanlah kebijaksanaan untuk menilai keadaan sebelum mengambil tindakan terhadap peragut kerana dalam masa yang amat singkat kita harus memutuskan sama ada selamat atau tidak untuk melawan peragut berkenaan.

Pada pandangan saya, adalah lebih baik jika tidak ­melawan atau mengambil tindakan yang boleh mengundang bahaya sekiranya berhadapan dengan situasi gen­ting yang boleh meragut nyawa. Mangsa hanya boleh melawan peragut jika kejadian itu berlaku di khalayak ramai di mana orang awam boleh membantu menahan suspek serta melindungi mangsa daripada dicederakan.

Mangsa tidak seharusnya meletakkan nyawa mereka sebagai taruhan kerana peragut mungkin memiliki senjata dan akan menyerang mangsa dalam usaha mereka untuk melarikan diri. Berdasarkan statistik polis, lebih daripada 60 peratus kes jenayah yang dilakukan kerana peluang yang terbuka, termasuk ragut dan pecah rumah, dilakukan oleh penagih dadah yang tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kekerasan terhadap mangsa.

Kita harus menghargai nyawa yang tidak ternilai dan menerima kenyataan bahawa peluang untuk mengalahkan peragut amat tipis jika kejadian berlaku di tempat terpencil dan kita pula hanya berseorangan.

Sepertimana kesungguhan kita memerangi najis dadah, saya amat berharap pihak berkuasa turut mengisytiharkan peragut sebagai musuh negara. Orang ramai juga tidak seharusnya membuka peluang kepada penjenayah seperti memakai barang kemas atau membawa barang berharga ketika beriadah di kawasan terpencil.

Mereka juga harus membuang pemikiran bahawa jenayah seperti itu “tidak akan berlaku kepada saya” dan harus mengambil tindakan proaktif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Orang ramai juga mesti mengambil tahu mengenai taktik terkini yang digunakan oleh peragut termasuk me­minta mangsa menunjukkan arah ke sesuatu alamat sebelum merampas beg atau barang berharga milik mangsa.

Terdapat juga kes pelaku datang ke rumah mangsa dan meminta alamat atau berpura-pura bahawa mereka mahu menghantar surat atau pakej. Orang ramai, terutama warga emas dan wanita, mestilah berfikir dengan pantas dan sentiasa berjaga-jaga apabila berjalan bersendirian.

Pihak polis pula perlu meningkatkan rondaan dan meletakkan anggota polis berpakaian biasa di ‘lokasi panas’ untuk membantu menahan peragut di tempat kejadian. Langkah proaktif lain yang boleh diambil termasuk memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sering menjadi sasaran peragut termasuk di kawasan rekreasi atau laluan yang sering digunakan oleh pejalan kaki.

Kesemua langkah ini adalah penting kerana jenayah jalanan di negara ini semakin meningkat walaupun kadar jenayah secara keseluruhannya menurun berban­ding tahun-tahun sebelumnya. Jika kita semua mengambil langkah berhati-hati dan berazam untuk memerangi ragut sebagai musuh negara, saya percaya ini akan mampu menggerunkan mereka yang terlibat atau mempunyai keinginan untuk meragut.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain